Pada malam minggu yang lalu, isteri bob yang sedang beransur pulih setelah menjalani pembendahan kecil menginginkan untuk makan donat. Bob pun pergi mengunjungi kedai donat yang berdekatan dengan hospital berkenaan. Sambil memilih-milih donat-donat kecil yang dijual dalam sebuah bekas plastik bulat sebesar pinggan sebanyak dua puluh biji dengan harga lebih sedikit dari lapan ringgit, bob telah terbaca satu tulisan dibelakang kertas tanda harga yang mengatakan " beli satu dapat satu percuma". Bob mengambil salah satu bekas plastik itu dan membuat pembayaran di kaunter.
Sambil bergurau bob bertanya tentang tanda harga percuma itu. Penjaga kaunter itu menerangkan pada bob yang jualan istimewa itu hanyalah ditawarkan selepas pukul sembilan malam. Manakala pada ketika itu baru sahaja lepas solat maghrib. Dia meminta bob untuk datang lagi dalam masa satu jam untuk membeli donat dengan tawaran istimewa itu. Sambil tersenyum, bob menerangkan yang bob membelikan donat ini untuk isteri bob yang sedang terlantar dikatil hospital. Jadi kemungkinan bob tidak dapat datang lagi kesitu dengan hanya hendak membeli donat.
Apabila mendengarkan cerita bob, sipenjaga kaunter itu terus sahaja cepat-cepat mengambil satu lagi bekas donat itu dan dengan tersenyum memasukkannya kedalam beg belian bob. Dia berbisik dengan nada bergurau pada bob supaya jangan memberitahu orang lain tentang perbuatannya itu. Bob pun mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan berlalu dari situ dengan perasaan gembira.
Apa yang bob hendak ceritakan disini ialah tentang budi bahasa yang amat baik yang telah dipamerkan oleh kakitangan kedai donat itu. Adanya budi bahasa yang disertakan timbang rasa dan perasaan ingin melakukan perbuatan baik bagi menyenangkan hati orang adalah perkara yang mudah dilakukan tetapi jarang dapat kita laksanakan. Jika sipenjual itu lebih memikirkan tentang pulangan wang semasa itu, tentu sahaja beliau tidak memasukkan satu bekas lagi donat itu. Tetapi beliau bertindak sebaliknya dan terus mengembirakan hati pelanggannya. Pada masa yang sama, bob dapat lihat dimukanya yang membayangkan betapa senang dan puas hatinya setelah berbuat baik pada orang lain. Perasaan beginilah yang dikatakan balasan yang cepat atau segera yang dapat dinikmati yangmana telah dianugerahkan oleh Maha Pemurah kepada orang yang berbudi.
Esuk adalah hari Tahun Baru Cina manakala lusa pula adalah hari satu Muharram. Ini menandakan tahun baru juga untuk kita semua sebagai orang muslim. Oleh itu, pada kali ini nampaknya kita akan sama-sama menyambut tahun baru bersama masyarakat Cina. Cuti hujung minggu kali ini adalah cuti yang terlalu panjang dan sudah tentu jalanraya masuk dan keluar dari ibu kota ini akan mengalami kesesakan. Terutama pada hari Ahad nanti, semasa semua orang yang pulang kekampung akan pulang kembali ke KL. Oleh itu berhati-hatilah dijalanraya dan munafaatkanlah cuti ini untuk perkara yang berfaedah.
Bagi kawan-kawan kaum Cina, bob ucapkan Selamat Tahun Baru dan bagi yang muslim pula bob ucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah. Semoga pada hari-hari ini menjadi titik perubahan dalam kehidupan kita untuk menjadi orang yang lebih baik dari tahun-tahun lepas. Tanamkan azam dan kuatkan tekad bagi mengharungi hari-hari yang mendatang.
Bob sekeluarga juga akan pulang kekampung. Manakala pada hari Sabtu ini bersamaan 12 Febuari 2005 (3 Muharram 1426) satu majlis perkahwinan untuk adik bob akan diadakan dirumah orang tua bob. Majlis ini akan diadakan pada sebelah makan tengahari hingga ke pukul 6.00 petang. Disini bob dengan sukacitanya menjemput kawan-kawan yang berada di Perak pada masa itu dan yang berkesempatan, untuk turut serta dimajlis berkenaan. Alamat rumah kami adalah seperti dibawah ini:-
Haji Daud b Abdul Mutalib (bapa bob)
Lot 7, Kampung Muhibah
Batu 10, Jalan Batu Gajah TANJUNG TUALANG (map) PERAK.
Tel Rumah: 05-3609578. ( tanyakan nama Riduan...bob le tu)
Jika ada kawan-kawan yang membawa joran pancing, bob boleh tolong tunjukkan lubuk memancing bob yang hanya sepelaung jaraknya dari rumah kami. Umpannya boleh dibuat dari bahan dedak dan cacing.
Sudah lama menanam ubi, nenas juga dipandang orang
Mengapa sekarang baru digemparkan mengenai persoalan budi bahasa? Pada bob ianya adalah kerena permasalahan menurunnya moral dikalangan kita semakin membimbangkan. Penyakit yang akan menjerumuskan jatuhnya satu peradaban masyarakat yang kita bina ini pada masa akan datang. Penyelewengan terhadap generasi kemudian atas apa tindakan yang kita buat pada masa ini.
Bob masih teringat pada satu iklan air minuman yang menunjukkan karektor kartun remaja yang menendang atau menyepak pensil yang telah melukis dirinya. Iklan yang sangat popular pada satu ketika dulu dengan watak Fido Dido. Baru-baru ini ada satu iklan yang juga memperomosikan air minuman yang mengambarkan kumpulan kanak sedang menjalankan aktiviti lasak. Mereka sedang memanjat curam tinggi dengan tali. Pada satu ketika seorang kawannya telah menghadapi kesukaran dan hendak terjatuh kebawah. Kawannya yang seorang lagi terpaksa memilih untuk tidak menolong kawannya itu kerena tidak mahu melepaskan air minuman yang dipegangnya. Banyak lagi iklan-iklan yang disiarkan yang seakan-akan demikian.
Diakhbar-akhbar pula kita juga telah memperomosikan beberapa kes-kes perbicaraan yang sensasi. Sehingga tidak langsung disaring. Bahasa yang digunakan pun agak terlalu celupar dan tidak berlapik. Sehingga ada gulungan yang mengeluh bahawa surat khabar pada masa itu adalah sama dengan novel lucah yang ditulis oleh pihak yang tidak langsung bertanggungjawab keatas kesannya terhadap moral masyarakat.
Dimedia tv pula ramai pula juruhebahnya menggunakan bahasa-bahasa yang telah tidah mahu lagi digunakan oleh bangsa kita. Bahasa-bahasa kesat yang tidak berlapik yang hanya sanggup digunakan oleh puak-puak lanun dizaman sebelum kegemilangan Melayu Melaka. Apabila ada pihak yang menegur, ianya tidak diambil kisah malah makin dirangsang untuk terus begitu.
Semasa berkempen pada musim dan diluar musim pilihanraya, masyarakat juga telah didendangkan dengan irama bahasa yang tidak langsung menunjukkan budi dan budaya bangsa kita. Memaki hamun melalui pembesar suara, merendah-rendahkan orang lain, mimik dan gaya bahasa badan yang mengambarkan betapa buruknya peribadi para ahli politik telah terdedah begitu sahaja.
Dibidang korporat pula, jatuh bangun seseorang ahli korporat itu telah digambarkan seakan perjuangan binatang dihutan rimba. Orang ini telah menelan tokoh itu. Tokoh ini diberhentikan perkhidmatannya dengan mudah begitu sahaja tanpa sebab-sebab tertentu.
Masih lagi teringat pada masa masa-masa dulu apabila Dato’ Rahim Razali dan En. Baharin Khamis membuat liputan sukan terutama dalam acara bola sepak samada di radio atau pun tv, mereka menggunakan bahasa yang baik. Sangat berkesan dan kemajuan sukan dinegara ini menjadi sebutan dibibir masyarakat setiap masa dengan selogannya "sukan untuk negara". Tidak seperti masakini kebanyakan pengulas sukan baik dimedia elektronik mau pun disurat khabar menggunakan perkataan-perkataan ganas dan "sadis" untuk menggambarkan sesuatu keadaan dalam ulasan mereka. Acara-acara sukan itu bagaikan pergaduhan jadinya.
Tidak kurang pula apabila ada ulama-ulama yang menegur seseuatu kemungkaran, ada pula pihak-pihak yang berpengaruh dengan lantang menyanggah teguran itu. Teguran-teguran demi teguran di buat bagi ingatan untuk meletakkan masyarakat kelandasan yang betul, tetapi dengan ganas dipatah-patahkan dan diputarbelitkan didalam media. Sehingga semuanya menjadi buta kepada kebenaran hanya atas kerena hendak bersuara.
Kita juga sering disogokkan dengan bahasa-bahasa kesat didalam lirik lagu. Sudah lah begitu iramanya yang keras sering diberi kesempatan berkumandang dicorong-corong radio dan tv tidak kira masa.Lagi kita tersekat-sekat didalam kesesakan jalanraya, semakin ganas dan keras irama yang yang diputar. Oleh itu tidak hairanlah ramai pemandu-pemandu yang berubah sikap menjadi samseng dijalan-jalan raya.
Oleh yang demikian, mengapa baru sekarang diperkatakan tentang budi bahasa? Mengapa masyarakat atau orang ramai pula dipersalahkan? Jika dahulu penggunaan bahasa pasar dan gaya bersantai dimedia adalah merupakan sesuatu "taboo" tetapi kini ianya menjadi amalan biasa. Jadi terbiasalah masyarakat dengan budi bahasa yang tidak baik. Terdidiklah masyarakat dalam keghairahan kumpulan-kumpulan orang yang tidak berfikir panjang kerena mahu meraih peluang untuk jangka pendek.
.....kerabu sotong bersama ikan masin, ulam dan sambal belacan.....
Minggu lepas isteri bob pergi bertugas di Labuan selama beberapa hari. Jadi bob berpeluanglah lagi menjenguk kedapur. Tiba-tiba timbul rasa kasihan bob kepada isteri bob dan Ayu yang mana rupa-rupanya baru bob sedar yang kebanyakan pisau didapur bob itu telah lama tumpul hingga tidak mampu memotong cili dengan baik. Oleh itu bob telah mengambil sedikit masa untuk mengasah kesemua pisau-pisau yang penting didapur itu.
Memang betul cakap orang tua-tua, kalau kita hendak pergi menoreh, pisau torehan mesti cukup tajam, kalau hendak menebas, parang dan sabit juga perlu tajam. Barulah kerja-kerja menjadi mudah dan dapat dijalankan dengan sempurna. Bagi memudahkan kerja-kerja mengasah ini, batu asah yang digunakan hendaklah dari jenis yang baik. Bercakap tentang tajam ini, orang dulu-dulu pernah juga memastikan batu tumbuk juga mesti "tajam" atau perlu diasah supaya benda yang dirumbuk menjadi cepat lumat. Sehingga sekarang bob kurang faham mengenai perkara ini.
Kali ini bob hendak bercerita tentang cara menyediakan kerabu sotong. Oleh kerena ianya berkait rapat dengan perkara diatas yang mana untuk menyediakan kerabu ini, kita memerlukan pisau yang agak tajam bagi membuat hirisan-hirisan. Mungkin ramai diantara kita yang suka menikmati menu ini dan selalunya ianya mudah didapati direstoran-restoran makanan siam.Walau bagaimana pun kerabu ini mudah disediakan dan ianya lebih murah jika dibandingkan dengan sepiring yang dihidangkan oleh restoran-restoran berkenaan. Kita boleh nikmatinya sebanyak mana yang kita kehendakki.
Bagi menyediakan dua piring kerabu ini kita memerlukan setengah kati sotong hidup. Ada juga sesetengah kita suka menggunakan sotong kembang atau sotong kering yang sudah direndam hingga kembang. Itu tidak menjadi hal, terpulanglah kepada selera kita masing-masing. Setelah dibersihkan, sotong ini akan dipotong-potong setebal setengah inci tiap-tiap satu. Rebus sotong ini selama lebih kurang satu minit. Setelah ditoskan kemudiannya dibiarkan sejuk.
Hiris-hiriskan sebiji timun seperti hirisan rojak bersama sebiji mangga muda, sebiji tomato, dua atau tiga helai daun bawang, tiga biji cili merah dan enam biji bawang merah. Hiriskan juga halus-halus sebatang bunga kantan bersama dua batang serai. Kalau kita tahan pedas, hiriskan juga beberapa biji cili padi mengikut banyak mana yang kita suka. Ada juga dianatara kita yang suka cili ini ditumbuk bersama sedikit bawang dan sedikit belacan. Ikut suka hati kita lah.
Gaulkan kesemua bahan-bahan ini bersama sotong tadi didalam sebuah mangkuk sambil memasukkan tiga sudu gula, garam secukup rasa dan perahan tiga biji air limau nipis. Jangan pula sampai kita termasukkan biji-biji limau itu, nanti pahit pula rasa bila kita tergigit. Kita gaulkan hingga mesra dan kini kelihatanlah menu yang berwarna-warni ini telah tersedia untuk dihidangkan. Ada warna merah, ada warna putih, ada warna hijau dan ada warna kuning. Pada waktu begini, apabila tercium sahaja bau kerabu ini, ianya telah berupaya menaikan selera kita sehingga tidak sempat-sempat menunggu nasi masak diperiuk. Bagi bob, kerabu ini akan bob sejukkan terlebih dahulu dalam peti ais sementara bob menggoreng ikan kembung rebus bersama bawang dan cili hijau goreng.
Apabila semuanya telah siap, cepat-cepatlah kita hidangkan diatas meja bersama dengan air sejuk kosong. Sepinggan nasi panas putih bersama sepiring kerabu sotong dan goreng ikan kembung rebus yang juga masih panas sudah cukup dapat melupakan melupakan segala masalah hidup buat seketika. Hidangan ini pula sangat enak dimakan untuk makan malam semasa kita baru pulang dari pejabat.
Alangkah nikmatnya setelah selesai kita makan semuanya, kita ikuti dengan meminum air sejuk kosong yang mana pada waktu itu tangan kita masih belum lagi dibasuh. Burrrrpp! Alhamdulillah.........kita tersandar kekenyangan.
...kongsep studio mudah-alih......
Pada cuti hari wilayah semalam bob berkesempatan menjalankan satu lagi projek musik bob. Kali ini bob cuba membina satu sistem "studio MIDI" yang mudah-alih yang sangat mudah dan murah.
Pada hari ulang tahun kelahiran isteri bob dua tahun lalu bob telah menghadiahkan beliau sebuah "note book" Pentiun 4 yang beroperasi dengan "Window Xp". Beberapa bulan kemudian, pihak jabatannya telah membelikan beliau sebuah lagi alat yang sama. Oleh itu note book yang bob hadiahkan itu telah hanya digunakan dirumah sahaja. Sesekali Ayu dan adik-adiknya akan menggunakannya untuk kerja-kerja sekolah mereka apabila kami pergi keluar kawasan. Bob telah lama bercadang untuk menggunakannya sebagai nadi kepada konsep studio MIDI mudah-alih bob yang bob pernah ceritakan tempuhari. Tetapi tidak berkesempatan membeli alatan pelengkapnya.
Pada hari miggu lepas bob dan Ayu telah berkesempatan pergi ke Plaza Low Yatt untuk membeli beberapa kelengkapan pc kami dirumah. Bob telah berusaha mencari dan mendapatkan "USB interface kepada MIDI" dari salah sebuah kedai yang menawar kelengkapan itu. Setelah tawar menawar bob telah membayarnya dengan harga RM200. Disatu hujung Interface ini ia dilengkapkan dengan satu jack untuk USB manakala satu lagi hujungnya ialah satu soket untuk "MIDI IN" dan dua soket untuk "MIDI OUT". Ditengah-tengahnya terdapatlah satu benda yang seakan tetikus telus sinar yang mana didalamnya mengandungi litar interfacenya yang berwarna warni.
Baru-baru ini bob telah pergi mengujungi Jalan Pasar dan membeli sebuah amplifier karaoke berkuasa 180 watts dengan hanya berhaga RM45 sahaja. Bob juga membeli satu set headphone yang murah cuma berharga RM18 yang mana sudah lama bob bercadang untuk memilikinya untuk kegunaan distudio bob apabila diperlukan. Bob sememangnya sudah mempunyai sepasang "book shelf speaker" berjenama Nipon berkuasa 100 watts yang bob beli dari kedai barangan terpakai dikawasan berhampiran dengan harga cuma RM60 sahaja. Speaker ini mempunyai "woofer" dan "tintanium tweeter" yang agak garang bunyinya.
Pada tahun lalu, dari kedai barangan terpakai itu juga bob telah memperolehi satu unit "sound module" Korg 05R/W yang cuma berharga RM250 saja dan sebuah "keyboard MIDI controller" Roland A-30 dengan harga RM200. Kedua-dua alat ini adalah alat tambahan dalam studio bob yang sediaada.
Pada malam tadi bob telah cuba memasangkan alat-alat itu mengikut apa yang bob rancangkan sebelum inidisatu sudut berhampiran meja makan bob. Bob telah menghubungkan salah satu USB di note book tadi dengan interface MIDI berkenaan yangmana MIDI INnya bob sambungkan ke MIDI OUT Roland A-30. Manakala salah satu MIDI OUT PUT interface itu bob sambungkan ke MIDI IN Korg 05R/W. Sebagai sistem audionya, bob sambungkan audio output dari Korg 05R/W kepada input amplifier bob tadi. Kemudian bob sambungkan sistem stereo amplifier itu kepada sepasang kiri dan kanan speaker Nipon bob tadi. Sistem audio ini juga bob boleh gantikan dengan set headphone yang bob ceritakan tadi. Ini untuk mengelakkan bunyi musik yang boleh mengganggu orang lain.
Didalam note book itu bob mengunakan perisian Cakewalk Pro 9 dan Band in a Box sebagai penjana komposisi musik bob dan sangat serasi dengan sistem operasi Window Xp. Mungkin sedikit masa lagi bob akan menggunakan perisian Sonar dari Cakewalk juga untuk projek bob seterusnya.
Apabila sahaja suiz dihidupkan, semuanya kelihatan berjalan dengan baik dan anak-anak bob telah datang bergilir-gilir mengambil kesempatan untuk mencuba. Jari-jari halus mereka bertukar ganti dan menari diatas bilah-bilah keyboard yang mengeluarkan berbagai irama dan melodi. Seperti biasa dengan sekelipmata sahaja mereka telah merakam beberapa buah lagu petikan piano solo kegemaran mereka didalam bentuk "midi file" dan disimpan dalam "hardisk". Mereka kelihatan sangat berpuashati dan menunjukkan kegaguman melihat alat-alat yang semudah itu dipasangkan dihadapan mereka yang hanya mengambil beberapa minit sahaja. Selama ini mereka hanya boleh menggunakan sistem seperti ini didalam studio bob yang sedia ada sahaja yang terpaksa memetik berbelas-belas suiz sebelum ianya mengeluarkan bunyi.
Maaf bob kepada kawan-kawan kali ini yang kurang minat tentang perkara ini. Tetapi pada kawan-kawan yang berminat, mudah-mudahan ini boleh mendatangkan sumber inspirasi untuk memiliki sebuah studio musik yang mudah dan boleh mudah-alih.
Semalam bob sempat membuka peti surat email bob dan bob dapati ramai juga kawan-kawan yang telah membaca tentang tulisan bob mengenai Pengkalan Balak di Melaka. Mereka juga turut bertanyakan bagaimana untuk sampai dan tempat penginapan disana. Bob ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerena sudi singgah dan membaca blog bob ini. Oleh itu disini bob senaraikan nama-nama tempat penginapan yang terdapat disitu untuk kemudahan kawan-kawan mendapatkan maklumat dan membuat tempahan. Diantaranya adalah:-
Muara Bidara Resort # tel 06-3847971
Ismah Pantai Resort # tel 06- 6904737
Pantai Razak Resort # tel 06-3843255
Kemunting Beach resort # tel ??
Chalet Hajah Hubuk # tel 06-3845540
Aslah Chalet , Haji Ibrahim # tel 06- ?? ( bob sekeluarga pernah menginap)
Putra Sayang Resort # tel 06-3848946/06-3894196 (bob sekeluarga pernah menginap)
Kenangan Chalet #tel 06-3844811
Chalet Sri Impian # tel 06-3841477
Puan Saadiah # tel 06-3843648
Seraya Putra Chalet # tel 06-3841809
Angin laut Chalet # tel 06-3853571
Comel Chalet # tel 06-3851309
D’Nelayan Beach Resort (Sg Tuang) # tel 06-3848787 (ada kolam mandi)terdapat juga satu di Padang Kemunting tapi bob tak tahu # tel nya
Damar Suria Resort # tel 06-3842255
Makmor Chalet # tel 06-3853768
Oleh yang demikian pada sesiapa yang berhajat untuk kePengkalan Balak semasa bercuti panjang di hujung minggu ini silalah menghubungi tempat-tempat penginapan diatas. Mereka ini juga sangat muda memberikan kerjasama untuk kawan-kawan mendapatkan tempat-tempat penginapan lain yang beroperasi disitu selain dari yang bob senaraikan diatas.
Bercakap mengenai cuti panjang, bagi orang-orang yang berkerja di Kuala Lumpur yang akan menyambut hari Wilayah persekutuan pada 1 Febuari ini ia itu pada hari Selasa bolehlah mengambil cuti pada hari Isnin ini. Oleh itu cuti panjang hujung minggu boleh mencapai sampai tiga atau empat hari berturut-turut. Manafaatkan lah cuti itu dengan sebaik-baiknya. Bawalah keluarga berjalan-jalan ketempat yang bob telah ceritakan.
Apabila disebut sahaja rendang tok ini, teringatlah kita akan negeri Perak. Rendang tok adalah satu masakan yang berkait rapat dengan orang Perak. Rendang tok ini pula berbeza dari rupa dan rasanya dengan rendang-rendang lain yang terdapat diseluruh daerah dinegara ini. Istimewanya rendang ini adalah ianya disediakan oleh orang lain dan yang mendapat nama ialah orang lain. Disediakan oleh opah tetapi tok yang mendapat nama. Bob tidak tahu sangat bagaimana rendang ini boleh mendapat nama sedemikian, tetapi kawan-kawan yang pintar akal bolehlah mengagak ceritanya dan mungkin boleh dikongsi bersama nanti diruangan komen.
Rendang tok ini menjadi kegemaran isteri bob. Pada bob, mak bob adalah seorang yang pakar menyediakan rendang tok ini. Oleh itu bolehlah disimpulkan disini, rendang tok ini adalah juga merupakan salah satu nikmat yang isteri bob perolehi setelah berkahwin dengan orang Perak. Bob sendiri telah menyaksikan bagaimana mak bob menyediakan rendang itu dengan selamba sahaja sambil bersembang dan juga sambil menyediakan masakan-masakan lain pada hari Raya Haji yang lalu. Lagi satu keistimewaan rendang ini amat sesuai menggunakan daging kerbau. Ini mungkin kerena daging kerbau ini lebih kental dari daging lembu dimana rendang ini perlu dimasak lebih lama sedikit. Bob masih ingat lagi bahawa rendang ini juga sebenar adalah menu kesukaan Allahyarham datuk bob.
Bercerita tentang tok ini bob masih teringat bagaimana mak bob telah mengajar si Fasya satu rangkap rap untuk mengusik bapa bob sambil beliau sedang sibuk menyediakan rendang toknya tempuhari. Ungkapan sindiran rap ini betul-betul ditujukan kepada bapa bob yang duduk bersandar selamba dikerusi malas. Terbahak-bahak Fasya ketawa menyanyikannya dalam irama rap itu untuk datuknya. Begini bunyinya:-
"Mata sudah kabur
Gigi sudah gugur
Uban sudah bertabur
Bila berakap air liur sudah bersembur-sembur
Kulit pipi sudah kendur
Hanya lalu makan bubur
Sikit lagi masuk kubur..."
Apabila sahaja bapa bob mendengar ungkapan yang diringi gelak ketawa itu dia terus tersenyum panjang. Sambil menjeling pada bob beliau dan berkata dalam nada perlahan pada Fasya " ...macam lagu Tipah Tertipu Lagi sahaja bunyinya.....". Bob terkejut dan turut tersenyum. Didalam hati bob selalu bertanya, bagaimanakah sebenarnya perasaan yang tersimpan disebalik senyumannya itu. Hanya Allah SWT yang tahu.
Kembali kita kepada cerita tentang rendang tok tadi. Sebenarnya bob telah disindir oleh adik bob tentang resepi rendang tok ini adalah rahsia yang tidak patut dihebahkan kepada orang lain. Tetapi bob berpendapat, ilmu yang ada jika tidak disampaikan, samalah seperti orang menghafal quran tetapi tidak mengamalkannya. Jadi kali ini bob akan mendedahkan rahsia resepi rendang tok kepada kawan-kawan sebagai hadiah kerena sering singgah diblog ini.
Pada pagi hari selepas Hariraya Haji tempuhari, bob telah pergi kepasar membeli tiga kilo daging kerbau. Daging yang telah dihiris besar bersaiz tiap satu sebesar penumbuk ini kemudiannya dibersihkan. Daging ini kemudiannya telah diperap dan dilumurkan selama lebih dari satu jam dengan bahan-bahan yang telah dikisar terlebih dahulu. Bahan-bahan itu ialah satu kilo bawang besar, sepuluh batang serai, tiga ketul besar halia, dua ringgit cili kering, seketul kecil belacan, satu labu bawang putih, segenggam buah keras bersama dua sudu jintan manis, dua sudu jintan putih, sesudu ketumbar yang telah digoreng kering. Daging itu juga turut diperap bersama sekilo bawang besar yang telah dihiris-hiris bersama hampas seketul besar lengkuas yang telah ditumbuk dan telah diperah airnya. Harus diingat, air lengkuas ini tidak diperlukan dan perlu dibuang.
Apabila telah mesra diperap, daging itu kemudiannya dimasukkan kedalam kuali bersama dua kilo santan kelapa dan setengah jag air. Nyalakan api dan kacaulah hingga rata sambil memasukkan seketul gula kabung atau atau gula kelapa atau kalau susah sangat, cukup hanya secawan kecil gula merah. Kemudian masukkan juga setengah kilo kerisik dan garam secukup rasa. Kacaulah lah rendang ini selalu dengan api yang sederhana, sambil sekali lagi ditambah dua cawan air. Rendang ini akan masak kira-kira satu setengah jam kemudiannya. Apabila masak ianya kering dan warnanya betukar menjadi lebih gelap.
Pada waktu begini baunya sudah tentu mampu meransang air liur kita meleleh tanpa disedari dan tidak mungkin dapat ditahan-tahan lagi. Ditambah pula apabila lemang kita juga telah boleh diangkat dari tumangnya dan dibelah untuk dihidang atas meja bersama rendang yang masih panas ini. Aduh, betapa nikmat rasanya.
Apa macam, bolehlah kita mencuba? Mak bob berpesan, makin selalu kita masak rendang ini semakin mahir kita jadinya dan semakin sedap rasanya.
Baru baru ini sebuah taman yang sedang dalam proses untuk diwartakan sebagai kawasan perlindungan hidupan liar sedang dirancang untuk dicabul dengan aktiviti perlombongan semula. Taman ini ialah Taman Alam Kinta yang terletak disatu kawasan bekas perlombongan bijih timah berhampiran dengan Kampung Pisang, Batu Gajah dinegeri Perak. Kawasan ini telah pun pernah dibangunkan oleh kerjaan negeri untuk tujuan itu dan usaha penyelenggaraannya telah pun diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri sejak sebulan yang lalu. Beberapa orang pencinta alam tempatan telah melahirkan rasa kurang senangnya terhadap aktiviti perlombongan semula ini yang akan memusnahkan habitat hidupan liar disitu. Mereka telah membawa perkara ini kepengetahuan pihak-pihak tertentu termasuklah Jabatan Perhilitan Negeri dan Pejabat Daerah Kinta.
Semalam disebuah akhbar tempatan telah memberitakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa bagi Pertanian dan Perlanconngan Asastani kerajaan negeri bersama satu rombongan yang juga disertai oleh pengarah Jabatan Perhilitan negeri telah datang melawat ketempat itu. Mereka telah diberitahu oleh pihak Pejabat Daerah Kinta bahawa permit perlombongan itu sebenarnya telah diperuntukkan untuk satu kawasan yang jaraknya lebih kurang dua kilometer dari tempat itu ia itu di Kampung Changkat Belulang. Tetapi apa yang berlaku ialah didapati mesin dan peralatan perlombongan telah tersedia dikawasan itu untuk beroperasi pada bila-bila masa sahaja.
Di jelaskan juga bahawa kawasan taman itu telah di kenalpasti mempunyai sebanyak seratus dua puluh sembilan sepesis burung dan tujuh puluh diantaranya adalah yang termasuk dalam gulungan "Totally Protected" dalam Akta Penghidupan Liar 1972 yang menjadi habitat disitu.
"Kejadian semulajadi telah mengambil masa yang bertahun-tahun untuk menghidupkan semula kawasan itu menjadi satu kawasan yang cantik dan perlindungan untuk burung-burung berkenaan". Kata pengerusi jawatankuasa negeri itu dan seterusnya beliau telah mengarahkan supaya aktiviti-aktiviti perlombongan itu dihentikan dan tidak akan membenarkan aktiviti perlombongan itu diteruskan dikawasan yang berhampiran yang mana akan memusnahkan tasik dan hidupan semulajadi bagi burung-burung berkenaan. Sejumlah sepuluh ribu ringgit telah diserahkan oleh kerajaan negeri kepada Jabatan Perhilitan dengan serta merta untuk menaiktarafkan semula kelengkapan aktiviti rekreasi yang telah sedia ada didalam taman itu.
Bob turut bersedih kerena untuk kawasan itu telah dikembalikan sebagai tempat yang boleh dihuni oleh lebih beribu-ribu ekor burung dan sepesis unggas telah mengambil masa berpuluh-puluh tahun kini hendak diranapkan kembali. Malah didapati salah satu pulau sahaja daripada banyak-banyak pulau dikawasan taman itu telah menjadi habitat kepada lebih dua ribu ekor burung. Apatah lagi sebagai peminat pancing, hati bob rasa terusik untuk bersuara bagi mempertahankan pengekalan kawasan yang menjadi syurga pemancing ikan air tawar itu dipelihara supaya aktiviti rekreasi orang-orang marhen ini dapat diteruskan. Bagi pemancing, selain dari memancing, kepuasan untuk memandang keadaan alam sekitar senulajadi yang indah merupakan satu nikmat yang sangat dicari-cari apabila pergi memancing. Ini adalah satu sebab yang membolehkan pemancing-pemancing sabar berjam-jam menunggu sentapan pancingannya.
Bob memuji dengan usaha sebuah syarikat yang telah membina sebuah reakreasi padang golf ditempat yang berdekatan. Usaha yang menggunakan kaedah pengekalan alam sekitar untuk dijadikan aktiviti reakreasi dan pelancungan itu telah terbukti mendapat pulangan yang lumayan. Seperti yang bob pernah luahkan tidak berapa lama dulu sebenarnya banyak lagi usaha-usaha begini patut dijalankan. Rekreasi memancing adalah satu diantaranya yang boleh disertakan sebagai perusahan pelancungan asastani ini yang kian mendapat sambutan dari dalam malah dari luar negeri pada masa ini. Bukan sahaja disekitar taman itu bahkan diseluruh kawasan Lembah Kinta yang alam semulajadinya dan tanahnya yang pernah diterbalikkan menjadi padang jarak padang terkukur seperti keadaan selepas dilanda gempabumi dan tsunami lagaknya. Sesudah hasil buminya dihisap dan diperah keluar, apa yang tinggal hanyalah sisa pasir putih dan lopak-lopak air disana sini sebagai tanda alam yang ternoda dan kehidupan manusia tergapai-gapai akibat dari kegiatan ekonomi yang terhenti begitu mendadak.
Bob rasa walaupun harga bijih timah telah mula naik dan aktiviti ini telah diperkatakan boleh menjana semula ekonomi negeri tetapi tidaklah berbaloi untuk mengorbankan peluang kali kedua alam disitu setelah dipulihkan semula oleh Maha Penciptanya. Malah satu pengiraan keberbaloian ekonomi antara pemeliharaan alam sekitar untuk tujuan perlancungan dan pembelajaran dibandingkan dengan mengaktifkan semula aktiviti perlombongan patut dilakukan terlebih dahulu. Pertimbangan ini hendaklah mengambil kira kepada perkara yang khusus untuk jangka panjang dan demi kesejahteraan generasi masa depan perlu diutamakan. Mungkin aktiviti-aktiviti perlombongan semula itu boleh dijalankan ditempat-tempat lain yang lebih strategik
Persoalannya, apakah kita harus mengorbankan peluang kali kedua yang telah dianugerahkan kepada kita ini? Benarkah kita ini terlalu rakus dan zalim terhadap alam sekitar sehingga kita sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan untuk mendapatkan pulangan wang yang cepat? Cukupkah usaha-usaha yang kita telah lakukan pada alam sekitar demi kesejahteraan genersi akan datang? Apakah kita sudah mengkotakan azam kita untuk berbaik dengan alam?.
Kali ini kita telah menyambut Hari Raya Haji yang jatuh pada hari Jumaat. Ini bermakna setelah mendengar khutbat solat sunat Hari Raya pada paginya kita pula telah mendengar khutbah solat Jumaat pada sebelah tengaharinya. Orang ditempat bob memanggil hari raya kali ini adalah hari raya dua khutbah. Jarang sekali kita dapat bertemu dengan rahmat Allah SWT. seperti ini. Bukan apa, pertemuan besar dua kali dimasjid ini dikalangan jemaah dan yang menyambut hari raya dikampung ini dapat menambah eratkan lagi siratulrahim.
Bob telah bersolat hari raya haji dan Jumaat dimasjid kampung bob tempuhari. Bob sangat terpanggil untuk menceritakan tentang intipati kedua-dua khutbah yang cukup bernas itu yang telah dibaca dengan lantang oleh khatibnya. Teks khutbah ini telah disediakan oleh Pejabat Ugama Islam Perak. Khatib dan imannya pula adalah abang kepada kawan baik bob.
Didalam khutbah-khutbah itu antara lain menyentuh serba sedikit tentang perkara yang bob telah tuliskan dalam blog bob sebelum ini. Ia itu tentang penderitaan mangsa dan bencana tsunami yang berlaku baru-baru ini adalah sama dengan penderitaan saudara-saudara kita yang mana negara mereka diserang dan tempat-tempat yang umat Islam yang sedang ditindas dan diinaya. Kesemuanya patut diberi perhatian yang sama dan bagi bencana yang dilakukan oleh manusia sendiri seperti peperangan ianya patut dielakkan samasekali.
Khutbah-khutbah itu juga menegaskan segala bencana yang berlaku adalah atas kehendak Allah SWT. Ianya merupakan ujian dan dugaan untuk semua yang hidup supaya lebih bertaqwa kepadaNya dan takut kepada hari pembalasan. Sebagai buktinya, khutbah itu juga memuji pihak-pihak yang telah berusaha untuk tidak mengadakan upacara-upacara menyambut tahun baru pada beberapa hari selepas kejadian bencana tsunami tempuhari. Ini adalah akibat dari ujudnya sedikit kesedaran yang terpalit didada mereka dan sebagai menunjukkan tanda simpati pada mangsa yang terlibat. Khutbah-khutbah itu juga menyeru supaya upacara-upacara seperti itu harus ditiadakan pada tahun-tahun hadapan kerena kita telah pun diberi kesedaran diatas kesilapan dan kesalahan yang kita telah lakukan. Jemaah juga telah diajak berdoa supaya bencana seperti ini tidak diturunkan lagi.
Bob sangat tertarikh dengan satu penjelasan didalam khutbah itu yang merupakan satu sindiran mengatakan bencana tsunami itu merupakan satu kejadian seperti nasi sudah menjadi bubur. Ini kerena usaha memberi amaran dan persediaan lain mengenai malapetaka ini tidak dapat disampaikan kepada yang terlibat untuk bertindak. Apa yang kita lakukan pada masakini adalah hanya memperbaiki keadaan yang memungkinkan kita memasang sistem-sistem amaran awal yang canggih untuk mengurangkan kesan apabila ia berlaku lagi pada masa akan datang. Secara sinis khutbah itu berkata, sebenarnya amaran-amaran demi amaran telah pun di laungkan oleh para ambia dan ulama supaya kita takut kepada bala Allah SWT dengan meninggalkan apa yang dilarang dan melakukan apa yang dituntut, tetapi kita selalu mengenepikan. Khutbah-khutbat itu menegaskan bahawa bagi Islam, langkah-langkah pencegahan sebelum dari berlakunya perkara-perkara itu adalah lebih baik dari memperbaiki kemusnahan yang telah berlaku.
Khutbah itu terus bertanya kepada kita semua, adakah kita sanggup menerima lagi bencana-bencana yang lebih besar jika kita masih mahu lagi meneruskan acara-acara maksiat ini pada masa hadapan. Selaran oleh khutbah-khutbah itu terus ditujukan kepada penulis-penulis diakhbar yang buat masa ini sedang sibuk mengelirukan orang ramai dengan tulisan-tulisan mereka memutarbelitkan tentang perkara ini. Khutbah yang telah dibaca dua kali diseluruh masjid dinegeri Perak ini dengan tegas turut menyatakan bahawa sia-sia sahaja mereka yang datang berjemaah jika ada jemaah yang masih tidak mahu mengambil berat dan masih mahu meneruskan kerja-kerja maksiat yang sudah ditegur oleh para ulama sebelum ini.
Pada bob, bencana, susah derita, malapetaka, penderitaan dan apa juga yang tidak baik menimpa kita, baik kita yang taat sebagai seorang hambaNya atau pun sebaliknya, bukan lah satu hukuman, tetapi hanya lebih merupakan peringatan, ujian dan dugaan. Peringatan supaya tidak kita tergelincir dari arah tujuan hidup untuk menjadi hambaNya yang sentiasa bertaqwa dan seterusnya tidak membawa kerosakan pada orang lain atau alam disekitarnya. Dugaan yang diberi sebagai ujian bagi memantapkan lagi keimanan kita menjadi insan yang benar-benar insaf terhadap kebesaranNya yang mana menghampiri dan disayangiNya menjadi matlamat utama kita dalam menjalani kehidupan hingga keakhir hayat. Jika peringatan yang jelas seperti ini tidak mudah kita fahami, jenis makluk apakah kita ini?
Bentuk ujian dan dugaan ini mungkin berbeza-beza pada setiap orang, tetapi seperti yang telah bob pernah katakan dulu, jika selalu kita diduga dan diuji, ini bemakna bahawa Allah SWT sentiasa menyayangi kita. Biar dugaan dan ujian itu datang bertalu-talu tetapi kita masih lagi tegak berpegang kepada akidah yang kita ini sebagai seorang hambaNya. Apa lagi yang kita mahukan jika Allah SWT sentiasa memberi perhatian kepada kita? Inilah perinsip hidup para nabi dan ambia dan ianya perlu ada pada diri kita jika hendak menjadi sebagai seorang Muslim yang sejati. Semoga kita tergolong diantara mereka.
Esuk hari raya. Kita sama-sama akan menyambut hari mulia ini. Bob ucapkan Selamat Hari Raya Haji, Aidil Adha, Hari Raya Korban atau Hari Raya Besar kepada semua kawan-kawan. Ramai diantara kita yang sudah pun bercuti dan ada yang telah sampai kekampung. Kepada yang sedang dan akan menggunakan keenderaan, bob ingatkan lagi supaya kita sentiasa berhati-hati dijalanraya.
Walaubagaimana pun, tatkala kita sedang bergembira dihari yang mulia dan yang patut diraikan ini, kita mestilah selalu ingat dan insaf kepada saudara-saudara kita yang sedang dalam keadaan kesusahan dan penderitaan. Terutama pada mereka yang sedang mengalami penderitaan selepas bencana gempa bumi dan tsunami baru-baru ini, serangan tentera penceroboh di Iraq, Aghanistan dan Chechnya, tanahair yang dirampas di Pelastin dan pergolakan lain seperti di Sudan, Kashmir, Selatan Thai dan Filipina, di China dan lain-tempat dibumi ini yang selalu menghimpit kebebasan menyebut nama Allah SWT. Bayangkan bagaimanakah mereka hendak hariraya dalam keadaan rumah, kampung dan negeri yang telah punah. Bahkan dalam kehilangan orang-orang yang disayang, saudara mara, jiran, sahabat handai. Kehidupan yang tidak menentu yang langsung tidak menampakkan harapan untuk hari esuk. Bayangkan gambaran betapa ramainya kanak-kanak yang kegembiraan mereka sudah hilang dari kamus hidup mereka. Apa yang ada pada mereka hanyalah ketakutan yang semakin mengganas dalam hati yang sudah tersiat disebabkan peristiwa-peristiwa buruk yang mereka tempuhi. Hilang senyum, hilang tawa, tiada lagi juadah, tiada lagi kenyang di hariraya. Malah entah kemana perginya ibu bapa dan saudara mara tempat untuk didakap mesra.
Pada hari yang mulia kali ini hendaklah kita benar-benar turut mendoakan akan kesejahteraan untuk saudara-saudara kita itu. Juga kita patut benar-benar insaf dimana setiap kita mempunyai tanggung keatas mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan. Buat lah apa yang patut bagi mengurangkan tekanan penderitaan yang mereka alami. Bob juga bangga dan mngucapkan syabas kepada kawan-kawan yang telah dan sedang menunaikan tanggungjawab ini. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budibaik mereka-mereka ini.
Pelik sungguh, apabila sahaja berlaku bencana alam, manusia didunia ini akan cepat-cepat merasa simpati. Tetapi pada bencana yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri ramai pula terdapat orang yang mencebik, mendabik dada, ketawa dalam puas dan kegirangan. Padahal akibahnya sama sahaja. Ia itu ada kematian, ada kemusnahan, ada penderitaan dan ada kesengsaraan. Tidak kiralah pada mereka yang berdosa dan yang tidak berdosa. Jika kita sebagai manusia sentiasa mempunyai sifat selalu rasa simpati terhadap bencana tentu sekali kita tidak sampai hati untuk mencetuskannya. Apa sahaja tindakan kita adalah demi kepentingan kemakmuran manusia sejagat. Bukan atas kepercayaan yang kita ini sebagai pahlawan, penyelamat atau penebus dosa. Bukan atas kepercayaan yang hidup kita ini terbelenggu atau disisih oleh Tuhan. Kita adalah sebagai seorang hamba yang sentiasa bertaqwa keatas ujian dan dugaan yang diberi keatas kita olehNya. Kita tumpukan bersama usaha untuk menambahkan rasa perhambaan kita kepadaNya dan jadilah kita sebagai umah yang disayangi. Bukan menambah lagi bencana untuk ditanggung oleh manuasia dan alamnya. Memulakan peperangan disana sini. Kita cipta bom dan senjata kemudian dengannya memusnahkan nyawa dan harta benda dan juga alam sekitar.
Tidak kah kita mepunyai rasa malu kepada Allah SWT, alam sekitar dan makluk-makluk lain yang diciptaNya atas betapa buruk perangai kita ini? Memusnah sesama sendiri dan makluk lain sejak dari dulu-dulu lagi. Mengapakah kita ini dijadikan sebegitu degil, zalim dan ganas? Yang mana kita tahu kesemua sifat-sifat buruk ini akan mendatangkan akibat buruk kepada kehidupan sejagat kita juga. Kita juga tahu samada kita musnahkah atau kehidupan sejagat dapat diteruskan sememangnya tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada Allah SWT.
Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita sama menilai diri kita sendiri sejauh mana rasa taqwa kita kepada Allah SWT setelah nikmat demi nikmat kita kecapi dari limpah anugerahNya yang tidak mengenal jemu. Sama-samalah kita menghayati kebesarannya dalam alunan takbir dan tahmid yang dilaungkan dan sedarlah betapa kecil dan lemahnya diri kita ini sebagai hambaNya. Cuba renungkan sejenak dengan penuh keinsafan.
Sejak dahulu lagi adalah sudah menjadi perkara yang mesti pada setiap kali datangnya hari raya tidak kiralah hari raya puasa atau hari raya haji, kami sekeluarga dikampung akan menyediakan lemang. Jadi pada hari raya haji ini nanti sudah tentu kami akan berbuat sedemikian bagi menikmati juadah yang menjadi kebanggaan orang-orang dikampung bob ini Lemang ini disediakan samada untuk dimakan bersama keluarga atau dihidang kepada tetamu yang datang. Sememangnya lemang-lemang ini akan tidak sempat basi kerena selalunya habis dimakan pada hari raya itu juga.
Buat masakini tugas menyediakan lemang kami telah dilakukan oleh adik-adik bob. Adik lelaki bob akan pulang lebih awal kekampung untuk pergi mencari dan menebang buluh lemang yang segar dan banyak terdapat dikawasan kampung lama bob. Sesudah buluh-buluh ini dipotong-potong mengikut ruas tertentu dan dibersihkan, adik-adik perempuan bob akan memasukkan pucuk pisang sebagai bahan alas didalam buluh itu. Kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan oleh orang yang mahir sahaja dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu. Mak bob pula akan memasukkan pulut yang sudah dibersihkan bersama santan sebagaimana yang diperlukan pada setiap batang lemang itu. Selalunya jika tiga kilo beras pulut ia memerlukan lapan batang buluh yang sederhana besarnya dan menggunakan enam hingga lapan biji santan kelapa. Santan yang telah diperah itu pula akan dimasukkan garam secukup rasa. Lagi lemak lagi sedap lemangnya.
Sementara itu adik lelaki bob tadi sibuk pula menyediakan tumang lemang dan menghidupkan api besar. Dahan kayu rambutan dan kayu getah merupakan bahan bakar terbaik untuk tujuan ini. Tumang lemang pula diperbuat dari sebatang besi paip yang ikat dan dicacak seperti tiang gol dengan ketinggian satu kaki setengah dari aras tanah yang berhampiran dengan ungun api tadi. Lemang-lemang yang telah disediakan tadi akan disandarkan kepada tumang ini selama lebih kurang dua hingga tiga jam untuk masak. Semasa lemang ini dibakar sedemikian, ianya perlu diberi perhatian dan dijaga selalu api dan buluhnya dipusing-pusing supaya tidak hangus dan masak dalam keadaan yang baik.
Semasa menunggukan lemak itu masak, mak bob pula kan menyediakan rendang daging atau ayam sebagai pelengkap kepada juadah utama hariraya ini. Daging yang selalu digunakan adalah dari bahagian daging batang pinang. Menyediakan rendang dari sekilo daging ini, kita perlu mengisar dua puluh biji bawang merah, empat biji bawang putih, empat batang serai, seringit cili kering, dua potong sebesar ibu jari lengkuas dan sepotong halia. Apabila sudah lumat, tumiskan bahan-bahan ini didalam kuali dengan empat sudu minyak masak hingga naik baunya.
Daging yang telah dibersihkan tadi dan dihiris-hiris akan dimasukkan pula kedalam tumisan tadi dan gaulkan hingga rata. Kemudian masukkan tiga cawan air bersama dua kilo santan kelapa. Masukkan juga empat helai daun kunyit yang telah dihiris halus bersama satu cawan kerisik. Ada juga orang yang suka memasukkan beberapa helai daun limau purut. Ini tidak menjadi hal, ikut sukahati kitalah. Jangan lupa pula untuk memasukkan garam secukup rasa dan sedikit gula. Semasa diatas dapur gaul-gaulkanlah rendang ini sehingga dagingnnya empuk dan kuahnya menjadi pekat. Jangan sampai hangus, rendang yang hangus akan mengurangkan rasa enaknya. Pada waktu begini, bau rendang ini sudah mampu mengkecurkan air liur dan jika kita sedang berpuasa, inilah godaan yang sangat mencabar dan haruslah kita menjauhkan diri darinya.
Sebaik sahaja rendang mak bob ini masak, lemang yang berada ditumang pun sudah boleh diangkat dan dibelah. Aduh .. harumnya bau apabila sahaja lemang ini terlondeh keluar sewaktu tangan kita terkial-kial mengopak buluh yang masih lagi panas. Lemang yang berbalut dengan daun pisang yang telah masak berwarna kekuning-kuning keemasan ini diketang-ketang dengan pisau dan disusun kedalam piring. Bau buluh, bau daun pisang, bau pulut bercampur santan sudah cukup membawa diri bob melayang dan tidak disedari jari-jari bob terus mencecahnya dengan redang yang juga masih panas siap tersedia dipiring sebelah. Walau pun dalam keadaan panas didalam mulut sehingga mengeluarkan asap, namun lemang dan rendang tetap juga dikunyah dan ditelan sebagai tanda hari itu kita akan menyambut hariraya. Itulah rasa, itulah perasaan kami sekeluarga sejak dulu apabila sahaja tiba sehari sebelum raya.
...........lemang dan rendang.............
Manakala pada hariraya haji pula, dikampung bob juga selalu mengadakan ibadat korban. Daging-daging korban ini akan diagih-agihkan dan darinya kami berpeluang membuat rendang sekali lagi pada petang raya. Pernah juga kami masak lemang sekali lagi pada hari keesukannya setelah hari raya.
"Segala tulisan, pandangan, peringatan dan hasil laman ini adalah milik saya. Seandainya ada pihak yang terganggu-gugat kerananya bukanlah atas tanggungjawab saya"