Kebakaran memang mudah berlaku dimusim kering sebegini. Dikampung semasa bob bebudak dulu, kebakaran sering berlaku pada kawasan kebun getah. Ini adalah kerena dimusim panas selalunya musim daun getah gugur. Manakala pokok-pokok renek dalam belukar dan lalang yang jarang ditebas yang tumbuh subur dicelah-celah pokok getah ini menjadi kering sangat mudah terbakar. Kadangkala kebakaran terjadi tanpa diketahui puncanya dan dengan tiba-tiba sahaja menjadi perkara gawat bagi kami penduduk sekampung.
Kebakaran sering terjadi dan makin marak diwaktu sebelah selepas zohor atau selepas makan tengahari. Waktu musim kering begini, angin pun sering betiup menyebabkan kami suka terlelap selepas makan tengahari diberanda rumah. Pada waktu-waktu beginilah kami sering dikejutkan dengan sorakkan yang meminta tolong kami memadamkan kebakaran kebun disekitar kampung kami. Selalunya bob dan kawan-kawan bob akan cepat-cepat memakai kasut sukan kami dan terus mencapai parang didapur kemudian turut menyertai orang-orang kampung yang lain menuju kearah tempat yang mengalami kebakaran itu.
Apabila sampai sahaja ditempat kebakaran, kami akan dibahagi-bahagikan kepada beberapa pasukan dan diarah memadam mengikut arah-arah tertentu. Selalunya mengikut arah anak air atau lembah berpaya dan bukan yang bertentangan dengan tiupan angin. Kami masing-masing akan segera menebang seorang satu pokok renek yang berdaun lebat sebagai alat pemadam api kami. Bob selalu memilih pokok senduduk. Ini adalah kerena bau pokok ini sedap dicium apabila terkena api.
Kami akan cepat-cepat cuba memadamkan api yang kecil-kecil dan muda terlebih dahulu dengan cara memukul-mukulnya dengan pokok renek kami tadi. Api yang sedang marak dan tinggi kami biarkan dahulu sahingga ia turun reda dan mudah untuk dimatikan. Sambil memadam api kami akan menjerit-jerit sebagai isyarat kepada kawan-kawan lain. Jika api kuat kami menjerit meminta pertolongan dari kumpulan lain. Jeritan yang berunsur cemas dan seronok ini menjadi kenangan kami sehingga masa kini.
Kadangkala oleh kerena api ini marak terlalu besar kawasannya sehingga melibatkan berpuluh-puluh buah kebun ianya tidak dapat dipadamkan dalam masa sehari dan terpaksa disambung keesukannya. Kampung kami sudah tentu diselubungi asap tebal hingga kemalam. Bob masih ingat rupa wajah kawan-kawan bob masing-masing setelah berjaya memadamkan api. Muka yang dipenuhi coretan arang hitam tetapi kelihatan puas sebagai wira-wira yang sudah menabur bakti kepada kampungnya. Kami kemudian selalu tertawa bersama.
Sepanjang pengetahuan bob, tidak pernah terjadi perkara yang buruk menimpa penduduk kampung bob semasa usaha memadam kebakaran-kebakaran ini. Cuma badan kami sahaja yang telah tercalar-balar luka terkena duri-duri. Tetapi akibat dari kebakaran ini menyebabkan penduduk kampung bob tidak dapat pergi menoreh jika pokok getahnya teruk dan banyak yang terbakar. Kawasan kebun akan kelihatan lapang dengan bahagian bawahnya berwarna hitam. Batang-batang dan ranting-ranting pokok juga terbakar berwarna hitam. Tunggul dan gambut akan mengeluarkan asap hingga beberapa hari. Rasa kasihan selalu menyelinap apabila bob mengenangkan nasib mereka yang bergantung sumber rezeki pada kebun getah apabila bencana seperti ini datang melanda sekali sekala.
Begitulah semangat kerjasama kami dikampung pada masa dulu-dulu. Saling bantu-membantu tanpa antara kami dengan ikhlas tanpa mengharapkan upah. Apa yang kami dapat hanyalah rasa puas dan masing-masing gembira kerena berjaya menyelamatkan kampung dan kebun dari habis semua terbakar. Terbakar bersama, panas bersama dan susah bersama. Allah SWT membalas dengan semangat muafakat bersama kami ini kemudiannya. Apabila tiba musim hujan, kebun dan kampung kami ini selalunya akan menghijau kembali. Pokok-pokok baru akan tumbuh subur, berbunga dan berbuah.Kami nikmati bersama.
Pada hari minggu lepas bob telah berpeluang singgah dipasar untuk menemani isteri bob membeli sayur-sayuran dan daging. Sambil itu bob juga sempat mencapai sebiji mempelam telur yang sederhana besarnya. Ini adalah dengan niat untuk bob membuat sendiri kerabu mempelam yang sangat bob minati.
Bila bercakap tentang mempelam telur atau disetengah tempat dipanggil mempelam padi ianya banyak meninggalkan kenangan manis pada diri bob. Dikampung bob dulu banyak terdapat pokok mempelam jenis ini tumbuh dimerata kawasan ditepi-tepi jalan dan dipingir-pingir kebun. Walaubagaimana pun ianya jarang berbuah dan bob tidak dapat memastikan kenapa ini berlaku. Tetapi adalah merupakan pekara yang amat mengembirakan jika ada pokok-pokok ini berbuah lebat. Selalunya pokok ini juga dihuni oleh semut kerengga. Oleh kerena ianya tumbuh ditepi-tepi jalan dan dicelah-celah antara pokok getah dan pokok buah yang lain, ianya tumbuh tinggi jika dibandingkan yang hidup rendang dtepi sawah.
Terbayang semula kisah dikampung bob dahulu ada seorang perempuan yang mempunyai perangai suka marah-marah. Mungkin kerena beliau mengalami sedikit sakit mental atau dalam bahasa kami "tiga suku". Beliau akan terpekik terlolong kalau ada bebudak yang agak bising datang bermain atau lalu didepan rumahnya. Keadaan marahnya kadangkala terlampau sampai menyelak-nyelak kain. Manakala pokok mempelam telur ditepi rumahnya behampiran dengan jalan selalu juga berbuah lebat dan terdapat banyak sarang kerengga. Maklum sahajalah, oleh kerena rumahnya ditepi jalan, jadi kebisingan kami bebudak yang sedang naik nakal pada masa itu tidak dapat dielakkan. Manakala bebudak yang ada kalanya sengaja berbuat bising bila lalu dirumahnya selalulah dihambat dengan kayu api. Mereka kemudian terpaksa berlari lintang pukang menyelamatkan diri sambil disambut dengan ketawa berdekah-dekah.
Hendak dijadikan cerita pada satu hari selepas waktu makan tengahari, sekumpulan bebudak yang sebaya dengan bob telah lalu dihadapan rumah itu. Mereka singgah sambil mengutip beberapa biji buah mempelam telur yang sudah masak jatuh diatas jalan. Tidak disedari oleh mereka dengan tiba-tiba sahaja perempuan ini telah datang menyerang dari arah atas rumahnya dan berkejar menuruni tangga. Ini membuatkan bebudak itu bertempiaran lari.
Dari jauh kelihatan dia dibawah pokok mempelam itu terus terpekik-pekik memaki hamun sedang tangannya meyelak-nyelak kain kearah bebudak. Tangannya yang sebelah lagi memegang kayu panjang sambil menghayun-hayunkannya. Dalam pada itu seorang kawan bob yang memang handal menggunakan lastik yang berada didalam semak tidak jauh dari tempat itu telah melastik sebuah sarang kerengga didahan pokok mempelam itu yang betul tepat berada diatas kepalanya. Apa lagi apabila sarang kerengga itu jatuh tepat keatas badannya dan serangga itu terus masuk menyelinap masuk kedalam pakaian dan kainnya. Ini membuatkan perempuan itu terus melompat-lompat dan membuka baju dan kainnya untuk membuang kerengga yang sememangnya sangat pedih apabila terkena gigitannya. Terutama ditempat-tempat yang agak sensitif. Masing-masing kami pun terganggalah menonton tarian yang tidak pernah kami tonton sebelum ini. Ianya menjadi cerita kami sekampung yang selalu akan disambut dengan gelak ketawa. Sejak dari peristiwa hari itu, kami tidak lagi terdengar perempuan ini terpekik-pekik memarahi bebudak lagi seperti dulu.
Kita lupakan dulu cerita ini mari kita bercerita tentang bagaimana menyediakan kerabu mempelam telur berkenaan. Sebiji mempelam ini dihiris-hiris halus seperti hirisan rojak dan dimasukan kedalam mangkuk. Masukkan juga tiga empat biji bawang merah yang juga telah dihiris halus bersama tujuh atau lapan biji cili padi.Goreng kering sejemput udang kering dan tumbuk hingga lumat. Kemudian gorengkan segenggam ikan bilis dan gaulkanlah kedua-duanya dengan bahan-bahan yang ada didalam mangkuk tadi. Perahkan dua biji limau nipis keatasnya dan masukkan dua sudu gula bersama garam secukup rasa. Gaulkan sehingga rata bahan-bahan ini dan kini kerabu mempelam kita telah pun sedia untuk dimakan.
Mempelam telur atau mempelam padi ini sangat subur dan rendang tumbuhnya ditepi-tepi atau diatas batas sawah. Ia merupakan pemandangan yang mesti ada berselang seli dengan pokok pinang dan kelapa jika tumbuh disekeliling rumah ditengah bendang. Jika tiba musim ianya berbuah, bob juga selalu mengambil peluang untuk bertandang kerumah seorang kawan bob yang mendiami kawasan seperti ini. Pokok-pokoknya yang rendah dan rendang ini memudahkan kami memetik buahnya hingga berguni-guni banyaknya. Memang seronok, sambil kami memetik buahnya sambil kami makan.
Selain dari kami makan yang telah masak, buah yang muda pula cicahkannya dengan kicap bercili. Manakala selebihnyapula kami akan jadikannya jeruk. Memang sedap jeruk mempelam yang dibuat sendiri. Selalunya jeruk ini habis sebelum ianya betul-betul menjadi jeruk.
"Jika lurus kelindan, luruslah benangnya". Begitulah bidalan bahasa yang tepat ditujukan pada sifat utama seseorang pemimpin. Ianya mengambarkan betapa penting seorang pemimpin yang bersifat jujur dan tahu bagaimana hendak memimpin pengikutnya dengan baik. Jika berlaku sebaliknya, pengikut-pengikutnya akan terseleweng kerena mengikut jejak pemimpinnya yang tergelincir diluar landasan.
Sebagaimana yang kita tahu, kepimpinan terdapat pada setiap peringkat. Pemimpin dirumah ialah bapa kita, pemimpin dikampung adalah terdiri dari berbagai pihak termasuklah ketua kampung, tuk imam, pengerusi dan AJK JKKK , wakil rakyat dan lain-lain. Manakala pemimpin kita diperingkat daerah, negeri dan negara adalah para pegawai dan menterinya. Kesemuanya adalah sama dan sebagai pemimpin mereka ini mestilah bertanggungjawab pada orang yang dipimpinnya.
Apa yang hendak bob bicarakan disini ialah perkara yang menyentuh tentang sikap kepimpinan yang baik yang perlu ada dalam diri kita sendiri. Ini adalah kerena kita juga perlu memimpin diri kita sendiri dan kitalah juga sebagai pemimpin diri kita. Kepimpinan yang baik inilah yang membawa kita kearah hala tuju hidup yang selamat, makmur dan bahagia.
Kepimpinan diri kita dalam satu hari ianya bermula sejak awal semasa kita bangun tidur lagi. Jika kita dikejutkan untuk bangun tidur samada terkejut dengan sendiri atau dikejutkan oleh orang, kita mestilah perlu memimpin diri kita untuk terjaga dan bangun. Ada juga orang yang dirinya tidak dapat melakukan usaha memimpin ketika ini. Mereka terus diulit kesedapan tidur yang berselimutkan mimpi. Ini mungkin berlaku kerena tabiat yang suka berlambat bangun tidur atau kerena seseorang itu tidak sihat. Amatlah malang jika sebab yang pertama itu menjadi amalan kita.
Sehinggalah kita memimpin diri kita untuk membujuk mata supaya lelap ditempat tidur apabila tiba masanya.Kita perlu tidur ditempat yang bersih dan selamat kerena kita akan menyerahkan tubuh kita kepada keadaan yang kita tidak dapat mengawalnya disepanjang masa kita tidur. Ada orang yang langsung tidak dapat melakukan tugas memimpin ini sehingga ia tertidur didepan tv atau yang paling teruk terus terbungkang ditepi-tepi longkang dan ditepi-tepi jalan apabila berada dalam keadaan mabuk.
Begitulah pentingnya peranan kita memimpin diri kita sendiri sebelum kita boleh memimpin orang lain. Persoalannya, bagaimanakah caranya yang harus kita lakukan supaya apa yang kita pimpin menuju kearah yang benar? Apakah tugas-tugas yang perlu dijalankan sebagai seorang pemimpin? Ia adalah menentukan kemana arah tujuan hidup kita dan orang yang kita pimpin, memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk sampai kearah tujuan itu. Membuat keputusan-keputasan yang baik kepada diri kita, pada pengikut dan pada persekitaran kita.. Mempamirkan kebaikan yang kita buat supaya menjadi contoh kepada yang lain. Berkomunikasi dengan baik tentang perkara-perkara yang patut dilakukan bagi membimbing orang yang kita pimpin.Sentiasa memastikan pencapaian dicapai mengikut langkah-langkah yang telah dirancangkan. Juga sentiasa memberi panduan kepada yang dipimpin supaya berada dilandasan yang betul.
Melaksanakannya tidaklah semudah seperti yang dikatakan. Tetapi ianya akan bermula dengan langkah yang pertama. Sebagai pemimpin diri kita sendiri, kita sememangnya berupaya melakukan tindakan diatas untuk kita mulakan langkah pertama tanpa melibatkan orang lain. Sejak dari mula bagun tidur seawal pagi tadi tanpa dibangunkan oleh sesiapa, kita telah mengarahkan diri kita untuk pergi kebilik mandi dan melakukan pembersihan diri. Sebagai seorang muslim kemudian kita akan terus ketikar solat untuk mendirikan solat subuh dan mengukir janji kepada Allah SWT untuk menjadi seorang hambaNya yang soleh, sekurang-kurang untuk sehari ini. Disini kita telah melaksanakan proses untuk menentukan tujuan, halacara, matlamat hidup kita untuk sehari ini. Ini bermakna kita telah pun bersedia menempuh hari ini dengan penuh yakin.
Langkah-langkah lain seterusnya akan kita lakukan adalah berpandukan kepada janji kita tadi. Ini adalah bertujuan supaya kita sentiasa tidak tergelincir. Berbagai kaedah yang boleh kita pelajari untuk menyempurnakan perlaksanaan tugas-tugas kita ini. Berbagai teknologi yang canggih-canggih boleh kita pakai untuk memudahkan lagi ianya dilaksanakan. Kita harus ingat bahawa matlamat jangka panjang kita sebagai seorang muslim ialah apa yang kita lakukan semasa kita hidup dimuka bumi ini adalah untuk kesejahteraan kita diakhirat. Oleh itu disepanjang perjalanan hari penghidupan kita, mestilah kita berusaha mengutip dan mengumpul kebajikan dan membuang kemungkaran demi untuk mencapai tujuan itu. Kemudian apabila tiba waktu kita hendak masuk tidur pula kita mestilah menilai semula apa sahaja tindaka-tindakan kita disiang tadi samada kita masih dilandasan yang betul atau tidak. Darinya kita dapat menentukan matlamat hidup kita untuk esuk hari.
Mudah sahaja untuk memahami konsep kepimpinan diri sebelum kita dikatakan layak untuk memimpin orang lain. Jika perkara-perkara ini pun kita tidak mampu untuk melakukannya, janganlah kita boleh mendabik dada mengatakan kita ini seorang adalah seorang pemimpin. Nanti kita akan dilihat oleh pengikut kita seperti kebanyakan pemimpin sekarang ini seakan bapa ayam yang " mulut berkokok, ekor bergelumangan tahi".
Semalam sekali lagi isteri bob pergi betugas diluar kawasan. Kali ini pergi menghadiri sebagai fasilitator bengkel satu pasukan kajian disebuah resort di Port Dickson. Beliau diarah untuk tugas itu dalam keadaan tergesa-gesa dan terpaksa memandu sendirian. Mungkin hari ini beliau akan pulang. Bob doakan agar beliau selamat pergi dan kembali
Kita sering mendengar usaha pihak kerajaan yang sentiasa membantu pihak pengusaha hotel, penginapan atau resort seperti ini. Antaranya, ialah kita sering dapati banyak mesyuarat , seminar dan bengkel jabatan kerajaaan dilangsungkan ditempat-tempat sebegini. Cuti panjang hujung minggu pun telah lama dilaksanakan untuk menggalakan pelancungan tempatan. Walaupun begitu, pengusaha-pengusaha ini masih merungut dengan masalah-masalah kurangnya pelancung pada hari bukan puncak atau pada hari-hari bukan hujung minggu. Tetapi bagi pendapat bob, masalah harga bilik penginapan yang terlalu tinggi adalah menjadi perkara utama yang menyebabkan ianya muram.
Pada bob pula, mencari tempat penginapan dibeberapa lokasi pelancungan dimusim cuti sekolah adalah merupakan perkara yang memeritkan. Usaha untuk membuat tempahan perlu dibuat sejak awal lagi supaya tidak dikecewakan dengan ketiadaannya disaat-saat akhir. Tempahan seawal dua hingga tiga bulan sebelum ianya diperlukan. Mengapa terlalu sukar begini? Mungkin kerena jumlah penawaran bilik-bilik yang ada tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan yang meningkat pada satu-satu masa puncak. Juga dengan harga yang agak murah jika didasarkan kepada nilai tukaran matawang negara lain yang berjiran dengan kita menyebabkan pelancung-pelancung dari negara-negara jiran ini membanjiri tempat-tempat begini. Tetapi pada kita harga ini masih tetap mahal bagi pelancung-pelancung tempatan seperti kita. Permintaan ini berttambah memuncak terutamanya ketika musim cuti sekolah dinegara jiran serentak dengan musim cuti persekolahan anak-anak kita. Pada ketika inilah ada terdapat pengusaha-pengusaha tempat seperti ini cuba menangguk diair yang keruh dengan mengenakan kadar-kadar yang tidak munasabah.
Semalam bob berkesempatan untuk menyemak keadaan suhu dan cuaca dikawasan istirehat ditanah-tanah tinggi dinegara kita. Bob dapati suhu di Cameron Highland sangat sesuai untuk mengamit kita pergi kesana. Tempat ini dijangkakan mengalami suhu terendah sehingga lima belas darjah celcius dan suhu paling tinggi dua puluh empat darjah celcius sahaja. Manakala di Bukit Fraser pula suhunya adalah diantara lapan belas dan dua puluh tujuh darjah celcius. Sesekali dijangka akan disirami hujan. Walau pun begitu melalui tinjuan bob, didapati kebanyakan tempat penginapan ditempat-tempat begini telah pun penuh ditempah untuk musim cuti sekolah yang akan datang ini. Oleh itu peluang bagi yang datang dengan tiada menempah terlebih dahulu adalah tipis.
Kita tinggalkan dulu cerita ini, mari kita baca bait ringkas mengenai kuih koci yang pernah kita dengar semasa kita kecil-kecil dahulu,
"Kuih koci tiga segi
Diluar tepung didalam inti,
Dimakan orang yang tiada bergigi"
Sememangnya kuih koci yang berbungkus dengan daun pisang ini berbentuk seakan tiga segi. Sangat sesuai untuk dimakan pada waktu makan petang bersama kopi pekat panas. Tetapi kini telah menjadi hidangan biasa jika kita menghadiri mesyuarat-mesyuarat tidak kira petang atau pagi. Ada juga orang merungut bahawa kuih ini tidak sesuai untuk ini kerena tepung yang membalut badan kuih ini adalah tepung beras yang melekit apabila dipegang. Jadi ahli mesyuarat terpaksa bermesyuarat atau meneruskan mesyuaratnya dengan jari yang melekit. Kemudian terpegang pensil dan kertas.
Memang semua orang yang bermesyurat masakini kebanyakan mempunyai banyak gigi. Jadi tidak ada masalah bagi mereka, walaupun kuih ini sangat sesuai dimakan oleh orang yang tiada bergigi. Ini disebabkan kuih ini tidak perlu dikunyah dan ianya boleh ditelan begitu sahaja. Walau bagaimana pun kuih ini perlu dipotong yang kecil-kecil sedikit terlebih dahulu sebelum dilahap. Jika ditelan terus begitu sahaja setelah dibuka bungkusnya boleh menyebabkan kita tercekik dan terbelahak. Harus dingat, kita masih belum terdengar ada ahli mensyuarat yang maut kerena tercekik kuih koci. Kemungkinan itu memang ada kalau kita cuba.
Runggutan juga berlaku kiranya inti kelapa manis didalam kuih ini selalu akan terlekat pada kerongkong dan dicelah-celah gigi. Jika ia terlekat pada kerongkong kita, ianya akan membuatkan tekak kita rasa perit dikerongkong dan terbatuk-batuk. Walau pun begitu ianya senang dibersihkan dengan meneguk air minuman seperti teh atau kopi tetapi sekiranya terlekat dicelah-celah gigi kita ini akan menjadikan satu masaalah rumit. Disepanjang mensyuarat kita terpaksa mengesip-ngesip gigi. Jika ianya kedengaran oleh orang-orang sebelah kita, ini akan menganggu penumpuan mereka kepada perbincangan. Terpaksalah pula kita menerima jelingan marah.
Walau bagaimana pun kuih koci adalah kuih tradisional kita yang menjadi kegemaran bob. Jika bob pergi membeli kuih digerai-gerai, bob tidak akan melepas peluang untuk memilih kuih ini. Apabila sahaja bungkusan daun pisangnya dibuka, akan kelihatan kuih ini lembab berminyak-minyak yang menyebabkan bagaikan tidak tertahan-tahan untuk jari kita menyuapkannya kemulut. Bau tepung pulut berbaur daun pisang yang dikukus ini sudah cukup membuatkan air liur kita membuak-buak keluar menyambut kuih ini kemulut kita.
Jangan ditanya pada bob tentang resepinya. Sebenarnya, bob hanya tahu makan kuih ini sahaja. Oleh itu jika ada kawan-kawan yang pernah membuatnya silalah berkongsi ilmu dengan kita semua.
Membina rumah kediaman sendiri adalah menjadi satu perkara yang biasa dilakukan oleh orang-orang kampung dahulu. Pada zaman bob kecil-kecil dahulu, kerja-kerja membina rumah dari bahan kayu dan papan ini dilakukan oleh ketua rumah dengan bantuan bebrapa orang tukang rumah atau saudara mara lelaki yang terdapat dikampung itu. Allahyarham datuk bob adalah seorang tukang, bukan sahaja tukang rumah tetapi tukang membuat alat kelengkapan lain seperti bot, sampan, jambatan dan lain-lain. Tugas ini adalah selain dari tugas utamanya sebagai seorang tuk mudim.
Apabila seorang pemuda kampung telah berkahwin dan membuat keputusan untuk hidup berasingan dari keluarga ibu bapanya, dia akan mula mengumpul sumber dan berbaik-baik dengan orang-rang yang mempunyai kemahiran atau tukang rumah. Sesudah sumber kewangannya mencukupi beliau akan mula berbincang dengan tukang-tukang ini bersama bapa dan kawan-kawannya untuk membuat perancangan kerja. Ini termasuklah dalam hal memilih tapak tanah mana yang sesuai, saiz rumah yang dikehendakki, bilakah masa ia hendak didirikan dan rekabentuknya. Selalunya untuk memutuskan hal tentang tapak rumah adalah ditentukan oleh pihak bapa atau bapa mertuanya. Manakala masa yang baik untuk memulakan kerja adalah dipilih mengikut persetujuan ahli keluarga yang lain. Tentang rekabentuk rumah adalah hasil idea tukang rumah itu sendiri berdasarkan kepada saiz yang ditentukan oleh tuan empunya rumah.
Apabila persetujuan telah didapati, tuan rumah ini bersama-sama tukang rumah tadi dan beberapa ahli keluarga lelakinya akan pergi kekilang papan yang berdekatan. Sambil menanti tempahan papan, kayu dan atap yang ditempah sampai, kumpulan ini akan memulakan kerja-kerja penyediaan tapak rumah. Pokok-pokok akan ditebang dan tanah akan diratakan.Tukang rumah tadi dan ahli keluarga yang tua akan menentukan hala kemana rumah itu perlu didirikan dengan cara memacakkan pancang-pancang kayu kecil ditanah yang diratakan tadi. Satu tempat untuk menegakkan tiang seri rumah itu akan dipilih. Apabila kayu tiang sampai, satu upacara kenduri kecil makan pulut kuning dimana kemudiannya dijalankan pula upacara menaikkan tiang seri ini diiringi dengan doa dan menepung tawar. Selalunya tiang seri ini terletak dibahagian penting dan tengah rumah berkenaan
Kesemua rumah ini mempunyai tiang dan berlantai setinggi lebih tinggi dari kepala orang. Bagi rumah yang sederhana besarnya, rekabentuknya mempunyai lebih dari dua buah bilik, sebuah dapur sebuah ruang tengah, ruang depan atau anjung, berandah, tangga depan, tangga tengah dan tangga dapur. Dibahagian anjung rumah selalunya dibuatkan banyak tingkap yang mempunyai dua set daun tingkap yang berasingan. Satu set bahagian bawah manakala satu lagi bahagian atas. Jadi apabila tingkap-tingkap ini dibuka nanti akan memberi cahaya yang lebih hingga kebahagian tengah rumah itu. Kemahiran tukang sebagai ketua kerja ini akan terselah dengan ukiran-ukiran pada dijeriji kayu ditingkap, diberandah dan ditangga. Ukiran-ukiran papan dicucur atap dan dirabung rumah juga akan menambah cantik lagi rumah bekenaan. Zing selalu digunakan sebagai atap yang menggantikan atap nipah dan rembia spada zaman ebelumnya.
Apabila rumah ini telah siap, selalunya ia akan disapu dengan cat minyak hitam bagi mengelakkan dari diancam anai-anai dan bubuk. Selalunya tangga simen akan dibina pada bahagian pangkal tangga dan simen juga akan dijadikan sebagai alas tiang-tiang rumah ini. Satu kenduri doa selamat juga akan diadakan setelah rumah ini siap yang memakan masa kira-kira empat atau lima bulan kemudiannya. Kerja ini memakan masa yang lebih lama untuk disiapkan kerena tukang tadi bukanlah kerja sepenuh masanya kerena beliau juga mempunyai kebun getah yang perlu ditoreh pada sebelah paginya.
Bagi sesetengah penduduk kampung yang kurang berada mereka membuat rumah dari bahan-bahan yang diperolehi sendiri dari hutan. Kayu untuk tiang, lantai, dinding dan atapnya dicari dan ditebang dari dalam hutan yang berdekatan. Kayu tiang biasanya akan dipilih dari jenis kayu yang keras dan tahan lama. Dinding tetas akan dibuat dari anyaman buluh dan atapnya diperbuat dari daun bertam. Manakala lantainya pula dari belah-belahan batang pinang hutan. Selalunya rumah ini mempunyai satu bilik tidur, satu dapur dan satu ruang tengah sebagai anjung dan tempat makan. Kos membina rumah seperti ini tidak memerlukan belanja yang banyak. Hanya melibatkan perbelanjaan membeli rokok nipah dan air kopi sahaja sebagai upah orang yang datang membantu.
Pernah pada satu ketika dulu bob sering juga membantu mendirikan beberapa buah rumah jenis ini. Pada masa itu bob memang mahir membuat dinding buluh tetas dan menganyam atap daun bertam. Bob juga pernah membantu orang mengambil upah membuat atap rembia. Pada ketika ini bob sering bertanya, masih adakah lagi kerja-kerja sebegini dilakukan oleh orang-orang dikampung kita?
Apabila diimbau kembali, terfikir oleh bob betapa indahnya nilai-nilai kerjasama, persepakatan dan kemahiran untuk berkendiri yang diamalkan oleh orang-orang kita masa dulu. Kemanakah perginya kemahiran tukang-tukang rumah yang seperti bob ceritakan tadi masakini? Mungkin ia telah dibawa mereka bersama meninggalkan kita dan anak cucu cicitnya kemudian. Sayang sekali nilai-nilai yang baik ini telah lenyap ditelan oleh ombak zaman begitu sahaja.
Oleh itu jika kawan-kawan berkesempatan untuk pulang kekampung dan terpandang kepada rumah-rumah papan yang telah usang dipanjat ulan menanti roboh, cuba kita kenangkan tangan-tangan gagah yang mendirikannya dulu. Bayangkan jari-jarinya yang berparut, tapak-tapak tangan yang keras belulang dan urat-temurat yang timbul dilengan-lengan yang berminyak dimandikan peluh berkerja dengan gigih untuk membunanya. Mulut mereka yang bising dengan gurauan dan gelak ketawa sekali sekala diselangi dengan kepulan asap rokok tembakau dan nipah menampakkan keceriaan dan kesungguhan mereka...... Dimana mereka ini jarang meminta upah. Al-Fatihah buat semua mereka......
Pada 12 sehingga 20 Mac nanti adalah minggu cuti persekolahan. Walau pun seminggu, tapi ianya cukup dapat bagi sesebuah keluarga untuk membuat aktiviti bersama terutama bagi gulungan sesetengah penduduk ibu kota yang memandang berat tentang hal ini. Sibapa dan siibu yang berkerja bolehlah mengambil dua atau tiga hari cuti untuk melepaskan lelah sambil dapat melakukan beberapa perkara bersama dengan anak-anak mereka.
Ada dikalangan mereka ini lebih senang duduk dirumah bersama sambil mentelaah pelajaran, bermain dipandang permainan yang berhampiran, bermain didalam rumah, memakan masakan ibu, menoton tv dan lain-lain yang mungkin tidak terluang pada hari-hari berkerja dan bersekolah. Ada juga keluarga yang lebih suka pergi ketempat-tempat lain untuk meluaskan pandangan dan pengalaman. Mereka ini pergi melawat kebandar-bandar lain, melihat tempat-tempat yang boleh memberi menafaat kepada anak-anak mereka.
Setengah ibu bapa juga ada yang merancang untuk pergi membawa keluarga mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar seperti berkhemah, memancing dikawasan pendalaman, melakukan "jungle tracking", menyelam kedasar laut, mendaki gunung, berkayak atau berakit disungai dan ditasik dan lain-lain. Terpulanglah pada kemampuan dan kegemaran masing-masing.
Sejak akhir-akhir ini bob terfikir kapada satu lagi jenis aktiviti yang elok dirancangkan bagi memberi munafaat keluarga kita dimusim cuti sekolah ini. Bob tidak tahulah setakat ini, tentu ada yang telah melakukannya. Perkara ini timbul apabila bob terdengar Ayu mengimbas kembali keseronokannya semasa bob membawa beliau dan abang semasa kecil dulu kesebuah ladang teh di Cameron Highland. Mereka dapat melihat bagaimana teh yang diminum setiap hari dipetik, diproses dan kemudiannya dibungkus. Beliau juga sering menceritakan kepada adik-adiknya tentang lawatan anjuran sekolahnya kesebuah kilang roti yang juga menjadi hidangan pagi dan malam mereka hampir setiap hari. Oleh itu bob mencadangkan supaya semasa cuti sekolah ini, ada juga ibu bapa yang merancang membawa keluarga mereka melawat ketempat-tempat pembuatan seperti ini.
Melawat ketempat-tempat seperti kilang kasut, kilang roti, kilang mencetak buku, mencetak surat khabar, membuat dan membungkus makanan, kilang membuat pakaian, studio rakaman musik dan tempat lain yang seakan dengannya boleh dijadikan pilihan sebagai usaha permulaan. Usaha begini tidak banyak melibatkan kos kerena kebanyakan tempat-tempat begini terdapat disekitar kawasan tidak jauh dari ibu kota ini. Tidak payah untuk kita pergi jauh keluar kawasan dan lawatan boleh dibuat selama satu atau dua jam dan kemudian pulang semula kerumah. Apa yang diperlukan hanyalah berhubung dengan pihak-pihak yang menguruskan perusahaan itu untuk memohon kebenaran untuk keluarga kita mengadakan lawatan. Amat beruntunglah jika kita mempunyai kenalan ditempat-tempat begini yang memudahkan lagi urusan tersebut.
Apakah kebaikannya yang kita dapat mengunjungi tempat-tempat begini? Jelas sekali, sebagai contohnya, jika kita pergi kekilang kasut dan melihat bagaimana sukarnya untuk membuat sepasang kasut yang dipakai oleh anak-anak kita sekarang, tentu sekali mereka akan memberi penghargaan yang lebih pada kasut mereka. Jika kita pula membawa mereka melawat kilang tempat mencetak buku, tentu sekali apabila bagaimana sukarnya proses membuat sesebuah buku ini akan dapat mengubah tanggapan mereka tentang tabiat supaya lebih suka membaca buku. Begitu juga ketempat-tempat yang lain.
Selain dari itu tentu sekali kita akan dapat mendidik mereka bersikap supaya mengambil tahu mengenai teknologi pembuatan dan pengeluaran barangan penggunaan harian. Mereka boleh bercerita tentang perkara ini dan mungkin boleh membentuk satu tahap keazaman pada mereka untuk berkecimpung dalam bidang ini pada satu hari nanti. Pembenihan fikiran seperti ini adalah satu perkara penting pada generasi akan datang yang kehidupan mereka nanti sangat bergantung kepada teknologi proses.
Moga dengan cadangan bob ini akan dapat memberi kebaikan pada kawan-kawan yang mempunyai anak-anak yang sedang mula belajar erti kehidupan. Pelajaran dan pengetahuan dari pengalaman yang mereka lihat dan berada ditempat berkenaan yang jarang diperolehi dalam bilik darjah mereka. Selamat mencuba.
Setelah lebih seminggu kita dihuruharakan oleh media aliran perdana akan perihal IRC yang kemudiannya ditukar mejadi IFC, kini terjawablah sudah semua pertanyaan yang dinanti-nantikan. Persoalan yang menjawab tentang pendirian setengah pihak mengenainya. Pendirian jenis Islam yang dianuti mereka ini. Pernyataan-pernyataan yang dibuat telah langsung mengguris luka setiap hati orang mukmin dinegara ini. Pernyataan yang sememangnya telah diketahui oleh semua orang mukmin dinegara ini cuma menunggu masa sahaja ianya terkeluar dari mulut orang yang mengelar diri mereka pemimpin yang bijaksana. Kini sahlah halatuju apa yang tersirat didalam dada mereka dan apa yang mahu seterusnya mereka lakukan.
Kenyataan pihak berkenaan semasa di Formation of IFC conference kelmarin berbunyi begini :'tidak ada penganut agama yang boleh menyatakan bahawa agama mereka adalah lebih baik daripada agama lain'. Ini sangat mengelirukan orang-orang Islam yang berpegang teguh kepada ayat-ayat Allah SWT telah berfirman yang bermaksud "Maka apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang kafir). Mengapa kamu (berbuat demikian); bagaimanakah kamu mengambil keputusan. Atau adakah kamu mempunyai sebuah kitab (yang diturunkan Allah) yang kamu membacanya, bahwa didalamnya kamu benar-benar boleh memilih apa yang kamu sukai untukmu. Atau apakah kamu memperoleh janji-janji yang diperkuat dengan sumpah dari Kami, yang tetap berlaku sampai hari kiamat; sesungguhnya kamu benar-benar dapat mengambil keputusan (sekehendakmu) Tanyakanlah kepada mereka:"Siapakah di antara mereka yang bertanggung jawab terhadap keputusan yang diambil itu" Atau apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu? Maka hendaklah mereka mendatangkan sekutu-sekutunya jika mereka adalah orang-orang yang benar" (Al-Qalam: 35-41)
Dalam satu ayat lain Allah SWT juga telah memberi amaran kepada kita yang bermaksud "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu". (Al-Baqarah: 120)
Apa yang hendak diperkatakan disini bukan tentang boleh atau tidaknya kita bebrbaik-baik dengan orang bukan Islam, tetapi ialah peristiwa yang mempersoalkan tentang akidah kita terhadap Islam yang kita anuti. Selama ini pun kita tidak mempunyai masaalah besar untuk menerima orang bukan Islam yang duduk sekampung dengan kita. Malah mereka juga turut sekali sekala membersihkan surau dan masjid kita. Kita juga turut membakar mercun dan menghidupkan pelita dimusim perayaan tanpa merosakkan akidah kita. Tetapi kali ini apabila ada diantara kita telah menyamakan ugama Islam dengan ugama-ugama lain adalah perkara yang terlalu melampau.
Kita sememang sudah dan boleh duduk berbincang di parlimen atau dikabinet bagi menguruskan pentadbiran negara yang terdiri dari rakyat yang menganut berbagai kepercayaan. Tidak pernah timbul persoalan kita tidak faham tentang apa yang bukan Islam anuti. Bahkan umat Islam dinegara ini adalah lebih memahami perihal ugama-ugama lain dari rakyat dinegara lain tentang ugama lain. Disebabkan pegangan yang kuat kepada Islamlah kita mempunyai daya toleransi yang tinggi untuk hidup aman saling hormat dan menghormati bersama dengan mereka.
Cuma apa yang telah berlaku ialah ada dikalangan pemimpin dikalangan kita yang teramat jahil mengenai Islam yang kononnya mereka anuti. Mereka terlalu jahil untuk memahami konsep hidup bersama bukan Islam yang terkandung dalam tuntutan agama Islam. Pandangan mereka terlalu sempit seperti keadaan umat-umat yang terjajah dulu. Kemudian mereka ini terputar belit dimainkan oleh nafsu. Tidak mahu langsung merujuk kepada Al-Quraan dan hadis usahkan untuk memutuskan perkara atau isu mengenai pentadbiran negara, malah didalam membuat keputusan mengenai urusan pentadbiran agama dan umat Islam itu sendiri sering tidak dirujuk kepada tuntutanNya.
Bob terlalu tersinggung mengenainya.......wallahu alam...
......bersulam-sulaman antara dendan dan kasih.....
Mengapakah agaknya perasaan dendam selalu menghinggapi kita. Tidak kiralah dendam yang bebentuk menyakitkan atau pun sebaliknya. Dendam terhadap orang lain. Dendam yang selalunya terdapat pada dua insan yang bermusuhan. Dendam seperti ini tidaklah menjadi perkara yang susah untuk dibicarakan. Ianya telah banyak terjadi dan berlaku sejak dulu samaada yang kita tahu dan ada juga yang berlaku didepan mata kita. Dendam jenis ini mudah untuk dikenali dan diatasi.
Apa yang hendak dibicarakan disini ialah dendam kesumat yang terdapat diantara dua orang yang berkasih mesra. Dendam yang membawa runtuhnya istana kasih diantara dua insan yang sememangnya sedang berjuang bermati-matian untuk membina menjadi tugu yang agung buat mereka. Mungkin ini satu perkara pelik untuk dibincangkan. Walhal sepatutnya diantara dua insan yang sedang berkasih sememangnya tidak ada dendam diantara mereka selain dari perasaan rindu dendam apabila keduanya berjauhan.
Memang selalu kita dengar orang bercerai berai, putus tunang, putus hubungan ketika berkasih-kasihan, putus hubungan keluarga atau saudara, anak tidak mengaku ibu dan sebaliknya, abang tidak mengaku adik dan sebaliknya. Ini lah senario dendam yang ujud dikalangan mereka yang mahu kita bicarakan disini. Seorang isteri menyimpan dendam kepada suaminya kerena suaminya telah melakukan satu "kesilapan". Walaupun dimulut perkara ini telahpun lama dimaafkan dan diselesaikan namun ianya merupakan bagai "api dalam sekam" yang membakar hati siisteri secara diam-diam dan perlahan-lahan. Apabila tiba masanya, perkara ini akan diungkit semula dan proses membalas dendam pun dijalankan.
Begitu juga dalam konteks hubungan antara dua orang yang sedang bertunang atau yang sedang berkasih-kasihan. Oleh kerena berlaku sedikit "kesilapan" sahaja pada salah seorang diantara mereka, seorang lagi akan menyimpan dendam dan cuba akan membalasnya pada satu hari nanti. Walhal pada masa bercinta perkara ini tidak langsung ditimbulkan malahan disorok dan dipendam jauh kelubuk hati. Pada masa itu semuanya indah belaka. Tetapi dendam ini juga akan menjadi satu ungkitan utama jika ditakdir berlakunya perpisahan diantara kedua insan ini.
Dendam juga sering menyelinap diadalam perasaan dalam hubungan kekeluargaan. Misalnya kerena tersalah layanan atau "berat sebelah" dikalangan adik beradik oleh ibu bapa dalam satu keluarga yang menyebabkan simangsa menyimpan dendam. Apatah lagi jika perkara ini telah terpendam berlanjutan sejak dari kecil. Ianya akan mengakibatkan luka yang lebih buruk dan mendalam sehingga begitu parah apabila proses membalas dendam terluang.
Mengapa dendam seperti ini terujud dan menyulam ditengah-tengah kemesraan berkasih? Sukar untuk dijawab. Mungkin disebabkan sikap yang sudah terdidik tidak mahu memaafkan seseorang. Sukar untuk melupakan peristiwa-peristiwa buruk yang menyakitkan dan terlalu berasa kerugian apabila ditimpa petaka. Terlalu menyimpan hati dan memendam rasa terhadap tingkah laku pasangan yang dianggap melukai perhubungan. Tidak mau berbincang dengan baik dan menyuarakan perasaan juga memang terlekat kuat pada sesetengah orang. Berperasangka buruk pada pasangan dan tidak berfikir secara wajar atau rasioanl juga adalah sikap yang menyuburkan persaan dendam ini. Pada bob, oleh kerena sikap seseorang yang negatib sebeginilah yang memudahkan dendam ini bersarang dibenak perasaan.
Apa yang perlu dilakukan ialah kita mestilah belajar jika samada dengan segera atau perlahan-lahan membuang sikap-sikap negatib itu. Sikap negatib yang terdapat pada tabiat berdendam ini akan mengurangkan daya kekebalan tubuh kita dari menghadapi penyakit. Perkara ini pernah dijelaskan dengan dengan penemuan fakta-fakta yang boleh diterima dalam The Journal Proceedings of The National Academy of Science. Fakta-fakta ini telah di sokong oleh pakar-pakar dari University of Wisconsin-Madison yang mengatakan orang yang selalu menyimpan dendam atau banyak beranggapan negatib sering dihinggapi virus selsema. Mereka juga turut menyatakan "Emosi memainkan peranan penting dalam pengaturan kekebalan tubuh yang mempengaruhi kesihatan kita!"
Bob ulangi lagi persoalannya, mengapa kita suka bersikap menyimpan dendam pada orang yang kita sayang atau kita kasih? Mengapa terdapat perasaan dendam datang menyusup diantara kasih sayang? Sehingga menyebabkan dada kita sentiasa merasa sesak untuk bernafas. Bob teringat pula pada sebuah bidalan "seperti gunting dalam lipatan" yang mengambarkan keadaan seperti ini. Mari kita lihat firman Allah SWT mengenai perkara ini seperti dimana jelas menyatakan orang-orang yang masuk dan bergembira disyurga akan dihilangkan tabiat buruk berdendamnya terlebih dahulu. FimanNya dalan surah Al-Hijr yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam surga (taman-taman) dan (di dekat) mata air-mata air (yang mengalir). Dikatakan kepada mereka):"Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman". Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam yang berada dalam hati mereka, sedang mereka merasa bersaudara duduk berhadap-hadapan di atas dipan-dipan. Mereka tidak merasalelah di dalamnya dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya." (Al-Hijr: 45 - 48)
Sebagai untuk renungan kawan-kawan yang masih lagi ada menyimpan dendam pada mereka yang kita kasihi disekeliling kita.......
Semalam bob singgah bertandang di tempat Wynn "Black Kembara Special Edtion". Dia terus mendendangkan sebaris senikata lagu "Pulangkan" nyanyian Mishar yang menjadi lagu tema dalam filem "Pontianak Sundal Malam" arahan Suhaimi Baba. Tegak bulu roma bob bila mendengar suara si Wynn yang sememangnya berbakat itu. Lagu ini juga telah membawa penyanyinya itu mendapat anugerah sebagai artis terbaik ketika itu.
Setiap kali apabila mendengar lagu ini bob akan teringat kepada sepokok bunga kemunting yang terdapat dihadapan rumat jiran bob. Apabila tiba musim pokok ini berbunga, ia akan mengeluarkan bunga yang putih bersaiz kecil dengan banyaknya. Terlalu banyak sehingga tidak kelihtan daunnya yang hijau. Apa yang paling menariknya ialah baunya yang terlalu harum sehingga boleh membuat kita terbau sejauh beratus meter dari pokok itu. Bau ini bertambah harum apabila tiba waktu malam. Semakin malam, semakin kuat dan harum baunya yang menyebabkan bebudak muda dikawasan bob yang suka keluar malam takut untuk pulang lewat malam.
Setiap kali mendengar lagu ini juga bob akan terkenang pada perkataan "pulangkan". Perkataan pulangkan ini sebenarnya mempunyai maksud lain bagi orang-orang dikampung bob. Ia merupakan satu adat tradisi yang banyak terselit seribu pengjaran dalam kehidupan seharian masyarakat setempat bob dikampung dahulu.
Apabila sahaja tersebut tentang adat lama ini, bob terus teringat pada satu peristiwa yang bob tidak dapat lupakan sehingga kehari ini. Dari peristiwa inilah mungkin kawan-kawan akan faham apakah yang dimaksudkan adat "pulangkan" ini. Ianya berlaku pada sebuah keluarga jiran bob yang mana ketika itu bob masih disekolah rendah lagi. Kisah ini berkisar pada seorang budak lelaki anak jiran bob ini sebaya dengan bob yang juga merupakan sahabat baik bob.
Pada satu hari pada sebelah petang musim cuti sekolah sahabat bob ini telah ditugaskan oleh ibunya untuk menjaga adik perempuannya. Mereka ini sebenarnya hanya dua beradik sahaja dan adiknya itu masih kecil berumur kira-kira kurang dari satu tahun. Ibunya pada masa kejadian itu sedang bertandang dan bersembang dengan mak bob. Ini merupakan perkara biasa dalam kehidupan ibu-ibu dikampung setelah semua kerja rumah dibereskan. Sebelum itu ibu beliau telah pun mengoreng jemput-jemput pisang untuk makan petang.
Semasa ditinggalkan ibunya, siadik ini telah ditidurkan didalam buaian kain yang digantung ditengah-tengah ruang rumah. Biasanya sahabat bob ini yang ditugaskan menghayun buai adiknya ini akan menyambil untuk mentelaah buku sekolahnya. Sebelum dia berbuat begitu, diceritakan pada bob, bahawa beliau telah pergi kedapur mengambil kira-kira sepuluh ketul jemput-jemput pisang tadi yang masih panas utnuk dimakan semasa ia menjaga adiknya itu. Jemput-jemput ini diletak didalam piring dan dibawa sekali berbaring disebelah buaian adiknya itu. Oleh kerena jemput-jemput itu masih terlalu panas beliau tidak terus memakannya tetapi hanya mengambil buku sekolah dan membaca sambil berbaring dengan sebelah tangannya lagi menghayun buaian. Entah macam mana beliau telah terlelap dan hanya terjaga apabila terdengar suara adiknya sibuk mengunyah sesuatu dengan lahapnya.
Alangkah terkejutnya beliau apabila didapati piring dan jemput-jemput pisangnya telah bertaburan dilantai. Apabila dia memungut semula jemput-jemput itu sambil mengira jumlahnya didapati kuih itu tidak luak, masih sepuluh ketul lagi. Bertambah terperanjat besar lagi pada beliau apabila timbul tanda tanya didalam kepalanya, apakah yang sedang diikunyah oleh adiknya itu?. Dilihat ada beberapa ketul benda lain yang seakan sama rupa seperti jemput-jemput pisang itu juga turut bertaburan dari dalam buaian dan diatas lantai. Sudah tentu adiknya itu menyangka benda-benda itu adalah jemput pisang dan dipulunnya sekali. Apa lagi dia terus berlari kerumah bob memanggil ibunya yang kemudian bergegas pulang mengeluarkan lebihan benda itu yang masih dikunyah dalam mulut anak kecilnya itu. Setelah dibersihkan, anaknya itu pun diberi susu dan ditidurkan semula, manakala sahabat bob tadi termanggu ditangga dalam kebinggungan dan penuh penyesalan.
Pada keesukan harinya pada sebelah petang, sahabat bob dengan muka sedih telah mengajak bob untuk menemankan beliau untu menjalankan upacara "pulangkan". Kami telah diarahkan untuk pergi membawa adik kawan bob itu keseberapa banyak rumah yang boleh diseluruh kampung itu. Kami perlu menyerahkan adik kami itu kepada tiap-tiap suri rumah berkenaan sambil menyerahkan semangkuk bubur pulut hitam dan putih sebagai penebus untuk membelinya kembali.
Apabila sahaja kami sampai dirumah-rumah itu, selalunya kami akan ditanya tentang apa yang telah berlaku. Kawan bob itu akan menceritakan semuanya dan kami pun dihujani dengan nasihat, pesanan dan peringatan. Ianya terus menjadi ingatan pada diri bob sehingga kini.
Begitulah adat orang dulu-dulu yang kelihatan pelik tetapi mengandungi penuh maksud dan pengajaran yang tersirat. Ia mengajar kita supaya memelihara anak dalam keadaan yang sentiasa berwaspada. Apa-apa sahaja boleh berlaku jika kita berkeadaan alpa. Apabila kejadian yang buruk ini telah pun berlaku, mestilah kita bertanggungjawab untuk memohon maaf kepada seluruh masyarakat. Ini adalah kerena kami pada masa itu mendukung kepercayaan yang usaha mendidik anak-anak kecil itu adalah tanggung jawab sekampung. Alangkah cantiknya adat ini dan ianya juga berlandaskan kepada falasafah yang selari dengan kehendak ugama kita. Dimana segala kemungkaran yang berlaku dikalangan masyarakat adalah tanggungjawab para jemaah untuk membanterasnya.
Bob masih teringat lagi bila adik kecil ini telah diterima untuk masuk kesekolah berasrama penuh beberapa tahun kemudian, beliau telah diiringi oleh orang kampung penuh sebuah bas. Belanja sekolah untuk satu tahun diasrama itu adalah ditanggung dari derma ikhlas orang-orang kampung berkenaan. Kini beliau telah pun menjawat jawatan pegawai tinggi kerajaan yang bertugas disebuah kedutaan diluar negeri dan ia menjadi kebanggaan kami.
Pada satu hari diminggu yang lalu, bob telah berpeluang pergi ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) KL pada sebelah tengahari. Sebenarnya bob kesitu kerena hendak menyelesaikan urusan bank bob. Tetapi pada waktu berjalan hendak pulang kembali kepejabat. ketika melalui sebuah kedai makan berhadapan disebelah seberang kompleks belibelah Sogo, bob telah memutuskan untuk makan tengahari dengan menu nasi kandar Pulau Pinang. Dihadapan kedai nasi kandar ini terpampang namanya " Sithique".
Kelihatan mamak yang menjual nasi kandar ini sedang sibuk menyusun lauk pauknya. Lauk pauk ini dipamirkan didalam rak kaca yang terdapat dibahagian hadapan kedai itu. Bob terus sahaja meminta sepinggan nasi kandar bersama lauk dan kuahnya. Bob memilih bahagian dada ayam masak hitam sebagai pilihan utama walaupun terdapat lauk lain seperti udang goreng, ikan goreng, sotong ketam dan lain yang kelihatan sungguh mengancam. Kemudian kuah dan sayurnya yang lain bob serahkan kepda simamak itu sendiri memilihnya kedalam pinggan tadi. Sebelum bob menerima pinggan yang bertimbun itu bob meminta beliau untuk memasukan juga sebiji cili hijau. Sesampai sahaja kemeja bob terus meminta pula segelas teh o ais.
Setelah membasuh tangan dipili yang disediakan dan membaca bimillah secara otomatik tangan bob pun terus memulakan suapan. Setelah suapan kedua, bob terasa ada sesuatu yang tertinggal. Bob terus bangun dan menatang pinggan bob semula kehadapan meminta sambal. Mamak itu menghalakan bob kepada satu meja berhampiran yang terdapat sebesen potongan timun, papedum dan dua mangkuk besar sambal. Satu mangkuk berisi sambal belacan dan satu lagi berisi sambal kelapa yang bob cari-cari. Bob menceduk dua sudu sambal kelapa dan terus menyambung semula suapan bob.
Memang sedap nasi kandar dimakan bersama sambal kelapa yang dibuat khas untuknya. Ianya agak cair, sedikit masam dan sedkit rasa pudina. Apabila sahaja selesai makan dan sebelum minum teh o ais tadi bob pun cuba menjilat jari. Kemudian barulah bob pergi membasuh tangan. Tetapi tidak dibasuh dengan sabun supaya baunya boleh dicium lagi disepanjang perjalanan pulan kepejabat.
Begitulah enaknya apabila kita dapat makan makanan yang lama kita rasai. Sesekali kita bertukar selera, teramatlah sedap rasanya. Sekali cuba rasa masakan Melayu, sekali mamak, sesekali ala Cina atau Siam dan lain-lain. Negara kita ini sememangnya kaya dengan bebagai citrasa masakan. Tidak hairanlah kadar obesiti dikalangan penduduk negara ini semakin menggerunkan.
Bob juga terus teringat pada kedai makan nasi kandar ini yang dahulunya bob dan kawan-kawan bob sering mengunjunginya. Kedai ini juga terletak di Jalan TAR berhampiran kawasan yang dulunya Pawagam P Ramlee. Memang ramai kawan-kawan bob sekarang tidak pernah tahu mengenai pawagam ini. Tetapi untuk pengetahuan, seniman agung itu bersama rakan-rakannya dulu pernah mendirikan panggungnya sendiri disitu. Nama kedai nasi kandar yang terletak dibahagian hadapan pintu masuknya dari jalan TAR ialah Kudu b Abdul. Kedai ini pada satu masa dulu dalam tahun-tahun 60an dan 70an pernah menjadi tumpuan tempat berehat, berbincang dan makan gulungan karyawan filem, pelakun dan penggiat seni kita.
Jadi apa lagi kawan-kawan. Jika ada peluang marilah kita mencuba makan nasi kandar yang popular ini dengan tidak payah pergi ke Pulau Pinang. Ianya sangat sesuai untuk menu makan tengahari. Tambah enak jika gerai itu terletak dibwah pokok besar seperti yang terdapat dibandar Teluk Intan pada masa dulu dalam awal tahun 60an. Kedai terbuka ini adalah berhampiran dengan setesen basnya. Bob masih terasa lagi ikan tenggiri goreng dan air sarbatnya.
Pernah juga, tidak berapa lama dulu bob ke Pulau Pinang, tetapi susah pula untuk berjumpa dengan kedai nasi kandarnya. Kalau ada kedai makan pun mereka hanya menjual nasi campur sahaja. Cuma bob hanya bertemu dengan kedai yang benar-benar menjual menu ini disebuah kedai ditengah-tengah simpang tiga berhampiran dengan komplek Komtar. Tetapi bob lupa pula namanya.
"Segala tulisan, pandangan, peringatan dan hasil laman ini adalah milik saya. Seandainya ada pihak yang terganggu-gugat kerananya bukanlah atas tanggungjawab saya"