Pada hari minggu yang lalu semasa sibuk menghadapi sarapan pagi, bob berpeluang menonton persembahan dari artis-artis tahu 60an ditv. Artis-artis dari Johor yang sangat popular pada era itu seperti A Halim, S Mariam dan Orchid telah sempat menyanyikan beberapa buah lagu popular mereka. Lagu-lagu seperti "Kisah dan Tauladan" nyanyian A Halim sudah cukup dirasakan dapat melepas rindu kepada peminat-peminat lagu 60an yang kini rata-rata sudah berusia lima puluh tahun keatas.
Bob lagi terpegun melihat betapa cekapnya kugiran pengiringnya mereka ini yang sangat berjaya menghidupkan irama berkenaan. Pemain gitar utamanya, pemain drum, pemain gitar bass dan pemain organnya sememangnya benar-benar dapat sentuhan era berkenaan. Walau pun alat yang digunakan agak lebih mersik dari yang dulu tetapi dengan kematangan yang diraih dari usia ahli-ahli kugiran ini dapat mengekalkan keasliannya. Bob percaya ada diantara mereka ini sememangnya pernah menjadi ahli kepada kumpulan-kumpulan terkenal seperti D Fiction, The Wonderes, Orkes Nirwana dan lain-lain kerena sentuhannya amat asli sekali.
Pada satu masa dulu bob pernah juga beberapa lama bermain musik bersama satu kumpulan dengan Allayarham M Sharif yang sangat terkenal dalam usaha beliau menghidupkan kembali irama 60an ini. Ia itu semasa sebelum beliau menumpukan dalam usahanya itu. Tetapi pada pendapat bob, petikkan gitar dan irama M Sharif lebih kepada hanya kesinambungan era itu. Tidak seperti yang bob tonton pada hari minggu itu yang benar-benar kekal dengan sentuhan 60annya.
Walau bagaimana pun M Sharif adalah pemain gitar yang handal sehingga digelar "Fender Man of Malaysia". Beliau boleh menyanyi sambil jarinya memetik solo seakan penyanyi-penyanyi jaz terkenal antarabangsa seperti BB King dan George Benson. Begitu juga pemain trumpet terkenal tanah air Syed Agil yang sama seperti dengan Louis Armstrong.
Bagi pemain Keyboard pula kita lihat ramai pemusik kita yang mempamirkan bakat mereka ditepi-tepi jalan TAR. Sesekali bob terfikir jika mereka ini diberi perluang mungkin mereka juga sangat berbakat seperti yang ada pada Ray Charles dan Steve Wonder. Apa yang membezakan ialah lagu mereka ini selalunya lagu sedih tidak seperti penyanyi dan pemain lagu barat itu agak rancak dan bertenaga. Begitu juga pada satu masa dulu dimana pemain dan penyanyi solo gitar latin kita Alfred How yang boleh digandingkan dengan Jose Feliciano yang sangat popular walau pun mereka ini semua cacat penglihatan.
Kesimpulannya yang bob hendak ceritakan disini, ialah kita sememangnya kaya dengan artis-artis kita sendiri yang patut kita banggakan. Seperti artis era tahun 60an yang lebih dikenali dengan pop yeh-yeh yang telah berjaya mengurangkan tekanan budaya dari kemasukkan gejala The Beatle dan irama Rock n Roll pada zamannya. Kita juga lihat dan dengar ramai artis-artis kita seperti yang bob ceritakan diatas yang dapat melakukan apa yang dilakukan oleh artis-artis terkenal antarabangsa yang lain. Mereka ini sebenarnya telah banyak berjasa kepada pembentukan rasa seni masyarakat kita dinegara yang berbagai kaum ini.
Sebenarnya banyak yang boleh kita perkatakan tentang ini. Tetapi untuk kali ini biarlah setakat ini sahaja dulu kita kenangkan. Mungkin dilain kali kita boleh sambungkan lagi kisah perkembangan irama musik tanah air kita ini.
Beberapa soalan akhir dari bob, ada sesiapa yang kenal dan masih ingat lagi kepada Sayed Agil dan Alfred How? Mungkinkah kita sudah lupa pada Allahyarham Hamzah Dolmat, AR Azmi dan Taib Othman? Siapa pulak nama-nama seperti Saiful Bahari, Johar Bahar, Tony Soliano, Guz Tine, Datuk Johari Salleh, Ramli Salleh, Wan Salman, Ahmad Wan Yet, Kasim Masdor, S Atan dan.........
Pada kali ini bob mengambil kesempatan untuk merujuk kembali tujuan blog ini diujudkan. Blog Di Celah-Celah Renungan ku ini adalah berpaksikan kepada kata-kata "...dari akar ku, berpencak rumpun, menjadi rimbun, tempat berteduh, yang mencengkam tebing, supaya tak rebak, dihanyut arus.....". Dari kata-kata ini sahaja sudah cukup menerang maksudnya dengan sendiri.
Sebenarnya kata-kata diatas adalah satu gambaran serumpun pokok buluh aur yang tumbuh subur ditebing sungai Perak berhampiran dengan sebuah rumah buruk bersetentangan dengan Kampung Pasir Salak. Tempat bersejarah dimana Dato Maharajalela dan Dato Seri Agar DiRaja (Dato Sagor) meniupkan api kepahlawanan orang Melayu menentang penjajah. Rumah buruk itu adalah rumah Allahyarham datuk bob dimana sebahagian dari tiangnya berdiri dan tercacak didasar sungai itu. Disinilah tempat bob dilahirkan dan darah pertama bob jatuh kesungai, dibawah arus terus kelaut. Dibawah rumpun buluh inilah bob mula mengenal kehidupan yang seperti sungai dimana tebingnya sentiasa berubah-rubah dari masa kesemasa mengikut rentak aliran arusnya yang adakalanya dalam dan adakalanya cetek.
Tulisan bob diblog ini adalah berdasarkan perkara-perkara dan kejadian dari pengalaman hidup bob dari dulu sampai kini. Cerita-cerita ini agar dapat menjadi panduan kepada generasi baru adik-adik dan anak-anak bob masakini yang mungkin cerita kehidupannya amat berbeza sekali. Pada bob, kenangan-kenangan ini perlu diceritakan untuk pengetahuan pada mereka ini sebagai sumbangan bob supaya generasi ini dapat melihat kebelakang sebelum memilih corak kehidupan yang menjamin kehidupan didunia dan diakhirat.
Oleh yang demikian ada juga kalanya bob mengulas tentang isu-isu semasa, perkembangan teknologi dalam bidang yang bob tahu dan yang bob minat, cerita tentang makanan dan masakan yang merupakan asas kehidupan seharian kita dan juga hal kekeluargaan. Perkara-perkara seperti adalah penting untuk diperkatakan selalu kerena kebimbangan yang sering melanda kita seharian mengenainya yang boleh melemahkan jatidiri kita.
Selain dari itu, ia hanyalah sebagai bahan bacaan sebagai hiburan bagi menceriakan minda pembaca dan juga moga dapat mencetuskan idea yang baik untuk tujuan-tujuan lain. Sememangnya dalam tulisan-tulisan bob ada mengandungi ransangan supaya kita berfikiran positif untuk melakukan perkara berkenaan secara kendiri. Moga darinya dapat membawa pengalaman baru bagi pembaca jika mencubanya sendiri.
Bob sememangnya sedar bahawa blog ini mempunyai banyak kekurangan. Tetapi dari sokongan ahli-ahli blogger yang lain, pembaca-pembaca, sahabat-sahabat dan kawan-kawan karib bob, ianya akan cuba bob perbaiki dari hari kehari.
Disini bob dengan berbesar hati ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Alifah Luthfia atau Ifa Alyana (ATMASARI) yang secara langsung bertanggungjawab menjadikan impian bob berblog ini menjadi kenyataan. Beliau lah orang yang sentiasa berada dibelakang bagi menjayakan blog ini. Bob berjanji pada beliau yang bob akan tidak mensia-siakan usaha beliau itu dengan sentiasa memenuhi blog ini dengan tulisan-tulisan yang memberi munafaat.
Harapan bob kepada pembaca agar berasa selesa dengan tulisan-tulisan bob dan gunakanlah blog ini sebagai sudut untuk mencari sumber ilham. Bob akan berasa bangga jika pembaca-pembaca mendapat faedah dari membacanya sekurang-kurangnya menjadi bahan bacaan santai. Sebagai panduan, jika pembaca ingin merujuk kembali kepada tulisan-tulisan arkib yang telah lalu, bolehlah dilakukan dengan mengklik pada kalendar yang disediakan. Terima kasih!
....Gajah yang cepat berang..... ...Sang Kancil.......
Mengukur kehidupan dengan dengan kayu sukatan mengikut runtunan nafsu adalah satu dari sebab mengapa kita manusia selalu membawa keburukan pada kehidupan dimuka bumi ini. Nafsu yang tidak terkawal adalah merupakan satu ruang yang lemah terbuka untuk kita terpujuk dengan bisikan syaitan. Kawalan inilah yang digariskan dalam Al Quraan yang telah diturunkan kepada umat manusia sejak seribu empat ratus lebih tahun dahulu. Dari panduan inilah dapat menyisihkan kita dari menilai sesuatu tindakan dan keputusan itu dari sudut yang memang mudah dipengaruhi oleh mata dan hati syaitan.
Amalan sebeginilah yang membezakan antara seorang mukmin dengan yang lain. Tetapi apa yang sering berlaku sekarang ialah terlalu banyak tindakan dan keputusan yang kita buat adalah tidak berpandukan kepada Al Quraan dan sunnah. Sudah tentulah hasilnya terselit dengan perkara yang tidak tepat dan jika kita sebagai pemimpin pula kita akan membuat keputusan yang kurang matang. Akibatnya kita akan membuat kerja yang berulang-ulang dan merugikan pengikut-pengikut kita sendiri. Apatah lagi jika kita lakukan tindakan dan keputusan dalam keadaan yang tergopoh-gapah dan terdesak. Sifat tergopoh gapah ini sememangnya menjadi sifat manusia sejak azali lagi. Manakala desakan pula datangnya dari nafsu yang ingin melawan masa. Akhirnya kita akan terperangkap dalam akibat tindakan tidak tepat kita sendiri.
Masih ingatkah lagi kita pada cerita usaha sang kancil untuk melepaskan dirinya setelah terjatuh kedalam perigi buruk? Beginilah ceritanya sebagaimana yang disampaikan oleh ibu saudara bob semasa mahu menidurkan bob dan adik-adik bob ketika kami kecil-kecil dulu. Seekor sang kacil sedang merayau-rayau sambil mencari makan. Kejadian ini kononnya berlaku dizaman Raja Sulaiman yang mana semua binatang tahu berkata-kata diantara satu sama lain.
Dijadikan cerita, entah bagaimana dengan tidak disedarinya sang kacil itu telah tergelincir dan jatuh kedalam sebuah perigi buruk yang besar dan agak dalam juga. Apakan daya telah dicuba berpuluh-puluh kali untuk melompat keluar tetapi tidak juga boleh. Terduduk dan termenunglahlah sang kancil itu dalam keletihan mengenangkan nasib dirinya yang akan mati kelaparan sendirian dalam beberapa hari lagi.
Tidak berapa lama selepas itu, lalulah seekor gajah berhampiran dengan perigi buruk itu. Apabia sahaja terpandang kepada sang kancil itu sedang termenung didalam perigi itu, maka bertanyalah sigajah itu mengapa sang kacil itu boleh berada disitu. Terlintas satu jalan didalam fikirannya bagaimana untuk melepaskan diri dari dalam perigi itu. Cepat-cepat dia menjawab meminta gajah itu memandang arah awan dilangit. Sambil berkata, lihatlah langit itu sedang berarak yang menandakan ia akan runtuh bila-bila masa sahaja. Sang kancil menerangkan tujuannya ia berada didalam perigi itu adalah tempat berlindung yang selamat apabila langit itu runtuh.
Terkejut besarlah sang gajah dan meminta kebenaran dari kancil untuk sama-sama berlindung didalam perigi itu. Setelah diberi kebenaran maka sang gajah pun melompat masuk kedalamnya bersama sang kacil. Sambil itu di terus melaung kepada binatang-binatang lain disekitarnya supaya datang berlindung bersama. Maka banyaklah binatang-binatang lain pun ikut terjun kedalam perigi itu dan membuatkan perigi itu menjadi penuh sesak dan kurang selesa.
Apabila keadaan kurang selesa dan berhimpit-himpit telah membuatkan penghuni perigi itu cepat marah. Dalam keadaan menanti saat-saat langit akan runtuh itu masing-masing dihimpit keluh kesah sang kancil yang duduk tersepit berhampiran sang gajah sering menyepak-nyepakkan kakinya pada kemaluan binatang yang berbadan besar itu. Ini membuatkan beliau marah dan memberi amaran akan melemparkanya keluar perigi. Tetapi sang kancil terus juga berbuat demikian dan akhir gajah menjadi terlalu berang dan melemparkan sang kancil dengan belalainya keluar dari perigi buruk itu. Maka terlepaslah sang kancil dari terperangkap didalam perigi itu lalu pergi mencari makan ditempat lain.
Apa yang dapat kita pelajari dari cerita ini ialah dalam keadaan yang tidak menentu, kita tidak dapat menggunakan fikiran kita dengan baik dan tidak merujuk kepada panduan yang betul ini akan menyebabkan kita membuat tindakan bodoh. Dalam keadaan tertekan dan resah juga kita akan menjadi cepat marah. Semasa kita dirasuk kemarahan kita juga senang mengikut bisikan nafsu. Apabila nafsu sudah menguasai pemikiran dan rasional ianya akan membuatkan kita bertindak dengan tindakan yang tidak wajar. Tindakan yang dilihat seperti orang hilang akal atau orang tidak menggunakan akal. Ini akan mendatangkan akibat yang buruk.
Keputusan-keputusan yang dibuat dalam keadaan ini juga dipengaruhi emosional kerena rasionalnya telah ditolak jauh ketepi. Oleh sebab itu kita mesti selalu merujuk kepada panduan hidup supaya apa sahaja tindakan yang kita lakukan adalah dijalan yang betul dan dijamin tidak mendatangkan akibat buruk pada orang lain.
.....pemandangan dikawasan ladang teh yang sangat indah.......
Pada hujung minggu lalu bob telah membawa keluarga bob ke Cameron Highland. Turut bersama kami kali ini ialah ibu mertua bob. Idea untuk pergi kesana ialah apabila bob melayari laman web kajicuaca yang mengatakan suhu disitu adalah didalam lingkungan terendahnya ialah lima belas darjah selsius dan tertingginya dua puluh darjah selsius. Tetapi apabila bob berkesempatan untuk bertanya kepada penduduk disitu mengatakan waktu ini adalah musim panas dan suhu yang sejuk berlaku pada Disember. Walau bagaimana pun, bagi kami sekeluarga ianya sudah cukup nyaman dan kami berazam untuk datang kesitu lagi dimasa akan datang.
Pada pagi itu, setelah kami bersarapan ditempat penginapan kami terus Setesen MARDI yang terletak berhampiran dengan pekan Tanah Rata. Keluarga bob terpegun melihat keindahan disekitar kawasan itu. Taman "English Garden"nya yang dijaga rapi sangat menarik hati isteri dan ibu mertua bob. Kebun sayur dan bunganya yang telah sedia untuk dikunjungi merasakan kami seolah-olah bagai tetamu yang dialu-alukan kedatangannya. Bob dan anak-anak sempat juga memetik buah strawberry yang merupakan satu perkara baru bagi kami. Buah ini sebenarnya adalah buah yang paling banyak ditanam dikawasan tanah tinggi ini.
Selepas itu kami pergi pula mengunjungi ladang teh Sungai Palas. Walau pun jalannya agak sempit dan berbengkang bengkuk tetapi keindahan pemandangannya membuatkan anak-anak dan ibu mertua bob tidak henti-henti mengambil gambar. Setelah beberapa kali tersekat-sekat diperjalanan kerena bertembung dengan kereta-kereta dari pelawat yang lain akhirnya kami sampai juga kekawasan kilang teh berkenaan. Kawasan ini juga adalah kawasan dimana ditempatkan perkerja-perkerja ladang berkenaan. Setibanya disitu, anak-anak bob tidak melepaskan peluang dan sibuk memerhatikan bagaimana teh yang sudah dipetik itu diperoses dan dibungkus. Kami sempat juga membeli beberapa bungkus teh yang berbagai jenis sebagai cenderamata.
Kemudian pada waktu makan tengahari kami singgah dikawasan gerai yang menjual berbagai-bagai buah-buahan dan sayur-sayuran. Bob tertarik pada satu lagi makanan baru orang disini iaitu cendawan goreng. Bob juga sempat membeli bebagai jenis cendawan ini yang digoreng dengan tepung sebagai makanan snek. Ini bob jadikan sebagai pembasuh mulut makan tengahari dan makan petang semasa melawat ketempat -tempat lain seterusnya. Makanan ini agaknya baru sahaja diperkenalkan disini kerena ianya tiada dijual semasa kunjungan kami pada tahun lepas. Bob juga membeli goreng keledek manis yang sangat sedap dimakan panas-panas dalam cuaca sejuk begitu.
Pada sebelah malamnya kami singgah di pasar malamnya di Berinchang yang sangat popular dengan jualan berbagai sayur-sayuran, bunga-bungaan, kraftangan dan makanan tempatan. Seperti biasa anak-anak bob tidak mahu melepaskan untuk minum air dan makan buah strawberry yang dicelupkan dengan madu.
Pada malamnya ditempat penginapan Ayu telah sempat menyediakan sayur campur dan sup sayur bersama cendawan untuk makan malam. Isteri bob pula telah menyediakan bubur nasi sebagai pilihan kami yang dimakan bersama goreng ikan masin. Sungguh menyelerakan dan tambah sedap apabila Fatin mengesyorkan bob supaya makan diberandah tempat penginapan kami itu yang sentiasa dibelai angin sejuk malam.
Pada keesukannya sebelum kami pulang kami singgah dibeberapa pasar buah dan sayur untuk membeli bunga dan sayur segar sebagai buah tangan kami. Ibu mertua bob sibuk membeli pokok bunga kesukaannya dan bob membeli beberapa bungkus bunga ros yang berbagai warna untuk isteri bob. Satu lagi makanan pelek yang bob cuba rasa dari kawasan ini dan bob bawa balik ialah snek kering kaktus. Tentu sekali ianya sedap apabila tidak dimakan bersama durinya.
Sebagaimana pada waktu datang kami melalui jalan dari Simpang Pulai Ipoh, oleh yang demikian kami pada waktu pulang juga pun kami mengambil keputusan untuk melalui jalan itu. Dari Berinchang kami sampai ke Ladang Teh Blue Valley dan menghala kekiri ke Pos Slim dan terus keSimpang Pulai. Sungguh cantik pemandangan disepanjang perjalanan itu. Bob pula rasa ianya lebih cepat sampai dan terasa sungguh penjimatan minyak bagi kereta kami. Dari Simpang Pulai kami masuk ke Lebuh Raya PLUS dan terus pulang ke KL.
....kerengga tapi anaknya bersaiz lebih besar...... ........ikan puyu...........
Sebelum bob mempunyai joran pancing seperti yang ada sekarang, bob dan kawan-kawan bob dikampung hanya menggunakan batang bertam dan buluh sahaja sebagai joran pancing kami. Paling mudah kami menggunakan batang perupuk yang agak kuat yang banyak terdapat disekitar kawasan kami memancing. Ikan yang kami pancing pun hanyalah ikan puyu, ikan perit atau pun ikan kaloi sahaja. Tali pancing jenis nylon dan mata pancing yang kami gunakan berbagai saiz memang mudah dibeli dari kedai dipekan kami.
Memancing ikan-ikan jenis ini tidaklah begitu sukar pada masa itu berbanding sekarang. Ikan-ikan ini mudah membiak dikawasan berair cetek atau paya-paya berkampiran anak sungai atau saliran yang berdekatan dengan lombong-lombong yang telah lama ditinggalkan. Oleh itu kami tidak perlu pergi meredah jauh kerena ianya mudah dipancing dipinggir-pinggir kawasan berkenaan. Walaupun tarikan ikan-ikan jenis ini tidaklah sekuat iakan haruan, tetapi joran yang digunakan mestilah cukup panjang dan kuat untuk sampai apabila dihulurkan kelubuk-lubuk mereka ini.
Oleh kerena kami memancing dari tepi kawasan berair ini, jadi hinggapan sang pacat adalah permainan biasa. Jikalau kita kena meranduk air, kita pula terpaksa tahan bermain dengan sang lintah. Selalunya inilah yang membuat bob rejan untuk pergi mengikut kawan-kawan bob memancing. Mereka ini selalunya lebih berani dan sentiasa mencari lubuk baru yang tidak pernah dikunjungi orang. Bob mengambil keputusan untuk pergi memancing bersendirian dan memilih lubuk-lubuk yang agak mudah dan selamat. Jadi hasilnya tentulah berbeza.
Mengikat tali pancing jenis inilah adalah perkara yang mudah. Mata pancing yang bersaiz halus perlu diikat kemas dihujung tali. Jarak kira-kira satu kaki setengah dari mata pancing itu akan diikatkan pula pelampung sepanjang satu inci yang dibuat dari sepotong isi batang bertam tadi. Kemudian tali yang sepanjang sedepa lebih ini akan diikat kuat pada penghujung joran kami tadi untuk melengkapkannya. Umpan yang digunakan selalunya adalah anak dan telur kerengga atau sesekali kami gunakan cacing.
Mencari anak kerengga ini pula adalah bukan satu perkara yang mudah. Bukan semua sarang kerengga yang ditemui mempunyai anak atau telur kerengga. Masa yang sesuai untuk mendapat anak kerengga ini adalah diwaktu bulan sedang naik iaitu satu hingga empat belas haribulan Melayu. Manakala pokok yang disukai mereka ini adalah pokok mempelam dan jambu air. Inilah halangan yang sangat mencabar. Apabila kami telah menjumpai sarang-sarang berkenaan, kami akan melayarkannya dengan api. Selalunya ini kami lakukan dengan membakar suluh yang diperbuat dari seberkas daun kelapa yang kami sediakan sebelum kami pergi mencari umpan ini.
Apabila terkena sahaja api kerengga-kerenga ini akan mati dan tinggalah sarang yang didalamnya mengandungi anak dan telurnya yang sangat digemari oleh ikan puyu. Umpan ini akan kami punggut dan kami masukkan kedalam tin rokok dan ditutup kemas dengan tutupnya yang berlubang-lubang kecil. Sambil itu kami terus berjalan menuju kelubuk-lubuk pancing yang kami sukai.
Jika pada hari itu kami bernasib baik dan lubuk itu sememangnya dihuni oleh ikan, pancing kami akan cepat-cepat direntap oleh mereka apabila sahaja umpan mencecah air. Masih terbayang dimata bob akan pelampung pancing yang timbul dipermukaan air dengan tiba-tiba sahaja menjadi tenggelam ditarik dengan rakusnya kedasar dan menjadi tidak tentu arah. Berdegup kuat jantung kami dibuatnya. Apabila sahaja disentap tentu sekali ikan puyu akan mengelupur dihujung mata pancing dan ditarik kedarat. Seekor demi seekor puyu yang memakan umpan kami punggut dimasukkan kedalam bakul. Bob sangat berhati-hati ketika menanggalkan mata pancing dari mulut ikan ini kerena sisiknya yang licin dan sirip-siripnya yang sangat tajam.
Pada bob ikan puyu ini sangat sedap jika kita goreng dengan garam kunyit sahaja. Rasanya manis jika terus dibuat begitu setelah pulang dari memancing. Selalunya ia akan menjadi habuan lauk untuk kami makan malam bersama keluarga.
Apa yang paling membuat bob terkenang kembali kepada aktiviti kami ini ialah bagaimana kami berkongsi hasil pancingan semasa pulang dari memancing. Ini bagi mempastikan jika kami pergi memancing berkumpulan, semua kami akan membawa pulang sama banyak hasil pancingan kami. Pernah satu ketika bob tidak langsung mendapat ikan kerena badan bob kurang sihat dan kurang tumpuan, kawan-kawan bob sempat memasukkan masing-masing beberapa ekor hasil pancingan mereka kedalam raga bob semasa dalam perjalanan pulang. Inilah sifat dan semangat setiakawan yang sukar kita dapati masakini terutama dalam kehidupan metropolitan sekarang.
Beberapa minggu yang lalu bob sempat bertemu dengan salah seorang sepupu bapa bob. Beliau adalah salah seorang dari bapa-bapa saudara bob yang masih hidup. Umurnya kira-kira lapan puluh tahun manakala isterinya juga adalah sepupu mak bob dan umurnya kira-kira tujuh puluh lima tahun. Ditempat bob, orang dulu-dulu ramai yang berkahwin seperti ini yang mana ada pertalian keluarga.
Tiba-tiba sahaja bapa saudara bob ini datang berbisik dengan bob tentang kesihatannya dan rahsia hidupnya yang masih sihat jika dibandingkan dengan saudara-saudara dan rakan-rakannya yang sama sebaya dengannya. Katanya, hidup mesti riang dan sentiasa sayang menyayangi antara suami isteri dan selalu membuang perasangka buruk terhadap orang lain. Selepas itu dia ketawa besar apabila bob mengusiknya bagaimana dia menunjukkan kasih sayangnya dengan ibu saudara bob itu. Dia menerangkan sejak dulu-dulu dia tidak akan masuk tidur selagi tidak ditemani oleh ibu saudara bob itu. Apabila sahaja bob memandang kearah ibu saudara bob itu, beliau tersenyum sambil mengangguk tanda mengiyakan.
Hasil dari satu kajian yang intensif selama lebih dua puluh tahun, kini pakar-pakar sains telah menulis beberapa buku yang mendedahkan rahsia untuk kita hidup lebih lama. Kajian yang khusus ini telah dilakukan pada penduduk-penduduk pulau Okinawa diwilayah Jepun. Pulau yang pernah mencetuskan ketegangannya dengan pihak Amerika Syarikat kerena disini terdapat pengkalan tenteranya yang terbesar dilautan Pacific. Dipulau ini juga pada masa penghujung perang dingin, berlakunya satu pendaratan perlarian oleh seorang juruterbang tentera udara Russia yang belot dengan jet MiG 21nya dipengkalan itu. Pendaratan ini juga telah membuka rahsia teknologi jet Russia itu yang sebelumnya sangat-sangat digeruni oleh musuh ketatnya AS ketika itu terutama semasa perang Arab-Israel tahun awal 70an.
Dari kajian-kajian yang dijalankan telah didapati kadar panjang umur penduduk disini adalah lebih tinggi dari tempat-tempat lain didunia ini. Dimana didapati juga orang-orang disini teramat kurang mengalami penyakit keronik seperti penyakit berkaitan dengan jantung, kanser, "stroke" atau angin ahmal dan penyakit tulang. Mereka hidup lebih bertenaga, kelihatan muda dan bersahaja. Lebih dari 34 orang didapati dari 100,000 orang penduduk disini berumur lebih dari 100 tahun berbanding dengan penduduk AS yang hanya 10 orang sahaja. Orang yang hidup lebih dari 100 tahun ini dipanggil sebagi gulungan "Centenerians"yang sememangnya tidak ramai dimuka bumi ini. Mari kita lihat jadual dibawah ini yang menunjukkan keistimewaan penduduk Okinawa ini :-
Kadar Daya Tahan Panjang Umur Dikalangan Penduduk
Umur yang diselaraskan dengan kadar Kematian (per 100,000 penduduk)
Rank*
Tempat
Jangka Hayat
Corak Pemakanan
CHD**
Cancer
Stroke
Sebab lain
1
Okinawa
81.2
Timur-Barat
18
97
35
335
2
Japan
79.9
Asian
22
106
45
364
3
Hong Kong
79.1
Asian
40
126
40
393
4
Sweden
79.0
Nordic
102
108
38
435
8
Italy
78.3
Mediterranean
55
135
49
459
10
Greece
78.1
Mediterranean
55
109
70
449
18
USA
76.8
Amerika
100
132
28
520
* Purata jangkahayat
** Coronary Heart Disease
Sumber: World Health Organization 1996; Japan Ministry of Health and Welfare 1996
Okinawa Centenarian Study. All Rights Reserved.
Apa rahsianya? Jika kita lihat diruang cara pemakanan dari jadual itu, ia telah menjawab rahsia tersebut.
Okinawa adalah sebuah pulau yang berbukit bukau. Ianya sukar untuk mendapati kawasan yang mengizinkan bagi tananam bijirin seperti padi dan gandum. Penduduk-penduduk disitu cuma boleh menanam sayur dan buah-buahan. Oleh itu corak pemakanan mereka ialah menjadikan sayuran buah-buahan dan ikan yang ditangkap dari persekitran laut sebagai makan ruji.
Jika dibandingkan dengan penduduk dikawasan lain seperti Hong Kong dan penduduk dipulau-pulau besar Jepun itu sendiri, sememangnya makanan ruji mereka adalah nasi. Dirumuskan bahawa makan nasi adalah jenis makanan yang hanya mengandungi kabohaiderat. Jika ada lebihan yang tidak digunakan untuk pembakaran tenaga oleh tubuh atau kerena kita makan nasi berlebihan ianya akan ditukarkan terus menjadi lemak dan gula pada badan. Inilah yang meransang untuk sistem tubuh kita mengalami penyakit-penyakit keronik seperti dinyatakan tadi. Oleh itu, jika kita ingin umur lebih panjang, perlulah menukar atau mengurangkan pergantungan makan kita daripada makan nasi atau roti. Walhal mengikut satu kajian bahawa manusia hanya baru mengenali makanan berbentuk bijirin ini hanya sejak 8,000 tahun yang lalu sahaja.
Ada juga pendapat yang mengatakan faktor genetik mempengaruhi sistem kekebalan tubuh dari penyakit-penyakit itu. Ujian telah dijalankan kepada beberapa penduduk Okinawa, dimana mereka telah dihantar untuk memulakan kehidupan dibeberapa tempat didunia ini seperti di Brazil, AS dan lain-lain. Didapati mereka yang keluar dari pulau ini lebih cepat mengalami masaalah penyakit keronik berkenaan jika dibandingkan dengan mereka yang hidup dipulau itu. Oleh itu disimpulkan bahawa faktor genetik tidak ada kena mengena sangat dengan daya tahan penduduk itu. Buku yang bertajuk "The Okinawa Diet Plan" banyak menceritakan tentang rahsia ini.
Apa yang boleh dipelajari disini ialah manusia boleh berbuat apa sahaja demi kemakmuran "hidup" mereka seperti usaha memanjangkan sedikit jangka hayat dan kesihatan. Tetapi bagi kita yang penting sebagai hamba Allah SWT bukanlah umur yang panjang itu menjadi ukuran. Apa yang perlu adalah pengisian kehidupan itu sendiri. Jika umur pendek sekali pun, kita telah berjaya jika semasa kita hidup itu kita benar-benar menjalankan peranan kita sebagai seorang hambaNya yang soleh. Ini adalah lebih baik dari umur kita yang panjang tetapi kehidupan kita dipenuhi dengan amalan yang mungkar.
...........Korg musik workstation model Triton yang diburui........
Semalan bob ada terbaca satu tulisan dalam sebuah majalah mengenai perkembangan teknologi dalam sebuah syarikat pengeluar alat musik canggih. Siapa sahaja yang tahu tentang keyboard atau synthesizer tentu sahaja tahu tentang jenama ini ia-itu syarikat ini membuat alatan musik berjanama "Korg". Jenama Korg ini memang tidak asing lagi bagi semua ahli-ahli musik diseluruh dunia dengan setiap alatan yang dikeluarkan sentiasa dinanti-nanti dan mendapat sambutan yang hebat. Bolehlah dikatakan syarikat ini adalah diantara syarikat yang menjadi pendahulu atau peneraju dalam teknologi-teknologi baru dibidang musik elektronik masakini. Korg adalah menjadi pesaing utama kepada pengeluar seperti Roland, Yamaha, Proteus, Nord, Moog, Rhodes dan lain-lain.. Jika kita menonton rancangan "Jaz" ditv atau menoton persembahan pentas, kita akan dapat lihat ramai pemusik-pemusiknya menggunakan alat musik keyboard berjenama Korg ini.
Bob sendiri mempunyai sebuah synthesizer jenis rak O5R/W buatan Korg dan sebuah keyboard AV Wavestation Korg yang bob sering gunakan distudio bob. Memang tidak dapat dinafikan kedua-duanya mempunyai "bank" bunyi yang sangat bermutu dan fungsi alatnya yang sangat banyak dan luas. Ini menyebabkan bob tidak jemu-jemu meneroka kupayaan alat-alat ini dari masa kesemasa. Oleh kerena itu, harga alat yang berjenama ini sebenarnya adalah mahal dan bob hanya mampu memilikinya dengan membeli alat-alat ini dari kedai menjual barangan terpakai sahaja.
Jenama Korg ini adalah berasal dari nama K dan organ yang digabungkan menjadi Korg. Manakala "K" pula adalah singkatan dari syarikat pembuat alatan ini pada permulaanya ia-itu "Keio" yang ditubuhkan dalam tahun 1963. Nama syarikat ini pula adalah gabungan dari dua nama pengasas syarikat yang berasaskan dengan inovasi teknologi tinggi musik ini ia-itu En. Tsutomu Katoh dan En. Tadashi Osanai. Sebagai ciptaan pertama mereka telah mencipta dan mengeluarkan mesin "rythm" bernama "Donca matic". Seterusnya beratus-ratus model alat synthesizer dan keyboard dicipta sehinggalah sekarang ini. Alat-alat yang mereka cipta adalah alat yang terlalu canggih sehingga ada yang mendahului zaman seperti workstation musik bersiri model "Triton" yang menjadi buruan pemusik-pemusik profesional pada masa ini. Salah satu alat yang pernah mengemparkan dunia musik adalah "Workstation M1" nya keluaran tahun 1988 yang masih popular dan dikagumi sampai sekarang.
....En Katoh dengan ciptaannya.....
Itulah serba ringkas mengenai pengeluar teknologi canggih ini. Tetapi apa yang lebih menarik untuk bob ceritakan disini ialah tentang erti kejayaan teknologi yang sangat dibanggakan oleh En Katoh sendiri. Apabila ditanyakan apakah barangan ciptaan musik yang menjadi kebanggaan disepanjang empat puluh tahun pembabitan beliau dalam bidang berteknologi tinggi ini. Beliau memberi jawapan yang sungguh mengejutkan dan bob percaya ramai pemusik yang mengenali jenama Korg ini juga akan terperanjat. Beliau merasa teramat bangga dengan ciptaan sebuah alat penalaan nada musik atau "tunner" model WT-10 nya yang cuma berharga hanya US$67. Berbanding dengan alat-alat canggihnya yang lain berharga hingga lebih US$5,000 sebuah.
Mengapa pula alat ini yang dibanggakannya?. Sambil merenung kembali, beliau menceritakan bahawa pihaknya telah mengambil masa lima tahun penyelidikan sehingga tahun 1975 barulah alat ini dapat dikeluarkan. Ia dicipta untuk kegunaan murid-murid sekolah dan kumpulan brass band untuk mendapat talaan bunyi yang tepat bagi alat-alat musik mereka. Sebelum itu mereka terpaksa membuat talaan secara pendengaran sahaja. Jika adapun alat talaan berbentuk alat "strobos" yang ada pun cuma terdapat dimakmal musik yang tiap satunya berharga kira-kira US $3,350. Oleh itu dengan adanya alat talaan WT-10 yang mudah alih ini, ia memberi satu penyelesaian masalah pada gulungan-gulungan berkenaan yang dapat menala bunyi alat musik mereka dibilik-bilik darjah dan dipadang-padang sekolah. Beliau telah menerima banyak surat dari sekolah-sekolah menyatakan terima kasih mereka diatas inovasi alat ini. Inilah yang membuat beliau rasa sungguh kagum dengan ciptaannya itu.
Apa yang kita dapat pelajari disini adalah tentang ciptaan atau inovasi yang dapat memberi benar-benar menafaat kepada kelompok yang benar-benar berkeperluan dan sudah tentu menghargainya. Oleh itu apa sahaja pembaharuan yang kita cipta hendaklah difikirkan kesan daripada penggunaannya samaada dapat membawa munafaat kepada umah. Bukan pakai hentam sahaja atau kerena kecanggihan dan menyimpan maksud dengan harapan supaya pengguna yang mesti berubah dan belajar untuk menggunakan ciptaan kita atau mengikut apa yang kita mahu.
Satu lagi perkara yang bob dan kawan-kawan bob minati semasa kami bebudak dulu ialah bermain hujan dimusim hujan. Memang seronok apabila hujan hujan turun dikampung kami, tambah seronok ianya turun ketika kami sedang bermain bola dipadang sekolah pada petang hari. Jika hujan yang tiada diringi guruh dan petir kami akan terus bermain sehingga padang bola berkenaan dibanjiri air.
Kampung kami terletak disatu kawasan lembah kaki bukit. Jadi apabila hujan turun lebat, dalam masa yang sekejap sahaja laman-laman rumah kami dan padang bola disekolah kami akan digenangi air. Diceritakan oleh orang-orang tua kami, sebenarnya padang bola itu sendiri adalah pusat paya yang besar sebelum dibuat pengairan dan dijadikan sekolah. Oleh itu tidak hairanlah padang sekolah kami itu adalah merupakan sebuah padang yang sentiasa hijau sepanjang tahun dengan rumput-rumputnya yang subur dan lembut untuk kami berguling.
Apabila hari hujan pula ia akan berubah menjadi kolam yang sangat menyeronokkan sebagai gelanggang kami bermain-main. Bob masih terbayang bagaimana seronoknya kami menendang bola diatas permukaaan air yang menyebabkan kita beramai-ramai menjadi tidak tentu arah dan bersorak keriangan. Bola yang ditendang tidak selalunya sampai kepada tempat yang ditujukan. Air akan terpercik kuat dan kejar mengejar akan berkesudahan dengan jatuh teriarap diatas air. Ditambah pula kseronokan apabila tahi lembu yang sememang terdapat banyak dipadang itu akan terbaur dengan air hujan tadi menjadi bahan pekikan dan ketawa kami beramai-ramai sehinggalah hujan reda.
Pada waktu hujan turun juga, jika tidak bermain bola dipadang kami akan bermain hujan dihalaman rumah kami masing-masing. Bertambah seronok jika kami dapat main hujan beramai-ramai. Permainan galah panjang dan polis sentri adalah permainan kejar mengejar yang sangat mengasyikkan. Air dihalaman akan terpercik-percik apabila kami berlari-lari kejar mengejar kesana sini. Kami hanya akan berhenti apabila hujan reda.
Pada waktu-waktu begini, saliran air seperti parit dan longkang akan sentiasa dipenuhi air. Air parit ini akam melimpah membanjiri laman. Ikan-ikan yang sememangnya terdapat membiak dalam parit ini akan ikut bermain dilaman rumah kami. Apalagi, kami pun sering juga menangkap ikan yang sedang riang bermain-main dengan banyaknya. Dalam keadaan hujan yang lebat, tangguk dan raga menjadi alat penting untuk menangkap ikan-ikan ini. Ikan-ikan ini akan kami simpan dalam balang atau botol kaca sebelum kami lepaskan semula kedalam parit asal mereka.
Parit-parit ini jugalah tempat kami bermain kapal-kapal yang dibuat dari batang rembia. Kapal-kapal yang berbagai bentuk dibuat dengan menggunakan pisau akan terapung-apung berlayar mengikut arus didalam parit-parit ini. Ianya akan bertambah laju apabila air mengalir laju didalam parit tersebut semasa selepas hujan lebat.
Apa yang bob hendak sampaikan disini bukanlah tentang keseronokan main hujan itu sahaja, tetapi lebih kepada cara kami semasa kecil-kecil dulu menghayati sesuatu keadaan semulajadi alam. Jika hari hujan, kami main bola dalam hujan, kami menjalankan juga aktiviti kami yang lain dalam hujan. Tidak pula kami mengeluh kerena hujan atau pun sebaliknya kerena kemarau yang menyebabkan akctiviti-aktiviti kami terbantut. Jika musim kemarau dan berangin kami akan main layang-layang atau pergi mengagau ikan dilombong atau ditasik yang tinggal kering berlopak.
Bob dan kawan-kawan bob sekampung pada masa itu tetap bersyukur dan bergembira dengan apa sahaja yang anugerahkan oleh Allah SWT. Oleh sebab itu generasi kami adalah generasi yang cekal dan kuat jatidirinya. Sekurang-kurangnya tidak mudah kena selsema apabila terkena hujan ketika itu. Tetapi sekarang ini kita pantang terkena hujan. Apabila dirimbas sahaja air hujan, kita pun layaklah dianugerahkan cuti sakit oleh doktor kekadang sampai dua tiga hari.
.......satu babak dalam filem "Masam-masam Manis"........
Pada satu malam minggu, beberapa minggu yang lalu, bob berkesempatan membawa keluarga bob sekali lagi untuk pergi makan disebuah restoran terbuka ikan bakar di Ulu Langat. Restoran yang berkonsepkan rumah-rumah pondok diatas permukaan kolam dan pondok-pondok dicelah-celah hutan diatas bukit memang mengasyikkan. Suasana dan udaranya yang nyaman sudah tentu menambah selera untuk kami makan malam sekeluarga. Ini adalah semata-mata bagi memenuhi tuntutan si Fasya yang setiap minggu memujuk bob untuk pergi makan malam ditempat itu
Sekali lagi kami meminta nasi putih untuk dimakan bersama dengan ikan patin bakar, sotong goreng, sayur campur dengan cendawan dan ikan siakap masak tiga rasa. Sebagai air minumannya, anak-anak bob hanya meminta satu jag air sejuk kosong sahaja. Anak-anak bob memang pelahap, dalam sekelip mata sahaja semuanya telah langsai dikerjakan. Sehingga tulang-tulang ikan yang ranggup pun habis dikunyah dan dikesipkan. Apabila selesai, cepat-cepat kami beredar dari situ kerena mama mereka tidak mahu terlepas dari menonton derama tv pada malam itu.
Pada hari minggu lepas apabila Ayu bertanyakan pada bob tentang apa yang hendak dibuat pada seekor ikan kerapu yang baru dibeli oleh ibunya, bob terus mencadangkan supaya ikan kerapu segar yang sederhana besarnya itu cuba dimasak dengan masakan tiga rasa tersebut.
Bob hanya sempat sekali sekala menjenguk dapur untuk melihat bagaimana si Ayu menyediakan masakan ini. Ikan kerapu yang sudah dibersihkan dibelah dua dari bahagian perut hingga kebelakang tetapi tidak putus. Ikan ini kemudiannya dilumurkan dengan garam kunyit dan digoreng secara "deepfried" didalam kuali. Setelah masak ikan ini diletakkan dalam keadaan meniarap didalam piring bujur besar yang permukaannya telah dihias dengan daun-daun salad.
Bagi menyediakan sosnya, si Ayu menggunakan setengah cawan sos tomato yang dibancuh dengan setengah cawan air dan dua sudu gula. Ditambah pula dengan satu sudu kecil cuka dan garam secukup rasa. Bahan-bahan ini dimasukan kedalam periuk kecil bersama satu cawan dadu nenas didalam tin. Kemudian masukkan juga setengah biji lada benggala merah dan setengah biji lada benggala hijau yang sudah dipotong-potong. Sebiji bawang besar juga dipotong baji besar-besar dimasukkan sekali kedalam periuk ini. Panaskan sos ini hingga mendidih, kacau hingga rata dan perahkan sebiji limau nipis sebelum apinya dipadamkan.
Apabila telah masak curahkan sos ini keatas keseluruh ikan yang meniarap tadi. Sebagai hiasan, siat-siatkan tiga atau empat helai daun bawang dan taburkan keatasnya. Nah... ikan kerapu tiga rasa kita ini sudah siap untuk dihidangkan.
Ada juga yang memanggil masakan tiga rasa ini dengan nama masam-masam manis. Tidak kiralah apa namanya, tetapi ianya adalah satu resepi yang sangat menyelerakan dan sangat cantik berwarna-warni. Sesuai dijadikan kepala hidangan. Tambah sedap jika dimakan dengan menggunakan tangan sahaja dan kemudiannya dalam keadaan yang berebut-rebut pula.
Apabila tersebut sahaja masam-masam manis inin, bob teringat kepada sebuah filem P Ramlee yang bertajuk "Masam-masam Manis". Filem komedi ini mengisahkan kehidupan sorang guru yang juga seorang pemusik sambilan bertemu jodoh dengan jiran disebelah bilik sewaannya di KL dalam tahun-tahu awal 60an. Apabila kita menonton filem ini akan terlihatlah gambaran disekitar KL semasa era berkenaan dan ianya merupakan arkib kepada mereka yang berminat mengkaji perkembangan bandaraya metropolitan ini. Kehidupan penduduknya dan pembangunan fisikalnya diera selepas sahaja merdeka dan diistiharkan sebagai ibu negara Malaysia.
Pada bob pula, filem ini adalah satu-satunya filem yang berjaya digarap oleh seniman agung itu semasa berada di Studio Merdeka Ulu Klang setelah meninggalkan Studio Jalan Ampas, Singapura. Entah kenapa filem-filem beliau yang lain yang dibikin disini tidak dapat mencapai tahap seperti filem ini. Mungkin kerena beliau mempunyai "team" nya yang ngam serupa dengan di Jalan Ampas dulu agaknya......
Malam tadi bob membawa isteri bob keluar makan malam disebuah restoran terbuka berhampiran dengan tempat tinggal kami. Restoran ala barat ini sering kami kunjungi kerana ianya mempunyai menu yang banyak pilihan. Layanan yang diberi kepada pelanggannya sememangnya baik.
Selesai sahaja kami menghabiskan makanan kami, tiba-tiba seorang pelayannya datang dan terus meminta izin untuk mengambil pinggan kami kembali, walhal air yang kami minum masih belum dihabiskan lagi. Setelah beliau pergi isteri bob pun berbisik kepada bob sambil berkata "marilah kita pulang segera, pelayan itu telah pun memberi isyarat menyuruh kita bangun". Bob pun terfikir dan terus bingkas kekaunter membuat bayaran dan berlalu dari situ.
Pagi tadi semasa memandu ketempat kerja sebuah kereta kembara berwarna hitam telah dengan tiba-tiba memotong kereta bob dengan cara yang agak marah. Semasa kereta itu berada seiringan dengan kereta bob, bob sempat melihat dari anak mata bob yang pemandunya memandang tepat dengan muka yang tidak puas hati kearah bob. Hati bob berkata, agaknya beliau marah kerena bob tadi tiba-tiba sahaja menekan berek kecemasan kerena mengelakkan lubang ditepi jalan. Ini membuatkan beliau turut memberek kecemasan. Dari bahasa muka yang telah ditunjukkannya itu tentu dia marah kepada bob yang tiba-tiba menyebabkan adrenalinnya pada waktu pagi sebegini memuncak. Bob tidak hairan dan menghiraukan orang yang seperti ini dan dia patut berbuat demikian.
Kita tahu bahawa bahasa adalah gambaran budi yang terbitkan melalui berbagai saluran. Manakala budi pula adalah apa yang terkandung didalam hati seseorang. Melalui percakapan, bahasa badan seperti mimik muka, tulisan dan bacaan, musik, lukisan, seni tari, perbuatan atau tindakan dan isyarat-isyarat perhubungan yang lain. Melalui percakapan pula kita tahu ianya disalurkan dengan berbagai saluran yang banyaknya tidak boleh kita jumlahkan. Sebagai contohnya, pada pagi tadi lapuran di RMKL mengatakan ada kesesakan lalu lintas berlaku di Jalan Duta. Ini disebabkan terdapat sebuah kereta rosak disitu. Pernah pada satu masa dulu terdapat juga kereta rosak di Jalan Duta, tetapi ia membawa maksud yang lain. Oleh itu bahasa yang digunakan juga mengikut dimensi masa, dimana perkataannya sama tetapi berlainan penerimaan jika dimasa yang berlainan.
Seorang jiran menanam sedikit sayur-sayuran didalam pagar dihadapan rumahnya. Setiap petang beliau akan memerhati, membaja, merumput kebun kecilnya itu. Pada satu satu petang jiran sebelahnya menegur kenapa bebrapa pokok sayurnya itu hilang. Sambil bersahaja beliau menjawab "sayur saya ni dimakan siput babi". Tetapi jika dia menjawab begini "sayur saya ni dimakan siput, .....babi" tentu sahaja berlaku pergaduhan antara keduanya. Ini adalah kerana sesuatu ayat itu boleh berubah maksudnya jika kita mengubah cara kita menuturkannya. Oleh itu dimensi cara kita bertutur juga adalah diantara satu saluran bahasa untuk melahirkan budi.
Timbul masalah bagi orang yang ditujukan bahasa ini tidak faham atau tidak peka tentang isyarat-isyarat yang diberi. Bertambah buruk lagi jika ada unsur kurang sabar diantara kedua pihak. Seperti membunyikan hon apabila kereta dihadapan kita yang kita rasa dia tidak perasan lampu trafik sudah lama hijau. Selalunya orang ini akan marah, kerana mungkin dia ada sebab lain yang melambatkan dia menggerakkan keretanya. Apa yang dia faham ialah kita yang tidak sabar atau perangai kita yang suka membunyikan hon tidak kena tempat. Salah faham tentang makna bahasa inilah yang sering menyebabkan konflik dan berakhir dengan sesuatu yang buruk.
Satu lagi contohnya ialah apabila kita membunyikan hon kereta untuk menarik perhatian kawan kita yang berada didalam kereta disebelah kita, tetapi disalah ertikan oleh pemandu kereta yang berada dihadapan kereta kita. Atau menyalakan lampu besar kepada kereta yang berada disebelah jalan yang berlainan arah dilebuhraya untuk memberi isyarat adanya perangkap had laju dihadapan mereka. Tetapi ini disalah ertikan oleh kereta yang berada dihadapan kita. Tentunya pemandu dihadapan kita mengangap keretanya sudah tidak cukup laju walau pun speedometernya sudah menunjukkan lebih dari seratus dua puluh kilometer sejam. Akibatnya kita akan bergaduh dan seterusnya kepala kita boleh hilang dipenggal.
Oleh yang demikian, perlulah kita berfikir terlebih dahulu sebelum kita berbahasa, tidak kiralah melalui saluran mana yang kita hendak gunakan supaya tidak disalah tafsirkan oleh pihak yang menerimanya. Fikir-fikirkanlah.....
"Segala tulisan, pandangan, peringatan dan hasil laman ini adalah milik saya. Seandainya ada pihak yang terganggu-gugat kerananya bukanlah atas tanggungjawab saya"