| Home | My Old Blog | About Bob | Guestbook | Contact |



Jan 3, 2009

Ijab dan Qabul

Sudah seminggu Hisyam anak lelaki bob yang tua berumah tangga. Beliau dan isterinya telah selamat diijab qabulkan di Masjid Baru Taman Kosas pada sebelah petang 26 Disember 2008 yang lalu. Ramai sungguh yang mengiringi dan menyaksikannya. Keadaan begini adalah diluar jangkaan bob sekeluarga.

 

Manakala majlis meraikan pengantinnya pula diadakan pada malam keesukannya. Majlis yang berkonsepkan "night garden wedding" yang berlansung di sebuah tapak perkhemahan King Fisher Adventure Camp Sungai Semungkis daerah Ulu Langat.

 

Sebenarnya, bob merancangkan majlis yang sangat-sangat sederhana sahaja. Maklumlah ini memandang bahawa ini adalah pengalaman pertama bob isteri menguruskan majlis perkahwinan. Entah macamana jadinya agak meriah dan mengejutkan kami sekeluarga.

 

Apa yang bob pelajari dari semua ni adalah keesemua kejayaan majlis ini adalah atas usaha dan sokongan yang jitu dari adik beradik bob, sebelah besan bob, jiran tetangga bob, pihak King Fisher Adventure, pihak Q Caterer, pihak Perancang Perkahwinan  dan lain-lain pihak yang secara lansung dan tidk lansung terlibat.

 

Disini bob dan isteri mengambil kesempatan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang hadir. Kami juga memohon maaf jika ada yang terkurang dan layanan yang kurang menyenangkan. Kepada kawan-kawan dan kenalan yang tidak dipelawa janganlah rasa berkecilhati dan kami juga sekeluarga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan kerenanya.

 

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kesemua adik-adik dan adik-adik ipar bob yang tidak mengenal lelah membantu bob dan isteri. Ucapan terima kasih juga kepada semua pihak-pihak seperti yang dituliskan diatas.

 

Marilah kita sama-sama mendoakan agar kehidupan Hisyam dan isteri diberkati Allah SWT sentiasa.


Posted at 03:45 pm by bobzuwan
Comments (3)


PUAKA

Selamat menyambut tahun baru


Hari ini bob terbaca satu tajuk berita yang sangat menjelekkan terpapar besar dimuka hadapan  sebuah akhbar tempatan. Perkataan yang digunakan sangatlah membayangkan betapa buruknya hati budi akhbar berkenaan  dalam usaha mengutip jualan sebaran hariannya.

 

Dalam masa semua kita bersedih keatas kemalangan jalanraya yang berlaku di Gua Musang kelmarin tiba-tiba sahaja malapetaka itu disebut sebagai “puaka”.

 

Tahukah kita bahawa perkataan puaka itu hanyalah boleh ditujukan bagi maksud yang mengambarkan sesuatu kedaan hasil dari perbuatan buruk dan jahat jin, setan, iblis atau jembalang. Patutkh kita samakan kemalangan yang berlaku itu adalah atas perbuatan jin setan dan jembalang?. Betapa rendahnya pemikiran kita sewaktu mentafsirkan sesuatu kejadian itu tanpa berpandukan kepada kebijaksanaan yang telah ditaufikkan  kepada kita yang menganut ajaran Rasulullah SAW.

 

Apakah akibat dari tafsiran penggunaan perkataan itu?

Bagi kaum keluarga yang sedang dilanda balasungkawa dan kesedihan itu akan merasakan bahawa kecelakaan itu ada perkara yang jelek dan buruk. Bukan dari kehendak Allah SWT. Bukan dari Qada’ dan Qadar yang telah ditulis dalam perancangan Allah SWT yang mana hanya Allah SWT yang tahu kebaikannya.

 

Manakala bagi orang lain yang membacanya pula akan membayangkan bahawa jalan berkenaan sememangnya suka dihuni oleh jin setan dan jembalang yang akan sentiasa menunggu untuk membuatkan kejadian kemalangan-kemalangan terus berlaku. Tempat dan kawasan itu akan terus menghantui dan mengoncang kekuatan akidah bagi orang-orang yang menggunakan jalan itu.

 

Bagi penduduk tempatan di Gua Muang pula mereka akan merasa  janggal apabila  tempat mereka ada mempunyai puaka yang menyusahkan orang yang datang dan pergi ketempat itu.

 

Persoalannya tahukah kita betapa sesat dan menyesatkan lagi tajuk berita yang kita pilih?. Tidak adakah seorang pun dalam syarikat akhbar berkenaan yang boleh menggunakan otak untuk memikirkan akibat dari salah penggunaan perkataan yang dipaparkan?.

 

Tahukah kita betapa sukarnya dan siapakah yang hendak membetulkan salah tanggapan ini?


Posted at 02:15 pm by bobzuwan
Make a comment


Dec 30, 2008

BOB MASIH DISINI

Assalammulaikum w.b.
Sudah lebih dua tahun bob menyepi, tetapi blog ini masih lagi setia menanti posting bob yang baru. Kini bob telah berpeluang lagi untuk menyambung tulisan-tulisan bob buat tatapan bagi pembaca-pembaca yang sudi lagi mahu singgah ke blog ini.Mungkin pada sempena tahun baru Hijrah kali ini dpat memberi bob kekuatan untuk meneruskan menyumbangkan tulisan bob kedalamnya.
Syukur, Alhamdulillah bob masih sihat dalam menempuh usia yang sudah kepetangan ini. Mudahan-mudahan Allah SWT memberkati hidup bob selama ini dan bagi masa yang akan datang.
Pada smua kawan-kawan bob dan semua para pembaca yang setia dengan DCCR ini bob ucapkan selamat kita berjumpa lagi.
Setakat ini dulu buat kali ini, moga dilain hari bob akan terus bercerita seperti dulu

Posted at 02:30 am by bobzuwan
Comments (1)


Oct 12, 2006

Panjut

Tiba-tiba pula bob terasa hendak berbuka dengan roti canai. Beli roti canai dipasar Ramadhan kemudian buat sambal tumis ikan bilis sendiri. Lebihkan sikit bawang besar supaya sambal tu nanti terasa manisnya.Apabila makan bersama roti canai sambal bilis ini akan dapat dikapit untuk masuk kemulut. Kuah sambal yang terperangkap pada bawang tadi akan membuak-buak keluar bila digigit dan di kunyah. Jangan lupa tadah tangan supaya jangan sampai meleleh kedagu..........bila dah makan, pastikan tangan dibasuh bersih ....takut nanti bila tangan tu menggesel mata....pedih pulak.

Dikampung bob masa dulu-dulu, kalau bob teringin hendak makan roti canai, ia hanya boleh didapati dikedai mamak dengan harga 25 sen sekeping. Kedai mamak itulah satu-satunya kedai kopi yang ada dikampung bob pada masa itu. Tetapi apa yang menariknya bagi bob ialah disitu terdapat sumber utama untuk membuat pelita minyak tanah atau ada yang memanggilnya sebagai "panjut". Membuat panjut adalah aktiviti tahunan yang tidak pernah bob tinggalkan. Tin-tin susu pekat yang berjenama seperti F & N, Cap Tehkoh, Cap Junjung boleh diperolehi dengan percuma seberapa banyak dari kedai itu. Disitu juga bob boleh memperolehi tutup botol air laminet atau air bergas yang bermacam-macam jenama. Apabila sampai dirumah, bob akan membersihkan tin-tin itu. Kemudian bob akan membuat lubang dengan menggunakan paku besar pada bahagian atas tin yang sudah siap dibuka oleh mamak tadi.

Beberapa biji tin itu pula akan dipotong-potong menjadi empat persegi sebesar 1"dengan gunting. Kemudiannya akan digulung menggunakan paku tadi yang menjadi sebagai acuan untuk dijadikan batang/salor sumbu. Tutup botol juga mesti ditebuk dengan menggunakan paku itu juga. Apabila sudah siap pasangkan batang sumbu tadi dengan mencucuknya tembus ketutup botol supaya melekat pada lubang diatas tin susu tadi. Sumbatkan tali guni sebagai sumbunya dan panjut pun siap. Minyak tanah atau dikenali juga sebagai minyak gas dijadikan bahan bakar nya.

Bob pula akan membuat panjut ini dalam jumlah yang besar kerena ada tempahan. Sebiji panjut yang bob buat akan dibayar dengan harga 15 sen. Pada ketika itu 5 sen pun kita rasa sudah besar. Jadi kalau seratus atau dua ratus biji panjut, tentulah bob akan menjadi kaya. Wang inilah bob buat belanja pada hariraya. Tetapi jari-jari bob akan menjadi pecah-pecah.Walaupun begitu ia tidak menjadi hal kira hati puas kerana boleh mencari duit raya sendiri. Tidak suka minta-minta dari mak. Lagi pun dulu pada zaman bob kecil-kecil dulu mana ada orang bagi duit raya, kueh raya adalah. Daripada bahan tu terbuang begitu sahaja lebih baik kita usahakan boleh juga mendatangkan pulangan. Yang pelik nya bob sorang sahaja yang dapat tempahan tempahan. Kekawan lain hanya membuat panjut untuk kegunaan mereka sendiri.

Bob juga membuat panjut untuk hiasan rumah bob sendiri. Pada malam awal-awal puasa lagi kami sudah memasang panjut ini dihalaman rumah. Ada juga kawan-kawan bob yang memasang panjut buluh dan ada juga yang membakar panjut tempurung. Panjut-panjut ini akan diletakan pada tiang-tiang yang dibuat khas atau pun disangkut pada tiang-tiang pagar disekeliling rumah dan disepanjang jalan. Lagi banyak lagi bagus. Bila dipandang dari jauh pada waktu malam ia akan kelihatan berkelip-kelip satu kampung. Kemudian diselang seli pula dengan dentuman meriam buluh dan mercun. Apabila kita pulang terawikh atau bangun sahur ianya kelihatan sungguh sungguh cantik dengan keadaan yang apinya menyala berkedip-kedip dan terliang liuk. Ianya akan kelihatan mengerlip-ngerlip bagaikan negeri kayangan yang dihiasi lampu-lampu indah. Ah....bau minyak tanah, aduh mak. Bob sebenarnya sangat rindu dengan suasana ini.

Jika sekarang ni pun kita pulang kekampung pada waktu-waktu begini agaknya memang susah hendak berjumpa suasana saperti ini lagi. Harus diingat bahawa cerita begini bukannya terdapat dibandar yang penuh ngan lampu neon.

Beberapa tahun dulu anak bob pernah mengeluh bila tiba hariraya dan bertanya " Apa perbezaan hari raya ngan hari biasa?" Bob faham kerena apabila dia dibesarkan dan hidup di Kuala Lumpur begini setiap hari sentiasa meriah dan setiap malam diterangi lampu, raya sepanjang waktu Jawapan bob, "Kita sendiri mesti melakukan aktiviti-aktiviti untuk memeriahkan nya, saperti membersih dan memperkemaskan rumah, memasang lampu, langsir baru dan lain-lain. Ketika itu baharulah kita akan dapat merasakan perbezaan nya". Kalau kita hanya tunggu dan lihat orang lain sahaja yang buat maka suasana itu tentu tidak akan dapat kita rasai nikmatnya.

Mungkin cerita ni terlalu kecil untuk diceritakan, tapi ia menjadi kenangan bagi bob setiap kali menyambut bulan puasa dan hari raya .....


Posted at 12:40 pm by bobzuwan
Make a comment


Oct 10, 2006

Meriam buluh

Teringat pula bob hendak berbuka berbuka dengan goreng kuey teow kerang hari ini. Sesekali masak kuey teow ini dan dihidang terus dari kuali dan dimakan berebut-berebut dengan anak-anak sedap juga. Banyakkan taugeh, kucai yang dimasak jangan sampai layu. Manakala kerang, udang dan sotongnya nya hendaklah yang masih segar. Apabila hampir masak, dipecahkan pula telur dan digaul sekali. Kerang yang segar terasa pahit manisnya.

Apabila terpandang sahaja kepada kulit kerang dalam waktu-waktu begini teringat kepada meriam buluh. Kulit kerang ni digunakan untuk menutup lubang siut meriam sebelum di letupkan. Cerita pasal meriam buluh ini memang banyak membawa kenangan bob tatkala menyambut Ramadhan and hariraya. Dikampung-kampung, detuman yang bersahut-sahutan dari meriam buluh ini merupakan satu irama yang merdu dalam ingatan bob apabila tiba waktu begini. Tetapi sekarang ni apabila sudah jauh dibandar ianya tidak kedengaran lagi.

Bob masih teringat lagi apabila bob sudah menduduki darjah 6 barulah bob dan jenerasi bob mengambil alih operasi meriam buluh ini dikampung dari generasi abang-abang kami. Saperti orang sebelumnya, apabila sahaja hampir bulan Ramadhan, bob dan kawan-kawan bob akan awal-awal lagi sudah masuk kehutan mencari buluh untuk dijadikan meriam. Biasanya buluh aur atau buluh minyak dihunakan untuk tujuan ini. Kami akan memilihbatang buluh yang besar-besar saiznya.Lagi besar, lagi bagus. Buluh yang bagus ni selalunya berada ditengah perdu kira-kira sebesar tiang letrikdan kerja-kerja menebangnya perlulah berhati-hati, jangan sampai tercedera. Parang, kapak dan gergaji adalah merupakan alatan yang penting untuk misi ini.

Kami perlu mengambil bahagian pangkal buluh kira-kira empat ruas atau sepanjang 4 kaki sahaja dan selalunya masing-masing kami akan membawa pulang dua batang. Kemudian apabila tiba ditempat operasi, ianya akan dibersihkan cantik-cantik. Lubang siut api kira-kira bersaiz tidak sampai sebesar siling 5 sen akan ditebuk pada sebelah pangkal meriam itu dengan menggunakan pisau kecil atau corek. Jaraknya lubang itu perlu ditebuk ialah kira-kira satu tapak tangan dari ruas yang paling pangkal. Ruas yang didalam buluh akan ditebuk dengan menggunakan kayu atu besi paip, tapi ruas yang paling pangkal akan ditinggalkan untuk dijadikan buntut meriam itu. Sebangai langkah keselamatan, meriam itu akan disimpalkan dengan dawai atau rotan. Meriam ini akan disandarkan 20 darjah menghala kepihak musuh kepada 2 batang kayu yang dipacak secara X. Disisinya terdapat satu pelita minyak, 1 tin susu yang bertutup penuh ngan karbait dan satu baldi air. Karbait tu selalu nya mudah dibeli dikedai-kedai dikampung..sebab masa tu orang pergi menoreh pakai lampu karbait atau pun minyak tanah. Apabila semuanya sudah sedia kami pun menanti hari malam selepas berbuka puasa dengan penuh debaran

Bila tiba masanya lampu minyak tadi akan kami nyalakan terlebih dahulu. 3 ketul karbait sebesar ibu jari dimasukkan kedalam muncung meriam akan jatuh sampai kepangkalnya. Sedikit air dituang hingga bunyinya akan berdesir. Meriam disandarkan kembali dan lubang siut ditutup ngan kulit kerang. Tunggu kira-kira 2 minit barulah diangkat kulit kerang tadi dan api disiutkan kelubang siut dengan menggunakan ranting kayu yang bernyala...Booooooooommm!!!!! Pekak telinga sekejap dibuatnya.Kemudian terdengar pula balasan dari pihak "musuh". Kita kemudiannya akan membalas balik. Begitulah bersahut balas hingga kelarut malam..

Salah satu meriam bob adalah yang bersaiz kecil dan ringan. Ianya adalah dari rekabentuk yang mudah alih. Meriam ini akan dikandar keatas bahu seakan "bazuka". Kegunaan nya adalah untuk melakukan serang hendap dikawasan operasi musuh. Apabila tiba masanya kami akan perlahan-lahan dalam gelap pergi kekubu pihak "musuh" dan menyerang secara dekat dari celah-celah pokok. Cara ini akan membuatkan pihak "musuh" tergamam.

Kadang-kadang meriam ini juga gunakan untuk operasi dibawah rumah jiran-jiran yang "terpilih". Sudah tentu rumah orang baru kahwin dan tidak mempunayi anak kecil Keboooom!...bunyinya. Apabila ini berlaku, seronok juga terdengar latahan dan sumpahan mereka kerena terkejut Ianya menjadi gurauan dan bahan ketawa. Dihariraya nanti kami akan cepat-cepat memohon maaf. Seronok kan? Sampai kehari ini bob masih dan sering terkenang-kenang kepada aktiviti bulan puasa dulu-dulu yang sememangnya menjadi nostalgia bagi orang yang sewaktu dengan bob.


Posted at 11:08 am by bobzuwan
Make a comment


Oct 5, 2006

Letup-letup

Sedar-sedar sudah hampir separuh pulak bulan Ramadhan ni. Sedikit hari lagi bila kita sembahyang witir kena baca doa khunut le. Itu tandanya sudah nak masuk zon raya. Tapi sampai hari ni bob masih tak sentuh lagi telur asin....terutama waktu bersahur. Entah kenapa ye. Kalau makan dengan anak-anak bob, tentu sekali bahagian kuning telur yang habis dulu. Di keruk kemudian diseletkan kepada nasi yang sedang panas....kemudian ditelan perlahan-lahan ...ohhh...lazatnya.Tapi jangan lupa basuh tangan bersih-bersih. Nanti berbau telur satu rumah.

Main mercun sudah menjadi satu kemestian pada bebudak dikampung bob pada masa kecil-kecil dulu. Biduanita negara Allahyarhamah Saloma dalam edisi asal lagu Hari raya yang menjadi latar belakang suasana hariraya tu ada mempunyai senikata saperti berikut:-

"Dam-dam dum bunyi mercun

Budak-budak ramai datang berduyun

Dam-dam dum mercum berdentum

Semaraklah hariraya ini tahun"

Tapi senikata ini telah digantikan dengan senikata lain pada lagu yang sama apabila dirakamkan semula dalam tahun awal 70an. Ini adalah kerena alasan kehendak keselamatan dalam negara, dimana masih terdapat beberapa kawasan dinegara kita ini pihak kominis dan anasir subersif beroperasi.....Bob nak tanya siapa pernah dengar dan ada menyimpan lagu versi berkenaan?.....sila convertkan ke format MP3 dan tolong edarkan...boleh.

Main mercun ni memang banyak pakai duit.Pada masa tu satu papan mercun berharga 25 sen habis dibakar dalam masa tak sampai seminit. Jadi kami terpaksa berfikir mencari alternatif lain untuk mendengar bunyi letupan. Kami membuat sendiri alat letup-letup yang bunyi hampir sama dengan bunyi mercun. Letup-letup diperbuat dari bahan buangan basikal buruk. Jadi tentu sekali kedai basikal menjadi tumpuan untuk mendapatkan bahan.

Ada dua cara membuatnya....cara pertama, lidi rim basikal akan dibengkok menjadi saperti angka 7 atau pengetuk dimana ujung kepala pengetuk itu dipasangkan semula nut lidi rim itu secara terbalik. Disebelah pangkal pengetuk itu akan dibengkukan lagi hala kedalam dan diikat dengan getah menjadi tempat pemegang. Sebatang paku bersaiz 1" akan dijadikan sebagai alat sumbat kepada lubang nut. Paku ini akan diikat dengan getah yang bersambung kepada pemegang pengetuk tadi supaya ia tidah mudah hilang.

Cara kedua ialah dengan meggunakan set lengkap nut tayar itu sendiri yang ditanggalkan dari tayar basikal. Nut ini akan diikat kepada sebatang lidi rim basikal dan disebelah pangkal nya dibengkukkan saperti tadi dan diikat dengan getah menjadi tempat pemegang. Sama saperti yang tadi, paku bersaiz 1" akan dijadikan sebagai penyumbat lubang nut.

Belerang mancis api digunakan sebagai bahan peledak. Satu atau lebih kepala mancis akan dikutilkan dan dimasukan kedalam lubang nut. Kemudian paku akan disumbat ketat kedalam lubang nut ketat-ketat. Apabila telah sedia alat ini akan diketuk kapada tempat yang keras...simen atau batu. Detammmmm ....bunyinya....boleh digunakan berulang-ulang kali. Dengan berbekalkan sekotak mancis api ia boleh diletupkan untuk beberpa hari....Inilah alternatif kami selain dari membeli dan membakar mercun.Ia nya tidaklah merbahaya sampai putus-putus jari....

DiKuala Lumpur ni tak boleh buat benda ni...kerena susah nak cari kedai basikal....heh...heh..


Posted at 01:19 pm by bobzuwan
Make a comment


Sep 29, 2006

Lempeng Kelapa

Pada hari kebangsaan yang lalu kami sekeluarga tidak kemana-mana tetapi hanya duduk lepak dirumah sambil menonton program tv. Isteri bob telah menyediakan masak asam pedas ikan tenggiri sebagai lauk makan tengahari. Fatin pula telah menyediakan kerabu pucuk silum istimewa untuk bob. Manakala siAyu telah ditugaskan membakar seekor ikan terubuk yang dicicah dengan kicap bersama bawang, cili dan diperahkan dengan limau nipis. Memang seronok sesekali makan tengahari bersama keluarga ketika cuti-cuti begini.

Pada sebelah petangnya pula, Fasya telah merengek pada bob merayu untuk membuatkan beliau lempeng kelapa. Apabila tersebut sahaja nama kueh ini, ianya terus mengintakan bob pada mak bob dan ibu-ibu saudara bob. Ini adalah kerena, mereka inilah yang sering menyediakan kueh ini pada ketika bob kecil-kecil dulu.

Menyediakan lempeng ini adalah satu perkara yang mudah. Oleh kerana lempeng yang bob sediakan ini bersaiz besar iaitu tiap-tiap keping selebar dua tapak tangan, bob telah menggunakan sebanyak 750 gm tepung gandum bagi sekali masak. Tepung ini telah dimasukkan kedalam sebuah besen. Adunan tepung ini dicampur dengan sebiji kelapa parut, sebiji telur dan tiga sudu kecil garam. Kemudiannya perlahan-lahan dibancuhkan dengan air sehingga sehingga kelikatan boleh diceduk dengan sudu. Seterusnya bob mencairkan sesenduk kecil majrin yang kemudiannya digaulkan sekali sehinggab rata bersama adunan tadi.

Sambil menantikan sedikit minyak cukup panas didalam kuali leper diatas dapur, bob meminta Fasya untuk pergi mengambil sehelai daun pisang dari pokok pisang yang sedang tumbuh subur dihalaman belakang rumah. Daun pisang itu dibersihkan terlebih dan kemudian dijadi alas pada setiap piring hidangan lempeng ini nanti.Apabila kuali telah panas bob pun menuangkan kira-kira dua senduk adunan tadi keatasnya. Kemudian dengan menggunakan senduk itu juga bob telah merata dan melebarkan sehingga ianya berbentuk lempeng yang bulat.

Dua minit kemudian bob membalikkan lempeng ini dengan menggunakan sudip. Fasya sangat tertarik apabila bob menekan-nekan dan menampar-nampar rata atas lempeng ini dengan sudip supaya ianya menjadi sedikit pipis dan masak agak rata. Kemudian setelah beberapa minit ianya diterbalikkan sekali lagi untuk mempastikan supaya masaknya samarata. Fasya ketawa besar apabila bob menceritakan yang lempeng ini bob panggil dengan pangilan "kueh debab". Ini adalah kerena apabila melihatkan cara memasaknya seperti ini dilakukan yang mengeluarkan bunyi "berdebab-debab". Bob menjelaskan yang opahnyalah telah memberi panggilan sedemikian semasa bob kecil-kecil dulu. Fasya pun tutut mencuba memasak lempeng nya sendiri. Sehingga selesai kami telah berjaya menyediakan tujuh atau lapan keping kesemuanya dari adunan tadi.

Apabila sahaja lempeng-lempeng ini diangkat dari kuali dan diletak keatas piring yang berlapikkan daun pisang, bau harum lempeng yang panas ini sudah cukup menaikkan selera. Apalagi, sambil jari terkial-kial menahan panas, lempeng ini dicubit-cubit dan dicicahkan pula dengan kuah asam pedas. Kemudian disuapkan perlahan-lahan kemulut kami masing-masing. Sambil melihat diluar air hujan yang sedang menitis laju dari hujan cucuran hujung atap, satu demi satu cubitan tadi tidak disedari masuk kemulut dengan penuh rasa sensasi yang amat menakjubkan. Apalagi lagi yang lebih nikmat dalam keadaan begini apabila "kopi o panas kaw" pula menjadi minuman yang dihidangkan.

Selain dari kuah asam pedas, lempeng kelapa ini boleh juga dicicah dan dimakan bersama gula. Tetapi pada hari itu bob juga makan kueh ini bersama sambal tumis bilis. Pernah juga bob makan kueh ini bersama kuah kari. Semuanya boleh sahaja dan sedap. Ikut sahaja selera dan apa yang ada. Mungkin kalau dicicahkan dengan kuah atau kole atau sesetengah orang memanggilnya sebagai bubur durian pun agaknya lagi sedap.

Semasa bob berada di Kijal tidak berapa lama dulu, sebuah gerai yang berhampiran dengan perhentian bob ekspres disitu ada menyediakan lempeng kelapa ini. Ia dimakan bersama kuah kari. Manakala ketika bob berada di bandar Chukai berhampiran dengan simpang masuk ke Intan pula terdapat sebuah gerai yang menjual masakan asam pedas dan lempeng jenis ini. Disini lempeng kelapa ini dimakan bersama pilihan kuah kari, gula ataupun masakan asam pedasnya. Memang sedap sehingga membuat isteri bob berulang kali untuk singgah disitu apabila mengunjungi Trengganu.

Sememangnya kueh tradisional ini sudah jarang disediakan orang dirumah terutama oleh mereka yang berada dibandar-bandar masakini. Kueh yang mudah disediakan tetapi lazat ini semakin dilupakan kerena citarasa anak-anak metropolitan yang telahpun ulit dengan piza, pasta, roti, kek dan burger. Tetapi jika kita berpeluang bersarapan di Restoran Asam Pedas yang terletak berhampiran jalan masuk ke Setiawangsa di Keramat, ianya merupakan menu utama yang ekszotik.

Pada bob, kueh lempeng kelapa ini sememangnya banyak membawa kenangan semasa bob kecil-kecil dulu. Beberapa ketika dahulu disatu masa setelah negara kita merdeka, dimana bekalan beras telah dicatu untuk menghadapi gerakan pengganas kominis dan negara juga sedang dalam keputusan bekalan, kami terpaksa mencari alternatif makanan lain bagi menggantikan nasi. Tepung gandum yang telah dimasak berbagai cara dijadikan sebagai makanan ruji. Lempeng kelapa adalah cara yang mudah dan murah disediakan pada masa itu selain dari cepat mengenyangkan kami. Sampai kehari ini ianya masih merupakan kueh kegemaran bob sekeluarga.


Posted at 01:12 pm by bobzuwan
Make a comment


Sep 25, 2006

Bersahur

Subuh tadi bob membangunkan anak-anak bob untuk bersahur. Seperti yang dirancangkan, kami hanya bersahur dengan makan nasi bersama telur goreng dan sayur sawi masak bening sahaja. Bob memang tahu bahawa telur goreng mata kerbau adalah kesukaan ramai, jadi dalam keadaan sejuk itu bob telah turun kedapur untuk menyediakannya. Diatas telur ini bob tuangkan dengan sedikit kicap. Sambil menantikan air masak sayur bening mendidih bob telah membuka suis tv. Beberapa orang ustaz sedang menyampaikan tazkirah mengenai ibadah puasa. Tazkirah ini sangat elok dan berkesan disampaikan pada waktu-waktu sejuk begini.

Setelah air yang mengandungi beberapa hiris bawang putih dan bawang kecil ini mendidih, bob terus masukkan sahaja daun sawi yang telah sedia dikerat-kerat oleh Ayu dan Fatin sebelum mereka masuk tidur malam tadi. Kemudian bob masukkan sedikit garam secukup rasa dan api pun dipadamkan. Seterusnya bob telah naik keatas membangunkan anak-anak bob.

Terkulat-kulat bob lihat Fasya makan yang terus mengingatkan bob pada kenangan bob bangun sahur semasa kecil-kecil dahulu. Apabila semua makan telah disediakan, mak atau ibu saudara bob akam membangunkan bob dan adik-adik bob. Kain pelikat adalah pakaian tidur kami dan dijadikan kelubung menutup badan ketika bangun dalam keadaan sejuk begitu. Oleh kerena masih dalam keadaan masih mamai, semasa menuju kehidangan, pernah sekali entah macam mana bob telah terpijak sendiri bahagian bawah kain itu. Apalagi bob pun berdentum jatuh tergolek kelantai papan rumah bob itu hingga membuat bapa bob terkejut dan marah.

Sememangnya makan sahur adalah satu perkara yang amat tidak menyelerakan dan kadangkala bob akan tertidur kembali semasa sedang menghadapi hidangan. Bapa bob akan mengertak menyuruh kami makan segera supaya tidak akan merasa lapar disianghari nanti. Dalam keadaan yang malas dan terpaksa mulut akan mengunyah lama makanan yang disuap. Air suam akan menjadi penyelang suapan untuk memudahkan makanan membolosi tekak yang amat degil pada ketika itu. Apabila selesai sahaja makan, kami akan cepat kembali tidur.

Pada hari-hari awal berpuasa ini, adakalanya bob terlupa. Tambah lagi jika Ramadhan jatuh dalam musim buah-buahan. Apabila sahaja bangun pagi kami akan terus pergi mengutip buah-buah rambutan yang dijatuhkan oleh keluang atau musang pada malam tadi. Apalagi jika melihat rambutan yang ranum mulut pun ternganga dan setelah ditelan barulah kita teringat yang hari ini adalah hari pertama kita berpuasa. Mak bob akan cuba memberikan keyakinan bahawa jika ianya berlaku dalam keadaan terlupa, puasa kita tidaklah terbatal.

Apabila bob sudah meningkat dewasa, keseronokan bulan puasa telah berubah menjadi kenikmatan. Jika masa kecil-kecil seronok dibulan Ramadhan yang terhidang dengan berbagai hidangan yang lazat dan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang hebat tetapi kini telah digantikan dengan rasa kesyukuran terhadap anugerah Allah SWT dengan bulan yang penuh rahmat. Bulan yang membawa kita untuk menilai diri kita sejauhmanakah kita telah menjadi diri kita sebagai hambaNya. Bulan yang dimana kita dapat menikmati kenikmatan apabila kita berjaya mengengkang hawa nafsu dari rasa perhambaan kita terhadapNya. Nikmat seperti ini tidak terdapat dibulan yang lain dimana kita sering sahaja alpa dari tuntutan untuk memisahkan nafsu demi keikhlasan beribadah.

Ya Allah ya Tuhan ku betapa lemah dan kecilnya aku dan betapa bijaksananya Engkau dan penyayangnya Engkau dengan anugerah ini. Apalah aku ini yang hanya seorang hamba kepada Mu ya Allah.....puasa ku dibulan yang mulia ini adalah untuk Mu..ya Allah.


Posted at 11:15 am by bobzuwan
Make a comment


Sep 21, 2006

Persediaan

Jika dikampung semasa bob kecil-kecil dulu apabila tiba waktu-waktu begini, sibuk lah orang-orang kampung bersiap sedia untuk menyambut bulan puasa. Selalunya pokok-pokok dikirikanan jalan akan dicantas dan dibersihkan. Tanah perkuburan dibersihkan. Surau dan masjid akan dicat dan dibersihkan. Periuk belanga, pinggan mangkuk dan kerusi meja pun turut dibersihkan. Kain-kain putih sejadah dan tikar juga perlu dibersihkan. Kolah-kolah atau kolam pula akan dibersihkan dan airnya diganti baru. Halamannya pula dibersih dan diindahkan dengan lampu-lampu berwarna warni apabila malam.

Jalan seluruh kampung juga akan diterangi lampu-lampu panjut. Ini adalah sangat mustahak bagi orang-orang kampung yang akan berduyun-duyun pada setiap masa berulang alik kesurau dan kemasjid pada waktu malam samaada untuk berbuka, bertarawikh atau pun menunaikan solah subuh berjemaah. Dalam bulan ini juga nanti sering dilakukan kiamulail. Para tuan guru dan penceramah akan dijemput dari daerah lain bagi memenuhi acara ini. Ahli-ahli jawatan kuasa masjid dan surau pula sibuk bermesyuarat bagi mengatur kesemuanya ini.

Manakala siibu pula sibuk kepekan membeli tikar, tudung saji dan kain pelikat. Ini semua adalah untuk persediaan tatkala berhidang ketika bersahur dan berbuka. Kain pelikat itu pula adalah untuk anak-anak dan suami yang akan mengamuk sembahyang ketika bertarawikh. Malumlah kain pelikat yang dibeli tahun lepas mungkin tidak boleh dijamin masih tahan lagi. Nanti apabila sedang solat tiba-tiba koyak, susah pula jadinya. Tambah-tambah lagi jika kejadian ini berlaku dimasjid, nanti cerita jenaka ini akan dikenang sampai kehari raya.

Bagi persiapan didapur pula, siibu akan membeli lebih telur asin dan ikan masin atau ikan kering. Kesemuanya ini akan menjadi pembuka selera pada waktu sahur pula nanti. Bila bercakap tentang telur asin pula, tentu sekali bob cepat-cepat terbayangkan kepada nostalgia bangun makan sahur dalam bulan Ramadhan. Bagi sesetengah temapat terutama disebelah selatan tanah air, mereka akan melakukan penyembelihan kerbau dan lembu pada hari-hari yang hampir masuk kebulan Ramadhan ini. Hari itu dipanggil "hari bantai". Daging sembelihan ini dijadikan serunding yang enak dimakan disepanjang bulan itu.

Sibuklah disana sini melakukan persiapan bagi menyambut bulan yang dinanti-nantikan ini. Anak-anak muda pula sibuk menyediakan panjut dan mencari buluh dihutan untuk dijadikan meriam buluh. Jika tiap-tiap rumah sudah mula menyediakan panjut dan lampu-lampu akan dipasang disepanjang jalan maka seluruh kampung akan menjadi terang berderang pada setiap malam dalam bulan ini. Manakala bebudak pula nanti akan bebas keluar rumah bermain atau kemasjid sepanjang bulan ini.

Begitulah kesibukannya disana-sini yang bob dapat imbaukan apabila menjelang kedatangan Ramadhan ketika bob kecil-kecil dikampung dulu. Kenangan yang mungkin tidak boleh dirasakan oleh anak-anak generasi masakini apatahlagi jika mereka menjadi penghuni dan permastautin kota metropolitan seperti KL ini. Apa yang kita dapat pastikan cuma kesibukan dirasai oleh ahli-ahli jawatan kuasa masjid dan surau yang masih sibuk seperti dulu mengaturkan acara-acara bagi memenuhi keperluan ahli kariah ditempat masing-masing.

Sememangnya tidak lama lagi kita akan menyambut bulan mulia yang kita nanti-nantikan ini. Oleh itu bob berpesan, jika ada kawan-kawan yang masih berhutang itu silalah lunaskan segera. Jikalau hutang tidak dapat dilunaskan dalam tahun ini, tahun depan terpaksalah dilunaskan bersama dengan pediahnya sekali. Pada yang termampu pula, buat masakini boleh lah kita sama-sama berpuasa sunat-sunat Syaaban sebagai latihan untuk mendapat puasa yang sempurna diRamadhan akan datang ini.Oleh kerena Ramadhan semakin hampir, mari lah kita bersedia dari segi rohani dan jasmani untuk sama-sama mengimarakkan bulan mulia yang penuh dengan pengabdian ini.

Persediaan bob bermula dengan memohon kemaafan dari ibu bapa, saudara mara rakan dan taulan. Moga-moga dengan penuh harapan agar puasa dan amal disepanjang bulan Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari Ramadhan yang telah lalu....Amin


Posted at 11:48 am by bobzuwan
Make a comment


Sep 11, 2006

Menara Tinjau

Pada satu petang hari minggu bob telah membawa keluarga bersiar-siar melalui jalan-jalan bukit dibelakang tempat kediaman kami. Pada mulanya kami mengambil jalan Ampang yang menghala kebukit Belacan kemudian membeluk kekanan dan seterusnya mengambil jalan ke Hulu Langat. Jalan yang mendaki bukit ini pernah satu masa duhulu adalah menuju kesatu kawasan bekas pembuangan sampah. Dari sebelah kiri jalan ini kita akan dapat melihat jelas seluruh pemandangan bandaraya KL. Jika cuaca baik dan tidak berjerubu kita akan dapat menikmati keindahan pemandangan seperti ini yang pastinya tidak dapat dlihat dari tempat-tempat lain.

Sesampai sahaja dipuncak bukit itu disebelah kanan jalan itu, telah dibina sebuah tempat perhentian yang serba lengkap. Disini terdapat sebuah restoran, surau dan bilik air. Direstoran ini ada menjual nasi lemak panas, aneka mee dan teh tarik. Kelihatan juga peralatan "karaoke" yang lengkap telah sedia menanti untuk mereka yang berminat untuk "menyumbangkan" suara. Agaknya tempat ini akan bertambah meriah apabila tiba waktu malam.

Dari tempat ini, jika kita terus masuk kesatu jalan yang agak mendaki melalui sebuah pintu gerbang yang mengucapkan selamat datang, kita akan sampai kesatu kawasan baru tarikan pelancungan yang amat menarik. Kawasan ini duhulunya dikenali sebagai Tempat Meninjau Hulu Langat, ini adalah kerena disini telah dibina satu menara tinjau khas untuk melihat keindahan keseluruhan bandaraya KL. Dini juga telah ditempatkan beberapa buah restoran yang agak selesa. Restoran-restoran ini ada yang menjamu makanan barat dan ada juga menghidangkan makanan ringan. Juga dikawasan ini terdapat sebuah resot penginapan dan sebuah taman burung. Suhu ditempat ini agak nyaman dan sejuk terutama dimalam hari.

Sememangnya bob dan keluarga telah lama berhajat untuk berkunjung ketempat ini, tetapi baru kini ianya dibuka untuk orang awam setelah beberapa lama ditutup bagi kerja-kerja pembinaan kemudahan-kemudahan tadi. Apalagi, setelah menikmati keindahan pemandangan bandaraya pada waktu menjelang senja, kami pun duduk menikmati hidangan ala barat. Kedudukan restoran yang menghadap kerlipan lampu yang bertaburan disekitar Lembah Kelang membuatkan kami rasa seakan berada diatas kayangan. Menu seperti "steak", "bbq", "lamb chop" dan "chiken chop" sangat menyelerakan dan sesuai dalam keadaan cuaca yang agak sejuk begini. Teh o panas adalah merupakan pilihan minuman kami.

Tiba-tiba melayang difikiran bob bahawa tidak disangka sama sekali kita boleh menikmati tempat peranginan ala tanah tinggi cuma beberapa kilometer sahaja jaraknya dari bandaraya. Bob bercadang untuk berkunjung lagi tempat ini pada waktu malam pula. Kali ini mungkin kami akan pergi berdua suami isteri sahaja. Tetapi sudah tentu bukan pada malam minggu kerena diberitahu bahawa tempat ini agak ramai juga pengunjungnya. Apatah lagi jika pada malam-malam hari kebangsaan atau hari-hari keraian yang lain. Ini adalah kerena ketika itu tempat ini akan dikunjungi oleh mereka-mereka yang datang untuk melihat suasana angkasa bandaraya yang dihujani dengan gemerlapan warna-warni pertunjukan bunga api.

Dua minggu lagi akan tibalah bulan Ramadhan yang kita nanti-nantikan. Bulan yang penuh dengan iltizam baru dan keberkatan yang limpahannya akan kita bawa untuk kita isikan kedalam kehidupan kita pada bulan-bulan seterusnya. Persoalnnya sudahkah kita bersedia untuk mengarap nikmat yang dianugerah didalam bulan yang mulia ini? Sama-samalah kita berazam supaya Ramadhan kali ini adalah merupakan Ramadhan yang terbaik yang pernah kita lalui disepanjang hidup kita. Ini adalah kerena kedatangannya kali ini berkemungkinan merupakan kemunculan terakhir bagi sesetengah dari kita.


Posted at 12:43 pm by bobzuwan
Make a comment


Next Page




Best viewed in 1024x768
with IE5.x and above


:: ßob d' ßlogger ::

ßob / Yoep / Reduan
  • a father of 4 childrens
  • Perakians


    YM ID : bobzuwan

    ßob feelingBob's mood


    :: ßob's Chat ßoard ::
    Mari sembang bergebang...

    orang online di sini



       

    << December 2009 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04 05
    06 07 08 09 10 11 12
    13 14 15 16 17 18 19
    20 21 22 23 24 25 26
    27 28 29 30 31




    :: ßob's Camera of Life ::



    :: ßobby's ::


  • Maintenance :
    | DCCR | eMail | Photo |


  • Male/46-50. Lives in Malaysia/Selangor/Ampang/Kuala Lumpur, speaks Malay and English. And likes music/cooking.
    This is my blogchalk:
    Malaysia, Selangor, Ampang, Kuala Lumpur, Malay, English, Male, Rebzuwan, 46-50, Music, Cooking, Fishing.


    :: ßob's Hobbies ::

  • Memancing
  • MIDI/PC Music Composing
  • Memasak
  • Pantun


    :: ßlog ßuddies ::

  • Budak Opis
    .: Aida Munira
    .: Ain Rahmah
    .: Asma Hanim Hunny
    .: Antusemut
    .: Ifa Alyana
    .: Jamilah
    .: Maria Teo
    .: Najah Nasseri
    .: Putri Afzan Maria
    .: Sarini
    .: Shahrina + Fariz
    .: Siti Aishah
    .: Pushpa
    .: Wynn Irene N R

  • Geng Luar Opis
    .: Aizuddin Danian
    .: Mim Umi
    .: Lolyta Poniman
    .: BandarSepi
    .: Shahar
    .: Sharizal Shaarani

  • Geng Singgah Sini
    .: Adiq Lady
    .: Aida
    .: Ballack
    .: Cik Easy
    .: Dona Joliekins
    .: EP
    .: Faryna
    .: Fairy Mahdzan
    .: Idham AKMA
    .: Hana Kirana
    .: Inai @Japan
    .: Joyz
    .: Liza
    .: Ogy Kem Lambaian D
    .: Sofeanny
    .: Suraya
    .: Mat Piah
    .: Zety


    :: ßuddies' Photo/Mob Log ::

    .: Ervan
    .: Farah + Zul
    .: Haslinda/Yong
    .: Ifa Alyana
    .: Irene N R
    .: Maria Teo
    .: Mat Piah I
    .: Mat Piah II


    :: Fav ßookmarks ::


    Geng Jurnal
    RMKL.fm
    example link 3


    :: Others ::

    Dictionary
    English-Indonesia-English



    :: ßob's Million Thx ::

    Template by: Blogdrive
    Template altered by: Ifa Alyana
    Album by: Textamerica
    Statistic by: Nedstatbasic
    Images by: Google Image Search
    Background music by: A Girl From Ipanema

    Powered by SPiN


    :: Disclaimer ::




    Creative Commons License

    DCCR is licensed under a Creative Commons License.



    Hakcipta Terpelihara
    Rebzuwan M.D.©2003

    "Segala tulisan, pandangan, peringatan dan hasil laman ini adalah milik saya. Seandainya ada pihak yang terganggu-gugat kerananya bukanlah atas tanggungjawab saya"


    sejak 31st December 2003
    Web Counter
    Free Web Counter





  • Contact Me

    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


    rss feed


    Blogdrive