|
Pada masa bob kecil-kecil dulu, dimalam hari menyambut Tahun Baru Cina dipekan tempat bob tinggal itu akan riuh rendahlah bunyi letupan mercun. Bunyi yang meriah ini berlarutan bagaikan tidak mahu berhenti dari tengah malam hinggalah kesubuh. Dipekan itu kesemuanya didiami oleh penduduk kaum Cina yang mencari rezeki sebagai peniaga kedai runcit, restoran dan penjual dipasar. Ada juga penduduk Cina disekitarnya yang berkerja sebagai pengusaha dan penoreh getah dibeberapa estet mereka sendiri yang berdekatan. Tidak kurang pula ada dikalangan mereka yang berkerja dan mengusahakan lombong bijih timah yang sangat popular ketika itu. Dikawasan itu juga terdapat beberapa penempatan kampung baru yang juga didiami oleh kaum Cina ini. Mereka juga menampung nafkah seperti yang dilakukan oleh penduduk dipekan tadi. Penempatan yang serba lengakap ini telah diujudkan semasa zaman darurat sebagai satu kaedah menjaga keselamatan negara dari ancaman pengganas komunis pada masa itu. Manakala kaum India pula berkerja sebagai buruh diestet-estet berhampiran. Estet-estet getah ini adalah kepunyaan syarikat barat. Ada juga diantara mereka yang berkerja sebagai buruh lombong bijih timah yang juga dipunyai oleh syarikat perlombongan dari barat. Mereka tinggal di kongsi-kongsi estet ini dan kawasan-kawasan penempatan buruh lombong yang disediakan oleh syarikat-syarikat berkenaan.Kawasan-kawasan ini selalunya mempunyai kemudahan yang agak lengkap dengan kelinik dan sekolahnya. Bagi orang Melayu pula, mereka tinggal dibeberapa kampung yang berhampiran disekitarnya. Mereka mencari rezeki sebagai penoreh getah dikebun sendiri atau sebagai pekebun kecil getah dan juga sebagai buruh lombong kapal korek. Ini termasuklah bapa bob dan orang-orang kampung bob. Dipekan ini satu ketika dulun pernah dipernuhi dengan kereta-kereta besar seperti dari jenis Mercedes, Holden, Vauxhall, MG, Jaguar, Trinidate, Chrystler, Daimler, Opel dan lain-lain yang dipunyai oleh pengusaha-pengusaha lombong dan estet getah ini. Taukeh-taukeh Cina ini juga ada yang membuka kedai membeli bijih timah dan getah. Oleh itu apabila tiba menyambut tahun baru ini, pekan ini teramatlah meriah dipenuhi oleh orang ramai. Bob masih terbayang lagi, keesukannya apabila bob dan kawan-kawan bob berbasikal kepekan ini, kelihatan semua jalanrayanya berwarna kuning dan merah diliputi serbuk kertas mercun sehingga setinggi setengah kaki tingginya. Mercun ini pada malam tadinya diikat panjang-panjang dan digantung tinggi dengan menggunakan galah pada setiap kedai dipekan itu. Kemudian ianya dibakar tidak berhenti-henti sepanjang malam.Ada juga diantara taukeh-taukeh Cina ini memberi kami kuih bakul, mercun dan limau sebagai tanda ingatan Tahun baru mereka. Apabila menyebut tentang kuih bakul ini, tiba-tiba sahaja bob terkenang kepada beberapa orang nyonya dikampung bob yang sering datang kerumah bob untuk mengambil daun buluh lemang apabila hampir tiba dimusim perayaan ini. Daun ini dibentuk seperti bakul sebagai tempat acuan kuih itu. Rasanya juga agak berlainan dari kuih yang dimasak dengan daun pandan atau daun pisang apatah lagi dari rasa kuih itu yang dibuat secara komersial seperti sekarang ini. Baru-baru ini bob amat terkejut apabila bob mengunjungi sebuah pasar raya melihat kuih bakul yang dibentuk seperti patung. Bob bertanya kepada beberapa orang gadis Cina yang sedang sibuk membelek-belek kuih itu. Mereka telah melahirkan rasa hairan mengapa pada kali ini kuih itu dibentuk sedemikian. Mereka juga terkejut apabila bob menerangkan yang ianya lebih sedap jika dimasak dengan menggunakan daun buluh lemang. Mereka mengakui bahawa gulungan muda sekarang sememangnya telah sukar untuk menikmati cita rasa yang asli kuih tradisional ini. Tarian naga dan singa juga diadakan berlarutan sebelum tahun baru sehinggalah hari "Cap Goh Meh" ia itu dua minggu kemudian. Tarian yang penuh aksi akrobatik ini dilakukan oleh ahli-ahli beberapa persatuan kaum ini dipekan tersebut yang bergerak aktif pada masa itu. Bunyi ketukan gendang yang berirama meriah ini membuatkan kawasan pekan itu menjadi hidup dan menjadi kenangan kami sampai kini. Ah Heng adalah merupakan salah seorang kawan bob yang sering bersama kami kemana sahaja. Beliaulah yang sering menceritakan pada kami tentang kehidupan kaumnya. Masih terngiang jelas ditelinga bob bagaimana pelatnya dia menyanyi lagu "Jauh diRindu" yang dipopularkan oleh kumpulan The Mercy’s dari Indonesia semasa beliau belajar bermain gitar dengan bob. Pada masa itu kami ketawa bersama dan bernyanyi bersama. Tetapi kini beliau telah berpindah ke Singapura dan kami pun telah lama terputus hubungan. Ah Heng bersekolah disekolah rendah jenis kebangsaan Cina yang terdapat dipekan itu. Sekolah ini amat dihormati kerena sering menjadi johan dalam sukan basketball dan badminton dikalangan sekolah-sekolah didaerah itu. Persatuan ibu bapa dan murid tuanya sangat aktif dan inilah yang menjadi pemangkin dalam usaha-usaha masyarakat setempat untuk menjalinkan semangat muhibah dikalangan berbagai kaum yang hidup rukun damai saling hormat dan menghormati diantara satu sama lain....oh Tanjung Tualang.
|
| Leave a Comment: |