|
.....wau bulan.....
Membuat dan bermain layang-layang adalah satu dari kegemaran bob dan kawan-kawan yang sebaya dengan bob dikampung pada zaman bebudak dahulu. Layang-layang yang dibuat sendiri adalah menjadi kebanggaan kami daripada memiliki layang-layang yang sudah siap dibeli dari kedai. Oleh itu, jika ada diantara kami yang memiliki atau bermain dengan layang-layang jenis ini adalah dianggap sebagai orang yang kurang sifat kerena tidak berupaya membuatnya sendiri. Mereka ini selalunya akan ditertawakan.
Tidak seperti sekarang ini, terutama penduduk dikota metropolitan ini, layang-layang dengan mudah dimiliki dengan hanya membelinya dari kedai. Layang-layang yang berbagai bentuk dan warna ini adalah diimpot dari luar negara. Ianya dibuat dari kain nylon dan bilahnya dari gantian kaca. Ada juga diantara layang-layang ini yang mempunyai bentuk tiga dimensi dan terpaksa menggunakan lebih dari satu tali teraju.
Pada satu ketika dulu bob pernah menceritakan perihal membuat dan bermain layang-layang ini. Ia adalah satu permainan warisan budaya bangsa kita dan jika di daerah Pantai Timur ianya dipanggil wau. Dinegara kita ini terdapat beberapa buah persatuan yang giat mempelupori permainan atau sukan rekreasi ini. Ada diantaranya telah berjaya menganjur pada setiap tahun siri pertandingan layang-layang antara bangsa sepeti yang diadakan di kawasan Pasir Gudang Johor.
Membuat layang-layang yang baik tidaklah semudah yang diceritakan. Maksud bob, layang-layang yang baik ini adalah layang-layang mudah dinaikkan, senang dikendalikan dan cepat bertindak balas mengikut angin yang menerbangkannya. Oleh itu layang-layang yang baik adalah dari hasil kerja tangan yang penuh mahir dan penuh kesabaran. Ia adalah merupakan satu kerja seni atau kraftangan pembuatnya. Sebagai contohnya, membuat wau bulan adalah merupakan seni budaya tradisional bangsa kita.
Kami membuat layang-layang sendiri dalam berbagai bentuk. Bentuk yang paling mudah ialah layang-layang bawal dan layang-layang helang. Bentuk wau bulan juga menjadi pilihan bagi mereka yang lebih tua dari kami. Ini mungkin kerena layang-layang jenis ini lebih kepada keindahan ciptaan seni coraknya yang amat menarik dan bersaiz lebih besar.
Sebagai langkah pertamanya, terlebih dahulu kami akan mencari buluh kering dan kuat yang dipilih sesuai untuk rangka layang-layang ini. Bagi membuat layang-layang bawal sebesar sedepa orang dewasa, dua bilah buluh diperlukan untuk dijadikan rangkanya. Satu daripada bilah buluh ini sepanjang lima kaki adalah untuk tulang belakangnya yang diraut menjadi bilah selebar setengah inci..Bilah ini agak joreng atau tajam dibahagian hadapannya. Manakala disebelah ekornya dibelah dua menjadi sepeti cabang sepanjang kira-kira setengah hingga satu kaki. Kedua-dua cabang ekor ini diraut sama seimbang sama besar. Dipangkal cabang ini akan diikat kemas dengan benang supaya ianya tidak terkoyak apabila rangka ini diregang nanti. Satu lagi bilah sepanjang empat atau lima kaki akan dijadikan sebagai bilah kepak atau sayapnya. Bilah ini akan diraut bulat lebih halus, samarata, cukup seimbang dan sama besar dari hujung kehujung. .
Bahagian betul-betul ditengah bilah sayap ini akan diikat kemas pada bilah tulang tadi kira-kira setengah kaki dari bahagian hadapannya atau muncungnya. Bilah sayap ini mestilah cukup seimbang dan sama panjang sebelah kiri dan kanannya. Kaedah kami akan menentukan kesaimbangannya adalah dengan meletakkan titik tengah bilah sayap ini diatas mata pisau raut. Sehelai benang akan diikat dan diregangkan kira-kira satu kaki dari kedua-dua belah sayap layang-layang tadi dan dikat kemuncung layang-layang tadi. Oleh itu kawasan kepala layang-layang ini akan terbentuk seperti tiga segi dengan tulang ditengahnya.
Di kedua-dua bilah sayap kiri dan kanannya ini akan diregangkan benang sepanjang kira-kira dua kaki yang masing-masingnya akan diikat pula kepada bahagian ekor kiri dan kanan yang bercabang tadi. Kini terbentuklah rangka layang-layang bawal ini yang agak kelihatan sedikit melengkung kebelakang dan sayapnya. Bahagian yang melengkung ini adalah bahagian atas layang-layang itu.
Kemudiannya rangka layang-layang ini akan ditampal dengan kertas nipis dan ringan dengan menggunakan perekat yang diperbuat dari tepung ubi. Kertas yang digunakan adalah dari jenis kertas majong yang putih. Pada yang berkebolehan melukis, kami akan melukiskan corak dan pelbagai gambar yang berwarna warni pada badan layang-layang ini dengan menggunakan warna air atau poster. Setelah dijemur kering, layang-layang ini pun telah tersedia untuk digunakan.
Sebelum digunakan, satu tali teraju sepanjang satu kaki setengah mestilah diikat terlebih dahulu dibahagian bawah layang-layang ini. Ikatan benang yang berbentuk agak tiga segi ini akan diikat dari bahagian percantuman sayap dengan tulang belakang tadi sehinggalah kepada bahagian tulang kira-kira setengah kaki dari cabang ekornya. Benang atau tali layang-layang kita pula akan diikat pada bahagian tengah yang agak lebih pendek sedikit kehadapan pada tali teraju ini. Kami akan menggunakan kira-kira dua atau lebih buku benang yang mudah dibeli dari kedai dipekan kami.
Apabila tiba sahaja waktu petang yang berangin, kami akan terus berlari kepadang sekolah untuk menaikkan layang-layang kami masing-masing. Berwarna-warnilah layang-layang kami kami terbang menghiasi angkasa kampung kami ketika itu.Ada juga diantara kami yang menyalutkan benang layang-layang kami dengan kaca-kaca halus. Ini adalah bertujuan untuk memutuskan benang-benang layang-layang lain yang terbang berdekatannya apabila digeselkan. Ada juga diantara kami yang memasang alat yang diperbuat dari belahan rotan, daun kelapa dan lintah kering pada tali teraju supaya layang-layang kami boleh mengeluarkan bunyi yang agak aneh dan menggerunkan. Ini terpulanglah kepada kreativiti masing-masing.
Pada bob, sebenarnya aktiviti membuat layang-layang ini yang dilakukan mengikut kemahiran dan daya kreativiti kita adalah lebih mengasyikkan daripada menerbangkan layang-layang itu sendiri. Cuma kepuasan akan tercapai apabila melihat layang-layang kita berjaya terbang meliang-liuk diangkasa dengan gagahnya. Berbanding dengan keadaan sekarang, layang-layang senang diperolehi dengan membelinya dikedai-kedai tertentu dan terus dibawa kepadang untuk diterbangkan. Oleh itu tidak hairanlah adakalanya layang-layang kita akan sama dengan layang-layang orang lain yang membeli dari pembekal yang sama. Jadi, pada bob, membuat layang-layang sendiri adalah sesuatu yang lebih menyeronokan.
|