Entry: Cucur Udang Feb 16, 2005




......lihatlah udang yang terperangkap diatas cucur itu.....

Pada sesiapa yang pernah keAlor Gajah Melaka mereka tentu akan bertemu dengan satu arca mercu tanda ditengah-tengah bandar itu. Arca ini adalah merupakan replika sebuah keris besar. Ia dibina didalam sebuah taman yang terletak berhampiran dengan pusat penerangan pelancungan dan kraftangan. Berhampiran dengannya terdapat beberapa buah gerai makan yang mesti dikunjungi oleh sesiapa sahaja yang singgah bandar ini. Digerai-gerai inilah kita boleh menikmati cucur udang yang sangat popular didaerah itu. Walau pun begitu, gerai-gerai yang menjual cucur udang ini hanya akan bermula operasinya pada sebelah petang selepas makan tengahari.

Setelah kita puas menikmati hidangan cucur udang panas bersama teh tarik, jangan lupa pula membeli sosnya sebagai buahtangan untuk dibawa pulang. Sos yang mempunyai resepi khas ini memang dibuat istimewa untuk hidangan cucur udang itu.


Sebenarnya untuk menyediakan cucur udang tidaklah merupakan perkara yang susah. Hanya memerlukan sedikit masa dan bahan-bahannya yang mencukupi. Selalunya bob akan menyediakan cucur udang ini kira-kira setengah kilo tepung untuk sekali makan. Cucur ini sangat sesuai untuk dijadikan hidangan waktu petang. Bagi setengah kilo tepung, bob memerlukan segenggam udang hidup yang bersaiz sederhana. Udang-udang ini hendaklah dibersihkan dari janggut, kepala dan sedikit kulitnya terlebih dahulu. Setelah dibasuh kemudian ditoskan.

Bob menggunakan sebiji cili merah, dua labu bawang besar dan lima atau enam helai daun bawang yang telah dihiris halus. Bahan-bahan ini kemudiannya digaulkan kedalam besen bersama tepung tadi. Masukkan juga satu sudu garam dan tepung tadi dibancuh dengan air hingga menjadi "doh". Kemudian pecahkan sebiji telur kedalamnya dan gaulkan hingga rata.

Panaskan minyak didalam kuali yang diletakkan keatas dapur. Apabila cukup panas jemput-jemputlah udang-udang tadi seekor demi seekor dengan jari dan masukkanlah didalam kuali itu. Berdesir bunyinya dan gorenglah sehingga rata dan warnanya berubah menjadi warna kekuning-kuningan. Biasanya untuk sekali goreng kuali bob, hanya boleh muat tujuh hingga lapan biji cucur sahaja. Apabila sudah cukup masak, kelihatanlah betapa indahnya udang yang kemerah-merahan itu terperangkap dibahagian atas dan dalam cucur itu. Angkatlah cucur ini dan toskan minyaknya sebelum disusunkan cantik kedalam piring hidangan.

Pada kebiasaannya bob akan memakan cucur ini dengan cara mencicahkannya kedalam sos. Tidak kiralah cili sos atau sos istimewa dari Alor Gajah tadi atau pun sos yang bob buat sendiri. Bob akan menggunakan tiga biji cili merah yang ditumbuk lumat bersama lima ulas bawang putih dan sedikit garam bagi membuat sos ini. Bahan yang ditumbuk lumat ini dimasukkan kedalam mangkuk kecil untuk dibancuh bersama setengah cawan air panas, sedikit cuka dan dua sudu kecil gula.


                ....aduh...betapa nikmatnya jika disuapkan kemulut........

Ada satu lagi cara lain untuk menikmati cucur udang ini dan ianya lebih menyeronokan. Bob akan memotong-motong berbentuk empat segi kecil cucur udang ini dan dimasukan kedalam mangkuk bersama potongan timun. Timun ini dipotong-potong secara hirisan sate. Bob juga suka memasukkan potongan daun salad dan buah tomato. Kemudian bahan-bahan ini dimandikan pula dengan sosnya tadi.

Tambah nikmat jika bob berebut-rebut makan cara begini sebesen sekali bersama-sama dengan anak-anak bob sambil menonton tv dipetang minggu. Air kopi panas hitam yang pekat adalah menjadi teman terbaik bersama hidangan ini. Seketul demi seketul cucur udang ini ditelan kekerongkong kemudian diselangi pula dengan timun dan sayuran tadi hingga membuatkan kami kadangkala tidak sedar kekenyangan sampai kemalam.

Begitulah cara mudah untuk menyediakan hidangan petang yang penuh sensasi ini tanpa pergi ke Alor Gajah. Mudah-mudahan petang ini kita boleh kembali lebih awal dan mengambil sedikit masa untuk mencuba cucur udang ini bersama keluarga.

   1 comments

Name
November 22, 2006   07:59 PM PST
 
MEMANG BEST!!!!!

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments