Entry: Memburu Kaki Pelangi Feb 21, 2005



Ada orang yang berpendapat apabila mereka telah menjadi manusia yang tidak jahat, tidak zalim dan tidak mengamalkan kepalsuan, mereka ini akan diterima disisi Allah SWT nanti. Maksudnya, apabila kita ini seorang yang baik dan jujur sahaja kita sudah masuk keSyurga.

Diriwayatkan ketika Rasulullah saw hendak wafat, baginda berulangkali menyebut-nyebut tentang umatnya. Baginda begitu bimbang tentang umat dan nasib umatnya. Umatnya yang lebih ramai dari umat nabi-nabi  Allah SWT yang lain sehingga keakhir zaman tetapi tidak mengamalkan risalah yang dibawa oleh baginda. Ini diigambar seakan buih-buih yang terapung-apung dilautan.

Dalam definasi yang mudah, kita sebagai seorang yang menjadi penganut ajaran Rasulullah saw adalah seorang muslim. Orang yang tidak menerima risalah berkenaan adalah bukan muslim. Timbul pula soalan, siapakah yang gulungan yang menerima atau menganut ajaran Rasulullah saw ini? Jawapannya mudah sahaja. Orang yang beriman kepada Rukun Iman dan hidup dalam kehidupan mengamalkan Rukun Islam. Roh anutannya adalah berlandaskan kepada kemantapan keyakinan, pegangan atau kepercayaan yang kuat kepada perkara-perkara yang telah digariskan dalam Rukun Iman itu. Inilah yang dikatakan iman.  Manakala perilaku seseorang muslim itu pula ialah melakukan perkara-perkara yang digariskan dalam Rukun Islam.

Menolak kerasulan nabi Muhamad saw dan nabi-nabi Allah yang lain adalah perkara yang meruntuhkan iman seseorang itu yang mengaku sebagai seorang muslim. Ia adalah salah satu daripada  enam perkara dalam Rukun Iman dan ia juga berkait rapat dengan rukun-rukun iman yang lain. Apabila runtuh sahaja iman seseorang itu, bermakna ia tidaklah lagi ia menjadi seorang muslim.

Apa pula yang dimaksudkan beriman kepada kerasulan seseorang nabi itu? Sebagai contohnya, jika kita hanya berkeyakinan bahawa yang Nabi Muhamad saw itu hanyalah merupakan seorang pemimpin atau ketua kabilah yang boleh memimpin bangsanya yang juga terdapat orang yang tidak beriman kepada risalahnya, manakala dalam masa yang sama juga didalam hati kita mempertikaikan dia sebagai hamba pilihan yang membawa risalah kebenaran itu, tentu sahajalah kita tidak menerima kerasulannya. Kita hanya percaya yang baginda hanya berkebolehan sebagai seorang pemimpin yang baik sahaja. Hakikatnya adalah kita mestilah mempunyai kepercayaan yang tidak berbelah bagi kepada yang segala tindakan baginda setelah diangkat menjadi rasul adalah dengan wahyu dari Allah SWT. Ini semua adalah kerena kerasulannya. Sebagai contohnya kepada peristiwa penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah. Tindakan ini bukan atas kebijaksanaan baginda, tetapi ia telah diwahyukan. Kita juga tahu yang tindakan-tindakan ini telah direkodkan menjadi sunnah untuk panduan hidup kepada umat terkemudiannya.

Kitab suci Al Quraan diturunkan sebagai mukjizat yang paling agung untuk umatnya. Kitab itu telah terperlihara kesucian sehingga kini. Tidak seperti kitab-kitab lain yang telah diragui oleh umat manusia. Al Quraan menjadi rujukan yang mencakupi seluruh bidang kehidupan umat manusia untuk mencapai kejayaan didunia dan menuju keakhirat. Mempercayai dan mengamalkan setiap apa yang ada didalam kitab ini adalah juga salah satu Rukun Iman. Tetapi kini ada suara dikalangan kita yang sudah mula mempersoalkan tentang tuntutan yang terkandung didalamnya. Ada yang cuba mengambil separuh-separuh kandungannya sahaja demi untuk keuntungan diri sendiri. Ada juga pihak yang mencadangkan supaya dilakukan usaha untuk mentafsir semula kitab ini untuk disesuaikan dengan kehendak masakini. Hasilnya, ada pendapat yang mengatakan ajaran Islam dan kitab Allah SWT ini tidak lengkap dan sesuai lagi untuk kehidupan sejagat masa kini. Mereka berpendapat ini perlu diperbetulkan.

Mengapa timbul soalan dijiwa mengenai keraguan ini pada sesetengah kita mengenai perkara ini? Mengapa timbul keraguan tentang syurga dan neraka sebagaimana yang dijanjikan? Mengapa kita selalu mempermainkan tentang kematian, alam barzah dan hari ahkirat?. Mengapa kita sanggup memperjudikan hidup hari akhirat kita dengan memesongkan pegangan kita dan melakukan tingkah laku jelek semasa kita hidup ini?. Sanggupkah kita berselindung dari kebenaran dan tuntutan dengan cara berpura-pura menunjukkan kejahilan kita sebagai umat yang tidak pernah menerima panduan dari risalah itu?

Jawapannya ialah, perkara ini timbul kerena kepercayaan dan keimanan kita telah luntur. Ia dilunturkan oleh pihak luar yang mahu meruntuhkan kita. Proses pelunturan yang sangat bijak yang tidak kita sedari menyelinap masuk keruang-ruang penghidupan kita ini. Angin keraguan yang masuk melalui ruang yang lemah dengan lembut memujuk hati supaya keraguan ini menjadi tunjang persoalan yang membatasi kita menerima kebenaran yang terang dihadapan kita. Usaha sebegini telah meresap masuk dikalangan kita tidak kira dimana peringkat kita berada.

Setiap hari syaitan, iblis dan kuncu-kuncunya semakin kuat dan galak bertepuk tangan dengan kelemahan kita ini dan yang menjadi kemenangan bagi mereka. Siapa yang rugi? Kitalah, orang yang mengaku menjadi umat Nabi Muhamad saw, kononnya yang menerima risalahNya itu tetapi masih meragukannya.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments