Entry: Pulangkan Feb 23, 2005



Semalam bob singgah bertandang di tempat Wynn "Black Kembara Special Edtion". Dia terus mendendangkan sebaris senikata lagu "Pulangkan" nyanyian Mishar yang menjadi lagu tema dalam filem "Pontianak Sundal Malam" arahan Suhaimi Baba. Tegak bulu roma bob bila mendengar suara si Wynn yang sememangnya berbakat itu. Lagu ini juga telah membawa penyanyinya itu mendapat anugerah sebagai artis terbaik ketika itu.

Setiap kali apabila mendengar lagu ini bob akan teringat kepada sepokok bunga kemunting yang terdapat dihadapan rumat jiran bob. Apabila tiba musim pokok ini berbunga, ia akan mengeluarkan bunga yang putih bersaiz kecil dengan banyaknya. Terlalu banyak sehingga tidak kelihtan daunnya yang hijau. Apa yang paling menariknya ialah baunya yang terlalu harum sehingga boleh membuat kita terbau sejauh beratus meter dari pokok itu. Bau ini bertambah harum apabila tiba waktu malam. Semakin malam, semakin kuat dan harum baunya yang menyebabkan bebudak muda dikawasan bob yang suka keluar malam takut untuk pulang lewat malam.

Setiap kali mendengar lagu ini juga bob akan terkenang pada perkataan "pulangkan". Perkataan pulangkan ini sebenarnya mempunyai maksud lain bagi orang-orang dikampung bob. Ia merupakan satu adat tradisi yang banyak terselit seribu pengjaran dalam kehidupan seharian masyarakat setempat bob dikampung dahulu.

Apabila sahaja tersebut tentang adat lama ini, bob terus teringat pada satu peristiwa yang bob tidak dapat lupakan sehingga kehari ini. Dari peristiwa inilah mungkin kawan-kawan akan faham apakah yang dimaksudkan adat "pulangkan" ini. Ianya berlaku pada sebuah keluarga jiran bob yang mana ketika itu bob masih disekolah rendah lagi. Kisah ini berkisar pada seorang budak lelaki anak jiran bob ini sebaya dengan bob yang juga merupakan sahabat baik bob.

Pada satu hari pada sebelah petang musim cuti sekolah sahabat bob ini telah ditugaskan oleh ibunya untuk menjaga adik perempuannya. Mereka ini sebenarnya hanya dua beradik sahaja dan adiknya itu masih kecil berumur kira-kira kurang dari satu tahun. Ibunya pada masa kejadian itu sedang bertandang dan bersembang dengan mak bob. Ini merupakan perkara biasa dalam kehidupan ibu-ibu dikampung setelah semua kerja rumah dibereskan. Sebelum itu ibu beliau telah pun mengoreng jemput-jemput pisang untuk makan petang.

Semasa ditinggalkan ibunya, siadik ini telah ditidurkan didalam buaian kain yang digantung ditengah-tengah ruang rumah. Biasanya sahabat bob ini yang ditugaskan menghayun buai adiknya ini akan menyambil untuk mentelaah buku sekolahnya. Sebelum dia berbuat begitu, diceritakan pada bob, bahawa  beliau telah pergi kedapur mengambil kira-kira sepuluh ketul jemput-jemput pisang tadi yang masih panas utnuk dimakan semasa ia menjaga adiknya itu. Jemput-jemput ini diletak didalam piring dan dibawa sekali berbaring disebelah buaian adiknya itu. Oleh kerena jemput-jemput itu masih terlalu panas beliau tidak terus memakannya tetapi hanya mengambil buku sekolah dan membaca sambil berbaring dengan sebelah tangannya lagi menghayun buaian. Entah macam mana beliau telah terlelap dan hanya terjaga apabila terdengar suara adiknya sibuk mengunyah sesuatu dengan lahapnya.

Alangkah terkejutnya beliau apabila didapati piring dan jemput-jemput pisangnya telah bertaburan dilantai. Apabila dia memungut semula jemput-jemput itu sambil mengira jumlahnya didapati kuih itu tidak luak, masih sepuluh ketul lagi. Bertambah terperanjat besar lagi pada beliau apabila timbul tanda tanya didalam kepalanya, apakah yang sedang diikunyah oleh adiknya itu?. Dilihat ada beberapa ketul benda lain yang seakan sama rupa seperti jemput-jemput pisang itu juga turut bertaburan dari dalam buaian dan diatas lantai. Sudah tentu adiknya itu menyangka benda-benda itu adalah jemput pisang dan dipulunnya sekali. Apa lagi dia terus berlari kerumah bob memanggil ibunya yang kemudian bergegas pulang mengeluarkan lebihan benda itu yang masih dikunyah dalam mulut anak kecilnya itu. Setelah dibersihkan, anaknya itu pun diberi susu dan ditidurkan semula, manakala sahabat bob tadi termanggu ditangga dalam kebinggungan dan penuh penyesalan.

Pada keesukan harinya pada sebelah petang, sahabat bob dengan muka sedih telah mengajak bob untuk menemankan beliau untu menjalankan upacara "pulangkan". Kami telah diarahkan untuk pergi membawa adik kawan bob itu keseberapa banyak rumah yang boleh diseluruh kampung itu. Kami perlu menyerahkan adik kami itu kepada tiap-tiap suri rumah berkenaan sambil menyerahkan semangkuk bubur pulut hitam dan putih sebagai penebus untuk membelinya kembali.

Apabila sahaja kami sampai dirumah-rumah itu, selalunya kami akan ditanya tentang apa yang telah berlaku. Kawan bob itu akan menceritakan semuanya dan kami pun dihujani dengan nasihat, pesanan dan peringatan. Ianya terus menjadi ingatan pada diri bob sehingga kini.

Begitulah adat orang dulu-dulu yang kelihatan pelik tetapi mengandungi penuh maksud dan pengajaran yang tersirat. Ia mengajar kita supaya memelihara anak dalam keadaan yang sentiasa berwaspada. Apa-apa sahaja boleh berlaku jika kita berkeadaan alpa. Apabila kejadian yang buruk ini telah pun berlaku, mestilah kita bertanggungjawab untuk memohon maaf kepada seluruh masyarakat. Ini adalah kerena kami pada masa itu mendukung kepercayaan yang usaha mendidik anak-anak kecil itu adalah tanggung jawab sekampung. Alangkah cantiknya adat ini dan ianya juga berlandaskan kepada falasafah yang selari dengan kehendak ugama kita. Dimana segala kemungkaran yang berlaku dikalangan masyarakat adalah tanggungjawab para jemaah untuk membanterasnya.

Bob masih teringat lagi bila adik kecil ini telah diterima untuk masuk kesekolah berasrama penuh beberapa tahun kemudian, beliau telah diiringi oleh orang kampung penuh sebuah bas. Belanja sekolah untuk satu tahun diasrama itu adalah ditanggung dari derma ikhlas orang-orang kampung berkenaan. Kini beliau telah pun menjawat jawatan pegawai tinggi kerajaan yang bertugas disebuah kedutaan diluar negeri dan ia menjadi kebanggaan kami.

   2 comments

BOB
February 24, 2005   04:08 PM PST
 
wynn yang menyanyi kan?...bob terdengar....hehe.
tentang misha tu, nanti lah bob betulkan.
Wynn
February 24, 2005   02:51 PM PST
 
hehe.. Bob tanya sket aje.. Wynn dah TER-nyanyi..

Bukan Mishar lah Bob.. tapi Misha Omar

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments