Entry: Kerena Tukangnya Mar 2, 2005




Membina rumah kediaman sendiri adalah menjadi satu perkara yang biasa dilakukan oleh orang-orang kampung dahulu. Pada zaman bob kecil-kecil dahulu, kerja-kerja membina rumah dari bahan kayu dan papan ini dilakukan oleh ketua rumah dengan bantuan bebrapa orang tukang rumah atau saudara mara lelaki yang terdapat dikampung itu. Allahyarham datuk bob adalah seorang tukang, bukan sahaja tukang rumah tetapi tukang membuat alat kelengkapan lain seperti bot, sampan, jambatan dan lain-lain. Tugas ini adalah selain dari tugas utamanya sebagai seorang tuk mudim.

Apabila seorang pemuda kampung telah berkahwin dan membuat keputusan untuk hidup berasingan dari keluarga ibu bapanya, dia akan mula mengumpul sumber dan berbaik-baik dengan orang-rang yang mempunyai kemahiran atau tukang rumah. Sesudah sumber kewangannya mencukupi beliau akan mula berbincang dengan tukang-tukang ini bersama bapa dan kawan-kawannya untuk membuat perancangan kerja. Ini termasuklah dalam hal memilih tapak tanah mana yang sesuai, saiz rumah yang dikehendakki, bilakah masa ia hendak didirikan dan rekabentuknya. Selalunya untuk memutuskan hal tentang tapak rumah adalah ditentukan oleh pihak bapa atau bapa mertuanya. Manakala masa yang baik untuk memulakan kerja adalah dipilih mengikut persetujuan ahli keluarga yang lain. Tentang rekabentuk rumah adalah hasil idea tukang rumah itu sendiri berdasarkan kepada saiz yang ditentukan oleh tuan empunya rumah.

Apabila persetujuan telah didapati, tuan rumah ini bersama-sama tukang rumah tadi dan beberapa ahli keluarga lelakinya akan pergi kekilang papan yang berdekatan. Sambil menanti tempahan papan, kayu dan atap yang ditempah sampai, kumpulan ini akan memulakan kerja-kerja penyediaan tapak rumah. Pokok-pokok akan ditebang dan tanah akan diratakan.Tukang rumah tadi dan ahli keluarga yang tua akan menentukan hala kemana rumah itu perlu didirikan dengan cara memacakkan pancang-pancang kayu kecil ditanah yang diratakan tadi. Satu tempat untuk menegakkan tiang seri rumah itu akan dipilih. Apabila kayu tiang sampai, satu upacara kenduri kecil makan pulut kuning dimana kemudiannya dijalankan pula upacara menaikkan tiang seri ini diiringi dengan doa dan menepung tawar. Selalunya tiang seri ini terletak dibahagian penting dan tengah rumah berkenaan

Kesemua rumah ini mempunyai tiang dan berlantai setinggi lebih tinggi dari kepala orang. Bagi rumah yang sederhana besarnya, rekabentuknya mempunyai lebih dari dua buah bilik, sebuah dapur sebuah ruang tengah, ruang depan atau anjung, berandah, tangga depan, tangga tengah dan tangga dapur. Dibahagian anjung rumah selalunya dibuatkan banyak tingkap yang mempunyai dua set daun tingkap yang berasingan. Satu set bahagian bawah manakala satu lagi bahagian atas. Jadi apabila tingkap-tingkap ini dibuka nanti akan memberi cahaya yang lebih hingga kebahagian tengah rumah itu. Kemahiran tukang sebagai ketua kerja ini akan terselah dengan ukiran-ukiran pada dijeriji kayu ditingkap, diberandah dan ditangga. Ukiran-ukiran papan dicucur atap dan dirabung rumah juga akan menambah cantik lagi rumah bekenaan. Zing selalu digunakan sebagai atap yang menggantikan atap nipah dan rembia spada zaman ebelumnya.

Apabila rumah ini telah siap, selalunya ia akan disapu dengan cat minyak hitam bagi mengelakkan dari diancam anai-anai dan bubuk. Selalunya tangga simen akan dibina pada bahagian pangkal tangga dan simen juga akan dijadikan sebagai alas tiang-tiang rumah ini. Satu kenduri doa selamat juga akan diadakan setelah rumah ini siap yang memakan masa kira-kira empat atau lima bulan kemudiannya. Kerja ini memakan masa yang lebih lama untuk disiapkan kerena tukang tadi bukanlah kerja sepenuh masanya kerena beliau juga mempunyai kebun getah yang perlu ditoreh pada sebelah paginya.

Bagi sesetengah penduduk kampung yang kurang berada mereka membuat rumah dari bahan-bahan yang diperolehi sendiri dari hutan. Kayu untuk tiang, lantai, dinding dan atapnya dicari dan ditebang dari dalam hutan yang berdekatan. Kayu tiang biasanya akan dipilih dari jenis kayu yang keras dan tahan lama. Dinding tetas akan dibuat dari anyaman buluh dan atapnya diperbuat dari daun bertam. Manakala lantainya pula dari belah-belahan batang pinang hutan. Selalunya rumah ini mempunyai satu bilik tidur, satu dapur dan satu ruang tengah sebagai anjung dan tempat makan. Kos membina rumah seperti ini tidak memerlukan belanja yang banyak. Hanya melibatkan perbelanjaan membeli rokok nipah dan air kopi sahaja sebagai upah orang yang datang membantu.

Pernah pada satu ketika dulu bob sering juga membantu mendirikan beberapa buah rumah jenis ini. Pada masa itu bob memang mahir membuat dinding buluh tetas dan menganyam atap daun bertam. Bob juga pernah membantu orang mengambil upah membuat atap rembia. Pada ketika ini bob sering bertanya, masih adakah lagi kerja-kerja sebegini dilakukan oleh orang-orang dikampung kita?

Apabila diimbau kembali, terfikir oleh bob betapa indahnya nilai-nilai kerjasama, persepakatan dan kemahiran untuk berkendiri yang diamalkan oleh orang-orang kita masa dulu. Kemanakah perginya kemahiran tukang-tukang rumah yang seperti bob ceritakan tadi masakini? Mungkin ia telah dibawa mereka bersama meninggalkan kita dan anak cucu cicitnya kemudian. Sayang sekali nilai-nilai yang baik ini telah lenyap ditelan oleh ombak zaman begitu sahaja.

Oleh itu jika kawan-kawan berkesempatan untuk pulang kekampung dan terpandang kepada rumah-rumah papan yang telah usang dipanjat ulan menanti roboh, cuba kita kenangkan tangan-tangan gagah yang mendirikannya dulu. Bayangkan jari-jarinya yang berparut, tapak-tapak tangan yang keras belulang dan urat-temurat yang timbul dilengan-lengan yang berminyak dimandikan peluh berkerja dengan gigih untuk membunanya. Mulut mereka yang bising dengan gurauan dan gelak ketawa sekali sekala diselangi dengan kepulan asap rokok tembakau dan nipah menampakkan keceriaan dan kesungguhan mereka...... Dimana mereka ini jarang meminta upah.  Al-Fatihah buat semua mereka......

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments