Entry: Mempelam Telur Mar 8, 2005





Pada hari minggu lepas bob telah berpeluang singgah dipasar untuk menemani isteri bob membeli sayur-sayuran dan daging. Sambil itu bob juga sempat mencapai sebiji mempelam telur yang sederhana besarnya. Ini adalah dengan niat untuk bob membuat sendiri kerabu mempelam yang sangat bob minati.

Bila bercakap tentang mempelam telur atau disetengah tempat dipanggil mempelam padi ianya banyak meninggalkan kenangan manis pada diri bob. Dikampung bob dulu banyak terdapat pokok mempelam jenis ini tumbuh dimerata kawasan ditepi-tepi jalan dan dipingir-pingir kebun. Walaubagaimana pun ianya jarang berbuah dan bob tidak dapat memastikan kenapa ini berlaku. Tetapi adalah merupakan pekara yang amat mengembirakan jika ada pokok-pokok ini berbuah lebat. Selalunya pokok ini juga dihuni oleh semut kerengga. Oleh kerena ianya tumbuh ditepi-tepi jalan dan dicelah-celah antara pokok getah dan pokok buah yang lain, ianya tumbuh tinggi jika dibandingkan yang hidup rendang dtepi sawah.

Terbayang semula kisah dikampung bob dahulu ada seorang perempuan yang mempunyai perangai suka marah-marah. Mungkin kerena beliau mengalami sedikit sakit mental atau dalam bahasa kami "tiga suku". Beliau akan terpekik terlolong kalau ada bebudak yang agak bising datang bermain atau lalu didepan rumahnya. Keadaan marahnya kadangkala terlampau sampai menyelak-nyelak kain. Manakala pokok mempelam telur ditepi rumahnya behampiran dengan jalan selalu juga berbuah lebat dan terdapat banyak sarang kerengga. Maklum sahajalah, oleh kerena rumahnya ditepi jalan, jadi kebisingan kami bebudak yang sedang naik nakal pada masa itu tidak dapat dielakkan. Manakala bebudak yang ada kalanya sengaja berbuat bising bila lalu dirumahnya selalulah dihambat dengan kayu api. Mereka kemudian terpaksa berlari lintang pukang menyelamatkan diri sambil disambut dengan ketawa berdekah-dekah.

Hendak dijadikan cerita pada satu hari selepas waktu makan tengahari, sekumpulan bebudak yang sebaya dengan bob telah lalu dihadapan rumah itu. Mereka singgah sambil mengutip beberapa biji buah mempelam telur yang sudah masak jatuh diatas jalan. Tidak disedari oleh mereka dengan tiba-tiba sahaja perempuan ini telah datang menyerang dari arah atas rumahnya dan berkejar menuruni tangga. Ini membuatkan bebudak itu bertempiaran lari.

Dari jauh kelihatan dia dibawah pokok mempelam itu terus terpekik-pekik memaki hamun sedang tangannya meyelak-nyelak kain kearah bebudak. Tangannya yang sebelah lagi memegang kayu panjang sambil menghayun-hayunkannya. Dalam pada itu seorang kawan bob yang memang handal menggunakan lastik yang berada didalam semak tidak jauh dari tempat itu telah melastik sebuah sarang kerengga didahan pokok mempelam itu yang betul tepat berada diatas kepalanya. Apa lagi apabila sarang kerengga itu jatuh tepat keatas badannya dan serangga itu terus masuk menyelinap masuk kedalam pakaian dan kainnya. Ini membuatkan perempuan itu terus melompat-lompat dan membuka baju dan kainnya untuk membuang kerengga yang sememangnya sangat pedih apabila terkena gigitannya. Terutama ditempat-tempat yang agak sensitif. Masing-masing kami pun terganggalah menonton tarian yang tidak pernah kami tonton sebelum ini. Ianya menjadi cerita kami sekampung yang selalu akan disambut dengan gelak ketawa. Sejak dari peristiwa hari itu, kami tidak lagi terdengar perempuan ini terpekik-pekik memarahi bebudak lagi seperti dulu.

Kita lupakan dulu cerita ini mari kita bercerita tentang bagaimana menyediakan kerabu mempelam telur berkenaan. Sebiji mempelam ini dihiris-hiris halus seperti hirisan rojak dan dimasukan kedalam mangkuk. Masukkan juga tiga empat biji bawang merah yang juga telah dihiris halus bersama tujuh atau lapan biji cili padi.Goreng kering sejemput udang kering dan tumbuk hingga lumat. Kemudian gorengkan segenggam ikan bilis dan gaulkanlah kedua-duanya dengan bahan-bahan yang ada didalam mangkuk tadi. Perahkan dua biji limau nipis keatasnya dan masukkan dua sudu gula bersama garam secukup rasa. Gaulkan sehingga rata bahan-bahan ini dan kini kerabu mempelam kita telah pun sedia untuk dimakan.

Mempelam telur atau mempelam padi ini sangat subur dan rendang tumbuhnya ditepi-tepi atau diatas batas sawah. Ia merupakan pemandangan yang mesti ada berselang seli dengan pokok pinang dan kelapa jika tumbuh disekeliling rumah ditengah bendang. Jika tiba musim ianya berbuah, bob juga selalu mengambil peluang untuk bertandang kerumah seorang kawan bob yang mendiami kawasan seperti ini. Pokok-pokoknya yang rendah dan rendang ini memudahkan kami memetik buahnya hingga berguni-guni banyaknya. Memang seronok, sambil kami memetik buahnya sambil kami makan.

Selain dari kami makan yang telah masak, buah yang muda pula cicahkannya dengan kicap bercili. Manakala selebihnyapula kami akan jadikannya jeruk. Memang sedap jeruk mempelam yang dibuat sendiri. Selalunya jeruk ini habis sebelum ianya betul-betul menjadi jeruk.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments