|
Kebakaran sering terjadi dan makin marak diwaktu sebelah selepas zohor atau selepas makan tengahari. Waktu musim kering begini, angin pun sering betiup menyebabkan kami suka terlelap selepas makan tengahari diberanda rumah. Pada waktu-waktu beginilah kami sering dikejutkan dengan sorakkan yang meminta tolong kami memadamkan kebakaran kebun disekitar kampung kami. Selalunya bob dan kawan-kawan bob akan cepat-cepat memakai kasut sukan kami dan terus mencapai parang didapur kemudian turut menyertai orang-orang kampung yang lain menuju kearah tempat yang mengalami kebakaran itu. Apabila sampai sahaja ditempat kebakaran, kami akan dibahagi-bahagikan kepada beberapa pasukan dan diarah memadam mengikut arah-arah tertentu. Selalunya mengikut arah anak air atau lembah berpaya dan bukan yang bertentangan dengan tiupan angin. Kami masing-masing akan segera menebang seorang satu pokok renek yang berdaun lebat sebagai alat pemadam api kami. Bob selalu memilih pokok senduduk. Ini adalah kerena bau pokok ini sedap dicium apabila terkena api. Kami akan cepat-cepat cuba memadamkan api yang kecil-kecil dan muda terlebih dahulu dengan cara memukul-mukulnya dengan pokok renek kami tadi. Api yang sedang marak dan tinggi kami biarkan dahulu sahingga ia turun reda dan mudah untuk dimatikan. Sambil memadam api kami akan menjerit-jerit sebagai isyarat kepada kawan-kawan lain. Jika api kuat kami menjerit meminta pertolongan dari kumpulan lain. Jeritan yang berunsur cemas dan seronok ini menjadi kenangan kami sehingga masa kini. Kadangkala oleh kerena api ini marak terlalu besar kawasannya sehingga melibatkan berpuluh-puluh buah kebun ianya tidak dapat dipadamkan dalam masa sehari dan terpaksa disambung keesukannya. Kampung kami sudah tentu diselubungi asap tebal hingga kemalam. Bob masih ingat rupa wajah kawan-kawan bob masing-masing setelah berjaya memadamkan api. Muka yang dipenuhi coretan arang hitam tetapi kelihatan puas sebagai wira-wira yang sudah menabur bakti kepada kampungnya. Kami kemudian selalu tertawa bersama. Sepanjang pengetahuan bob, tidak pernah terjadi perkara yang buruk menimpa penduduk kampung bob semasa usaha memadam kebakaran-kebakaran ini. Cuma badan kami sahaja yang telah tercalar-balar luka terkena duri-duri. Tetapi akibat dari kebakaran ini menyebabkan penduduk kampung bob tidak dapat pergi menoreh jika pokok getahnya teruk dan banyak yang terbakar. Kawasan kebun akan kelihatan lapang dengan bahagian bawahnya berwarna hitam. Batang-batang dan ranting-ranting pokok juga terbakar berwarna hitam. Tunggul dan gambut akan mengeluarkan asap hingga beberapa hari. Rasa kasihan selalu menyelinap apabila bob mengenangkan nasib mereka yang bergantung sumber rezeki pada kebun getah apabila bencana seperti ini datang melanda sekali sekala. Begitulah semangat kerjasama kami dikampung pada masa dulu-dulu. Saling bantu-membantu tanpa antara kami dengan ikhlas tanpa mengharapkan upah. Apa yang kami dapat hanyalah rasa puas dan masing-masing gembira kerena berjaya menyelamatkan kampung dan kebun dari habis semua terbakar. Terbakar bersama, panas bersama dan susah bersama. Allah SWT membalas dengan semangat muafakat bersama kami ini kemudiannya. Apabila tiba musim hujan, kebun dan kampung kami ini selalunya akan menghijau kembali. Pokok-pokok baru akan tumbuh subur, berbunga dan berbuah.Kami nikmati bersama. |
| Leave a Comment: |