Entry: Hujan yang turun..... Mar 16, 2005




               ...seronoknya!!!!.......

Satu lagi perkara yang bob dan kawan-kawan bob minati semasa kami bebudak dulu ialah bermain hujan dimusim hujan. Memang seronok apabila hujan hujan turun dikampung kami, tambah seronok ianya turun ketika kami sedang bermain bola dipadang sekolah pada petang hari. Jika hujan yang tiada diringi guruh dan petir kami akan terus bermain sehingga padang bola berkenaan dibanjiri air.

Kampung kami terletak disatu kawasan lembah kaki bukit. Jadi apabila hujan turun lebat, dalam masa yang sekejap sahaja laman-laman rumah kami dan padang bola disekolah kami akan digenangi air. Diceritakan oleh orang-orang tua kami, sebenarnya padang bola itu sendiri adalah pusat paya yang besar sebelum dibuat pengairan dan dijadikan sekolah. Oleh itu tidak hairanlah padang sekolah kami itu adalah merupakan sebuah padang yang sentiasa hijau sepanjang tahun dengan rumput-rumputnya yang subur dan lembut untuk kami berguling.

Apabila hari hujan pula ia akan berubah menjadi kolam yang sangat menyeronokkan sebagai gelanggang kami bermain-main. Bob masih terbayang bagaimana seronoknya kami menendang bola diatas permukaaan air yang menyebabkan kita beramai-ramai menjadi tidak tentu arah dan bersorak keriangan. Bola yang ditendang tidak selalunya sampai kepada tempat yang ditujukan. Air akan terpercik kuat dan kejar mengejar akan berkesudahan dengan jatuh teriarap diatas air. Ditambah pula kseronokan apabila tahi lembu yang sememang terdapat banyak dipadang itu akan terbaur dengan air hujan tadi menjadi bahan pekikan dan ketawa kami beramai-ramai sehinggalah hujan reda.

Pada waktu hujan turun juga, jika tidak bermain bola dipadang kami akan bermain hujan dihalaman rumah kami masing-masing. Bertambah seronok jika kami dapat main hujan beramai-ramai. Permainan galah panjang dan polis sentri adalah permainan kejar mengejar yang sangat mengasyikkan. Air dihalaman akan terpercik-percik apabila kami berlari-lari kejar mengejar kesana sini. Kami hanya akan berhenti apabila hujan reda.

Pada waktu-waktu begini, saliran air seperti parit dan longkang akan sentiasa dipenuhi air. Air parit ini akam melimpah membanjiri laman. Ikan-ikan yang sememangnya terdapat membiak dalam parit ini akan ikut bermain dilaman rumah kami. Apalagi, kami pun sering juga menangkap ikan yang sedang riang bermain-main dengan banyaknya. Dalam keadaan hujan yang lebat, tangguk dan raga menjadi alat penting untuk menangkap ikan-ikan ini. Ikan-ikan ini akan kami simpan dalam balang atau botol kaca sebelum kami lepaskan semula kedalam parit asal mereka.

Parit-parit ini jugalah tempat kami bermain kapal-kapal yang dibuat dari batang rembia. Kapal-kapal yang berbagai bentuk dibuat dengan menggunakan pisau akan terapung-apung berlayar mengikut arus didalam parit-parit ini. Ianya akan bertambah laju apabila air mengalir laju didalam parit tersebut semasa selepas hujan lebat.

Apa yang bob hendak sampaikan disini bukanlah tentang keseronokan main hujan itu sahaja, tetapi lebih kepada cara kami semasa kecil-kecil dulu menghayati sesuatu keadaan semulajadi alam. Jika hari hujan, kami main bola dalam hujan, kami menjalankan juga aktiviti kami yang lain dalam hujan. Tidak pula kami mengeluh kerena hujan atau pun sebaliknya kerena kemarau yang menyebabkan akctiviti-aktiviti kami terbantut. Jika musim kemarau dan berangin kami akan main layang-layang atau pergi mengagau ikan dilombong atau ditasik yang tinggal kering berlopak.

Bob dan kawan-kawan bob sekampung pada masa itu tetap bersyukur dan bergembira dengan apa sahaja yang anugerahkan oleh Allah SWT. Oleh sebab itu generasi kami adalah generasi yang cekal dan kuat jatidirinya. Sekurang-kurangnya tidak mudah kena selsema apabila terkena hujan ketika itu. Tetapi sekarang ini kita pantang terkena hujan. Apabila dirimbas sahaja air hujan, kita pun layaklah dianugerahkan cuti sakit oleh doktor kekadang sampai dua tiga hari.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments