Entry: Sang Kancil dengan Gajah Mar 24, 2005



                    
....Gajah yang cepat berang.....                                        ...Sang Kancil.......

Mengukur kehidupan dengan dengan kayu sukatan mengikut runtunan nafsu adalah satu dari sebab mengapa kita manusia selalu membawa keburukan pada kehidupan dimuka bumi ini. Nafsu yang tidak terkawal adalah merupakan satu ruang yang lemah terbuka untuk kita terpujuk dengan bisikan syaitan. Kawalan inilah yang digariskan dalam Al Quraan yang telah diturunkan kepada umat manusia sejak seribu empat ratus lebih tahun dahulu. Dari panduan inilah dapat menyisihkan kita dari menilai sesuatu tindakan dan keputusan itu dari sudut yang memang mudah dipengaruhi oleh mata dan hati syaitan.

Amalan sebeginilah yang membezakan antara seorang mukmin dengan yang lain. Tetapi apa yang sering berlaku sekarang ialah terlalu banyak tindakan dan keputusan yang kita buat adalah tidak berpandukan kepada Al Quraan dan sunnah. Sudah tentulah hasilnya terselit dengan perkara yang tidak tepat dan jika kita sebagai pemimpin pula kita akan membuat keputusan yang kurang matang. Akibatnya kita akan membuat kerja yang berulang-ulang dan merugikan pengikut-pengikut kita sendiri. Apatah lagi jika kita lakukan tindakan dan keputusan dalam keadaan yang tergopoh-gapah dan terdesak. Sifat tergopoh gapah ini sememangnya menjadi sifat manusia sejak azali lagi. Manakala desakan pula datangnya dari nafsu yang ingin melawan masa. Akhirnya kita akan terperangkap dalam akibat tindakan tidak tepat kita sendiri.

Masih ingatkah lagi kita pada cerita usaha sang kancil untuk melepaskan dirinya setelah terjatuh kedalam perigi buruk? Beginilah ceritanya sebagaimana yang disampaikan oleh ibu saudara bob semasa mahu menidurkan bob dan adik-adik bob ketika kami kecil-kecil dulu. Seekor sang kacil sedang merayau-rayau sambil mencari makan. Kejadian ini kononnya berlaku dizaman Raja Sulaiman yang mana semua binatang tahu berkata-kata diantara satu sama lain.

Dijadikan cerita, entah bagaimana dengan tidak disedarinya sang kacil itu telah tergelincir dan jatuh kedalam sebuah perigi buruk yang besar dan agak dalam juga. Apakan daya telah dicuba berpuluh-puluh kali untuk melompat keluar tetapi tidak juga boleh. Terduduk dan termenunglahlah sang kancil itu dalam keletihan mengenangkan nasib dirinya yang akan mati kelaparan sendirian dalam beberapa hari lagi.

Tidak berapa lama selepas itu, lalulah seekor gajah berhampiran dengan perigi buruk itu. Apabia sahaja terpandang kepada sang kancil itu sedang termenung didalam perigi itu, maka bertanyalah sigajah itu mengapa sang kacil itu boleh berada disitu. Terlintas satu jalan didalam fikirannya bagaimana untuk melepaskan diri dari dalam perigi itu. Cepat-cepat dia menjawab meminta gajah itu memandang arah awan dilangit. Sambil berkata, lihatlah langit itu sedang berarak yang menandakan ia akan runtuh bila-bila masa sahaja. Sang kancil menerangkan tujuannya ia berada didalam perigi itu adalah tempat berlindung yang selamat apabila langit itu runtuh.

Terkejut besarlah sang gajah dan meminta kebenaran dari kancil untuk sama-sama berlindung didalam perigi itu. Setelah diberi kebenaran maka sang gajah pun melompat masuk kedalamnya bersama sang kacil. Sambil itu di terus melaung kepada binatang-binatang lain disekitarnya supaya datang berlindung bersama. Maka banyaklah binatang-binatang lain pun ikut terjun kedalam perigi itu dan membuatkan perigi itu menjadi penuh sesak dan kurang selesa.

Apabila keadaan kurang selesa dan berhimpit-himpit telah membuatkan penghuni perigi itu cepat marah. Dalam keadaan menanti saat-saat langit akan runtuh itu masing-masing dihimpit keluh kesah sang kancil yang duduk tersepit berhampiran sang gajah sering menyepak-nyepakkan kakinya pada kemaluan binatang yang berbadan besar itu. Ini membuatkan beliau marah dan memberi amaran akan melemparkanya keluar perigi. Tetapi sang kancil terus juga berbuat demikian dan akhir gajah menjadi terlalu berang dan melemparkan sang kancil dengan belalainya keluar dari perigi buruk itu. Maka terlepaslah sang kancil dari terperangkap didalam perigi itu lalu pergi mencari makan ditempat lain.

Apa yang dapat kita pelajari dari cerita ini ialah dalam keadaan yang tidak menentu, kita tidak dapat menggunakan fikiran kita dengan baik dan tidak merujuk kepada panduan yang betul ini akan menyebabkan kita membuat tindakan bodoh. Dalam keadaan tertekan dan resah juga kita akan menjadi cepat marah. Semasa kita dirasuk kemarahan kita juga senang mengikut bisikan nafsu. Apabila nafsu sudah menguasai pemikiran dan rasional ianya akan membuatkan kita bertindak dengan tindakan yang tidak wajar. Tindakan yang dilihat seperti orang hilang akal atau orang tidak menggunakan akal. Ini akan mendatangkan akibat yang buruk.

Keputusan-keputusan yang dibuat dalam keadaan ini juga dipengaruhi emosional kerena rasionalnya telah ditolak jauh ketepi. Oleh sebab itu kita mesti selalu merujuk kepada panduan hidup supaya apa sahaja tindakan yang kita lakukan adalah dijalan yang betul dan dijamin tidak mendatangkan akibat buruk pada orang lain.

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments