Entry: Pucuk Rebung Tengah Air, Cucuk Hidung Mata Berair Mar 25, 2005



Pada kali ini bob mengambil kesempatan untuk merujuk kembali tujuan blog ini diujudkan. Blog Di Celah-Celah Renungan ku ini adalah berpaksikan kepada kata-kata "...dari akar ku, berpencak rumpun, menjadi rimbun, tempat berteduh, yang mencengkam tebing, supaya tak rebak, dihanyut arus.....". Dari kata-kata ini sahaja sudah cukup menerang maksudnya dengan sendiri.

Sebenarnya kata-kata diatas adalah satu gambaran serumpun pokok buluh aur yang tumbuh subur ditebing sungai Perak berhampiran dengan sebuah rumah buruk bersetentangan dengan Kampung Pasir Salak. Tempat bersejarah dimana Dato Maharajalela dan Dato Seri Agar DiRaja (Dato Sagor) meniupkan api kepahlawanan orang Melayu menentang penjajah. Rumah buruk itu adalah rumah Allahyarham datuk bob dimana sebahagian dari tiangnya berdiri dan tercacak didasar sungai itu. Disinilah tempat bob dilahirkan dan darah pertama bob jatuh kesungai, dibawah arus terus kelaut. Dibawah rumpun buluh inilah bob mula mengenal kehidupan yang seperti sungai dimana tebingnya sentiasa berubah-rubah dari masa kesemasa mengikut rentak aliran arusnya yang adakalanya dalam dan adakalanya cetek.

Tulisan bob diblog ini adalah berdasarkan perkara-perkara dan kejadian dari pengalaman hidup bob dari dulu sampai kini. Cerita-cerita ini agar dapat menjadi panduan kepada generasi baru adik-adik dan anak-anak bob masakini yang mungkin cerita kehidupannya amat berbeza sekali. Pada bob, kenangan-kenangan ini perlu diceritakan untuk pengetahuan pada mereka ini sebagai sumbangan bob supaya generasi ini dapat melihat kebelakang sebelum memilih corak kehidupan yang menjamin kehidupan didunia dan diakhirat.

Oleh yang demikian ada juga kalanya bob mengulas tentang isu-isu semasa, perkembangan teknologi dalam bidang yang bob tahu dan yang bob minat, cerita tentang makanan dan masakan yang merupakan asas kehidupan seharian kita dan juga hal kekeluargaan. Perkara-perkara seperti adalah penting untuk diperkatakan selalu kerena kebimbangan yang sering melanda kita seharian mengenainya yang boleh melemahkan jatidiri kita.

Selain dari itu, ia hanyalah sebagai bahan bacaan sebagai hiburan bagi menceriakan minda pembaca dan juga moga dapat mencetuskan idea yang baik untuk tujuan-tujuan lain. Sememangnya dalam tulisan-tulisan bob ada mengandungi ransangan supaya kita berfikiran positif untuk melakukan perkara berkenaan secara kendiri. Moga darinya dapat membawa pengalaman baru bagi pembaca jika mencubanya sendiri.

Bob sememangnya sedar bahawa blog ini mempunyai banyak kekurangan. Tetapi dari sokongan ahli-ahli blogger yang lain, pembaca-pembaca, sahabat-sahabat dan kawan-kawan karib bob, ianya akan cuba bob perbaiki dari hari kehari.

Disini bob dengan berbesar hati ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Alifah Luthfia atau Ifa Alyana (ATMASARI) yang secara langsung bertanggungjawab menjadikan impian bob berblog ini menjadi kenyataan. Beliau lah orang yang sentiasa berada dibelakang bagi menjayakan blog ini. Bob berjanji pada beliau yang bob akan tidak mensia-siakan usaha beliau itu dengan sentiasa memenuhi blog ini dengan tulisan-tulisan yang memberi munafaat.

Harapan bob kepada pembaca agar berasa selesa dengan tulisan-tulisan bob dan gunakanlah blog ini sebagai sudut untuk mencari sumber ilham. Bob akan berasa bangga jika pembaca-pembaca mendapat faedah dari membacanya sekurang-kurangnya menjadi bahan bacaan santai. Sebagai panduan, jika pembaca ingin merujuk kembali kepada tulisan-tulisan arkib yang telah lalu, bolehlah dilakukan dengan mengklik pada kalendar yang disediakan. Terima kasih!

   2 comments

BOB
March 31, 2005   11:54 AM PST
 
ifa, kalau hari-hari nak sarapan pagi sama pun boleh....ekekeke
ifaalyana
March 28, 2005   12:59 PM PST
 
bob, terharu ifa membaca posting bob ni. terima kasih yang sebesarnya sepatutnya ifa kirimkan buat bob sendiri kerana sudi berkongsi pengalaman untuk generasi seperti ifa. teruskan usaha bob.. moga ifa ada kesempatan untuk mempertingkatkan blog bob ini dan usah untuk mengedit tulisan bob nanti.. amin..

uwaa!!! rindunya nak sarapan pagi ngan bob sambil berbual isu2 hangat..

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments