|
Menyediakan mee goreng bukan satu perkara yang susah. Hanya dengan memperuntukkan masa lebih kurang dua puluh minit sahaja ianya siap untuk dimakan bersama keluarga. Sesuai sebagai hidangan waktu petang setelah pulang dari pejabat. Sebungkus mee kuning yang dibeli dari pasaraya sewaktu pulang dari tempat kerja tadi hendaklah dikirai-kiraikan terlebih dahulu. Panaskan kuali dengan dua sudu minyak masak. Goreng dua sudu cili kering yang sudah dikisar lumat sehingga masak. Kemudian masukkan empat biji bawang merah yang sudah dikisar bersama empat biji bawang putih dan gorenglah sehingga naik baunya. Sebagai perencah, masukkanlah dua ekor sotong hidup atau tujuh ekor udang atau segenggam daging yang telah dihiris dan dibersihkan. Ada juga yang suka menambahkan perencah ini dengan memasukkan tahu yang sudah dipotong-potong dadu. Ikut suka hatilah. Bahan-bahan ini kemudiannya digoreng hingga masak dengan api yang kuat dan semuanya dibuat dengan cepat. Kemudian masukkanlah sebiji bawang besar yang dihiris besar-besar bersama dua genggam taugeh. Jika sesiapa yang sukakan sayur sawi, boleh juga dimasukkan sayur ini yang telah siap dipotong-potong. Kemudian masukkan pula dua sudu sos tiram bersama sesudu kicap hitam. Gaulkan hingga rata dan pecahkan dua biji telur keatas perencah ini jika dirasakan kurang masin boleh ditambah sedikit garam. Tunggu sehingga telur ini agak masak kemudian gaulkan bersama sambil memasukkan mee kita tadi. Sambil mee digaul rata masukkan juga kira-kira dua sudu kicap manis. Sekarang mee goreng kita telah sedia untuk dihidangkan. Sebagai hiasan, taburkan diatasnya dengan sedikit hirisan daun bawang, sebiji cili merah yang sudah dihiris halus dan sedikit bawang goreng. Hiriskan juga sebiji dua limau nipis dan diatur ditepi pinggan hidangan. Apabila sahaja mee ini disenduk masuk ke piring untuk dimakan, perahkan diatasnya dengan sehiris limau nipis tadi. Pada waktu ini, tiba-tiba sahaja hidung kita akan tersedut satu macam aroma yang cukup sensasi. Secara sepontan aroma ini akan merangsang rasa ngilu dihujung gigi dan terus memancutkan air liur yang sudah sedia bertakung lama didalam pundi-pundinya. Aroma cili merah bercampur air limau nipis dengan kicap ini sememangnya boleh membuatkan hidung kita juga turut berair. Makanlah hidangan petang yang istimewa ini bersama keluarga dan jika ada lebih, lebih elok diketepikan dulu untuk dihulurkan kepada jiran-jiran sebelah rumah. Mana tahu, pada esuk petang kita dapat pula merasa sepiring laksa Pulau Pinang dari jiran pula. Mee ini telah menjadi makanan biasa orang kita. Budaya makan mee atau "noodle" ini mungkin telah dperkenalkan oleh orang Tionghua. Sama jugalah seperti bihun yang telah diubah cara masakannya. Kita boleh makan mee goreng mamak, mee rebus, mee sup, mee rebus jawa, mee bandung, mee kari, mee wantan, mee hongkong, mee hailam dan lain-lain. Kita patut berbangga dengan budaya berbagai jenis masakan mee ini yang bermacam rasa dan banyak pula cara menikmatinya. Sebenarnya masyarakat kita kaya dengan budaya makanan ini. Ini adalah salah satu dari kekuatan daya tarikkan pelacung dalam industri pelancungan. Ada juga soalan yang pelik-pelik mengenai mee ini. Sampai kini bob masih bertanya mengapa mee siam dibuat dari bihun? Benarkah mee bandung berasal dari Bandung? Betulkah mee hongkong diimpot terus dari Hongkong?. Sejak bila mamak tahu membuat resepi mee goreng mamak?...... |
| Leave a Comment: |