|
Jika dikampung semasa bob kecil-kecil dulu apabila tiba waktu-waktu begini, sibuk lah orang-orang kampung bersiap sedia untuk menyambut bulan puasa. Selalunya pokok-pokok dikirikanan jalan akan dicantas dan dibersihkan. Tanah perkuburan dibersihkan. Surau dan masjid akan dicat dan dibersihkan. Periuk belanga, pinggan mangkuk dan kerusi meja pun turut dibersihkan. Kain-kain putih sejadah dan tikar juga perlu dibersihkan. Kolah-kolah atau kolam pula akan dibersihkan dan airnya diganti baru. Halamannya pula dibersih dan diindahkan dengan lampu-lampu berwarna warni apabila malam. Jalan seluruh kampung juga akan diterangi lampu-lampu panjut. Ini adalah sangat mustahak bagi orang-orang kampung yang akan berduyun-duyun pada setiap masa berulang alik kesurau dan kemasjid pada waktu malam samaada untuk berbuka, bertarawikh atau pun menunaikan solah subuh berjemaah. Dalam bulan ini juga nanti sering dilakukan kiamulail. Para tuan guru dan penceramah akan dijemput dari daerah lain bagi memenuhi acara ini. Ahli-ahli jawatan kuasa masjid dan surau pula sibuk bermesyuarat bagi mengatur kesemuanya ini. Manakala siibu pula sibuk kepekan membeli tikar, tudung saji dan kain pelikat. Ini semua adalah untuk persediaan tatkala berhidang ketika bersahur dan berbuka. Kain pelikat itu pula adalah untuk anak-anak dan suami yang akan mengamuk sembahyang ketika bertarawikh. Malumlah kain pelikat yang dibeli tahun lepas mungkin tidak boleh dijamin masih tahan lagi. Nanti apabila sedang solat tiba-tiba koyak, susah pula jadinya. Tambah-tambah lagi jika kejadian ini berlaku dimasjid, nanti cerita jenaka ini akan dikenang sampai kehari raya. Bagi persiapan didapur pula, siibu akan membeli lebih telur asin dan ikan masin atau ikan kering. Kesemuanya ini akan menjadi pembuka selera pada waktu sahur pula nanti. Bila bercakap tentang telur asin pula, tentu sekali bob cepat-cepat terbayangkan kepada nostalgia bangun makan sahur dalam bulan Ramadhan. Bagi sesetengah temapat terutama disebelah selatan tanah air, mereka akan melakukan penyembelihan kerbau dan lembu pada hari-hari yang hampir masuk kebulan Ramadhan ini. Hari itu dipanggil "hari bantai". Daging sembelihan ini dijadikan serunding yang enak dimakan disepanjang bulan itu. Sibuklah disana sini melakukan persiapan bagi menyambut bulan yang dinanti-nantikan ini. Anak-anak muda pula sibuk menyediakan panjut dan mencari buluh dihutan untuk dijadikan meriam buluh. Jika tiap-tiap rumah sudah mula menyediakan panjut dan lampu-lampu akan dipasang disepanjang jalan maka seluruh kampung akan menjadi terang berderang pada setiap malam dalam bulan ini. Manakala bebudak pula nanti akan bebas keluar rumah bermain atau kemasjid sepanjang bulan ini. Begitulah kesibukannya disana-sini yang bob dapat imbaukan apabila menjelang kedatangan Ramadhan ketika bob kecil-kecil dikampung dulu. Kenangan yang mungkin tidak boleh dirasakan oleh anak-anak generasi masakini apatahlagi jika mereka menjadi penghuni dan permastautin kota metropolitan seperti KL ini. Apa yang kita dapat pastikan cuma kesibukan dirasai oleh ahli-ahli jawatan kuasa masjid dan surau yang masih sibuk seperti dulu mengaturkan acara-acara bagi memenuhi keperluan ahli kariah ditempat masing-masing. Sememangnya tidak lama lagi kita akan menyambut bulan mulia yang kita nanti-nantikan ini. Oleh itu bob berpesan, jika ada kawan-kawan yang masih berhutang itu silalah lunaskan segera. Jikalau hutang tidak dapat dilunaskan dalam tahun ini, tahun depan terpaksalah dilunaskan bersama dengan pediahnya sekali. Pada yang termampu pula, buat masakini boleh lah kita sama-sama berpuasa sunat-sunat Syaaban sebagai latihan untuk mendapat puasa yang sempurna diRamadhan akan datang ini.Oleh kerena Ramadhan semakin hampir, mari lah kita bersedia dari segi rohani dan jasmani untuk sama-sama mengimarakkan bulan mulia yang penuh dengan pengabdian ini. Persediaan bob bermula dengan memohon kemaafan dari ibu bapa, saudara mara rakan dan taulan. Moga-moga dengan penuh harapan agar puasa dan amal disepanjang bulan Ramadhan kali ini adalah lebih baik dari Ramadhan yang telah lalu....Amin |
| Leave a Comment: |