|
Subuh tadi bob membangunkan anak-anak bob untuk bersahur. Seperti yang dirancangkan, kami hanya bersahur dengan makan nasi bersama telur goreng dan sayur sawi masak bening sahaja. Bob memang tahu bahawa telur goreng mata kerbau adalah kesukaan ramai, jadi dalam keadaan sejuk itu bob telah turun kedapur untuk menyediakannya. Diatas telur ini bob tuangkan dengan sedikit kicap. Sambil menantikan air masak sayur bening mendidih bob telah membuka suis tv. Beberapa orang ustaz sedang menyampaikan tazkirah mengenai ibadah puasa. Tazkirah ini sangat elok dan berkesan disampaikan pada waktu-waktu sejuk begini. Setelah air yang mengandungi beberapa hiris bawang putih dan bawang kecil ini mendidih, bob terus masukkan sahaja daun sawi yang telah sedia dikerat-kerat oleh Ayu dan Fatin sebelum mereka masuk tidur malam tadi. Kemudian bob masukkan sedikit garam secukup rasa dan api pun dipadamkan. Seterusnya bob telah naik keatas membangunkan anak-anak bob. Terkulat-kulat bob lihat Fasya makan yang terus mengingatkan bob pada kenangan bob bangun sahur semasa kecil-kecil dahulu. Apabila semua makan telah disediakan, mak atau ibu saudara bob akam membangunkan bob dan adik-adik bob. Kain pelikat adalah pakaian tidur kami dan dijadikan kelubung menutup badan ketika bangun dalam keadaan sejuk begitu. Oleh kerena masih dalam keadaan masih mamai, semasa menuju kehidangan, pernah sekali entah macam mana bob telah terpijak sendiri bahagian bawah kain itu. Apalagi bob pun berdentum jatuh tergolek kelantai papan rumah bob itu hingga membuat bapa bob terkejut dan marah. Sememangnya makan sahur adalah satu perkara yang amat tidak menyelerakan dan kadangkala bob akan tertidur kembali semasa sedang menghadapi hidangan. Bapa bob akan mengertak menyuruh kami makan segera supaya tidak akan merasa lapar disianghari nanti. Dalam keadaan yang malas dan terpaksa mulut akan mengunyah lama makanan yang disuap. Air suam akan menjadi penyelang suapan untuk memudahkan makanan membolosi tekak yang amat degil pada ketika itu. Apabila selesai sahaja makan, kami akan cepat kembali tidur. Pada hari-hari awal berpuasa ini, adakalanya bob terlupa. Tambah lagi jika Ramadhan jatuh dalam musim buah-buahan. Apabila sahaja bangun pagi kami akan terus pergi mengutip buah-buah rambutan yang dijatuhkan oleh keluang atau musang pada malam tadi. Apalagi jika melihat rambutan yang ranum mulut pun ternganga dan setelah ditelan barulah kita teringat yang hari ini adalah hari pertama kita berpuasa. Mak bob akan cuba memberikan keyakinan bahawa jika ianya berlaku dalam keadaan terlupa, puasa kita tidaklah terbatal. Apabila bob sudah meningkat dewasa, keseronokan bulan puasa telah berubah menjadi kenikmatan. Jika masa kecil-kecil seronok dibulan Ramadhan yang terhidang dengan berbagai hidangan yang lazat dan dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang hebat tetapi kini telah digantikan dengan rasa kesyukuran terhadap anugerah Allah SWT dengan bulan yang penuh rahmat. Bulan yang membawa kita untuk menilai diri kita sejauhmanakah kita telah menjadi diri kita sebagai hambaNya. Bulan yang dimana kita dapat menikmati kenikmatan apabila kita berjaya mengengkang hawa nafsu dari rasa perhambaan kita terhadapNya. Nikmat seperti ini tidak terdapat dibulan yang lain dimana kita sering sahaja alpa dari tuntutan untuk memisahkan nafsu demi keikhlasan beribadah. Ya Allah ya Tuhan ku betapa lemah dan kecilnya aku dan betapa bijaksananya Engkau dan penyayangnya Engkau dengan anugerah ini. Apalah aku ini yang hanya seorang hamba kepada Mu ya Allah.....puasa ku dibulan yang mulia ini adalah untuk Mu..ya Allah. |
| Leave a Comment: |